Sunday, March 25, 2012

Putrajaya ke Petrajaya


Setiap minggu, pasti kelihatan seorang lelaki  melintas sempadan dua negara yang bermusuhan bersama sebuah kereta sorong kotor yang sarat dengan batu-bata sisa perang. Di pintu sempadan, pengawal sempadan mendapati lelaki tersebut memiliki kad pengenalan, passport dan visa yang sah.

Beliau juga tidak membawa sebarang senjata atau komponen senjata. Pegawal sempadan sangat yakin bahawa lelaki tersebut menyeludupi sesuatu yang berharga. Lantas seluruh badan lelaki itu diperiksa dan batu-bata dalam kereta sorong dicurah ke tanah untuk diselidik apa-apa barang seludup yang disembunyikan. Namun tiada apa-apa pun ditemui. Lelaki itu dibenarkan melintasi sempadan dan memasuki negara jirannya.

Seminggu kemudian, lelaki yang sama muncul lagi di pintu sempadan, bersama kereta sorong yang sarat dengan batu-bata sisa perang. Pengawal sempadan bertambah yakin bahawa lelaki itu menyeludupi sesuatu. Beliau diperiksa lagi dengan lebih teliti namun seperti minggu sebelumnya, tiada apa-apa ditemui dan beliau mendapat izin masuk ke negara jirannya lagi.

Minggu berganti bulan, begitulah ceritanya. Seorang lelaki terpacul di pintu sempadan bersama kereta sorong yang sarat dengan batu-bata sisa perang. Pengawal sempadan tidak menemui sebarang tanda yang mencurigakan. Lelaki itu mendapat izin memasuki negara jirannya.

Seusai perang, dua negara jiran tersebut menjadi sahabat. Pintu sempadan dirobohkan. Tiada lagi keperluan surat perjalanan dan pemeriksaan izin lalu. Lelaki penyeludup dan pengawal sempadan pun menjadi rakan. Maka bertanyalah si pengawal sempadan kepada lelaki berkenaan.

Kawan, usah berbohong lagi. Saya tahu setiap minggu saudara menyeludup sesuatu ke negara kami. Saudara bernasib baik, kami tidak menemui buktinya dalam batu-bata itu. Apakah barang seludup saudara itu?

Kereta sorong, jawab lelaki penyeludup dengan selamba.


Sama-sama kita tingkatkan :

a)   Kemahiran memerhati perkara yang tidak ada atau tidak tercatat dalam misi, matlamat, objektif, strategi, tatacara bekerja, piagam pelanggan, petunjuk prestasi dan deskripsi keberhasilan kerja yang telah dibekalkan kepada semua orang dalam organisasi.;
b)   Kemahiran berfikir tentang sesuatu perkara atau cara yang tdak mahu difikirkan atau tidak boleh difikirkan oleh orang lain;
c)   Kemahiran melakukan sesuatu yang orang lain tidak mahu atau tidak berani melakukannya; dan
d)   Kemahiran mengembangkan pemikiran dan mengandakan idea dengan mengongsikannya dengan orang lain.

Sekali gus budaya inovasi wujud, mengakar dan menjadi DNA dalam organisasi seperti Apple Incorporated (Amerika Syarikat), Toyota Motor Corporation (Jepun), Tata Group (India), BYD Auto (China), Nokia (Finland) dan Samsung Electronics (Korea Selatan).

Wallahu’alam.

( Dato’ Abd. Ghafar Mahmud, 2011)


No comments:

Post a Comment