Friday, March 30, 2012

Gembira lulus peperiksaan

 
Ibu bapa dan pelajar mana yang tidak riang lulus peperiksaan apa pun peringkat dan pangkatnya? Siapa tidak sedih kalau kandas dalam apa usaha pun apa lagilah bercinta! Yang sukses jangan keterlaluan seronok, cabaran dan ekspektasi tinggi menanti di depan; mereka yang gagal jangan terlalu sedu.

Saya tumpang senang hati keputusan peperiksaan SPM terbaik tempoh lima tahun. Tahniah kepada yang sukses, tingkatkan lagi pencapaian dalam peperiksaan yang mendatang. Kepada yang failed jangan kecewa – belajar terus belajar atau ceburi medan baru yang bukan akademik.

Sejarah lama dan baru banyak membariskan bilangan yang sukses akademik tetapi tidak dalam kehidupan; ramai juga yang hampa dalam peperiksaan jadi kaya-raya dan pemimpin. Sejumlah politikus, usahawan, penulis, wartawan dan penyumbang kepada negara, bangsa dan agama begitu.

Satu contoh, peribumi terkaya mengikut majalah Forbes, Syed Mokhtar Al Bukhary, tidak ada pun SPM. Sekarang dia membina Universiti Al Bukhary, di Alor Setar tempat kelahirannya.

Bukan semua pelajar yang lulus SPM dan STPM bagus, tidak seluruh yang tumpas bebal! Sijil SPM / STPM hanya sehelai kertas untuk mendapat kerja rendah atau bagi menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Pada akhirnya native intelligence, networking, kebolehan berkomunikasi, menulis dan berinteraksi dan bakat semula jadi yang all round menentukan matlamat tercapai atau tidak. Terpenting lagi walaupun ada bakat, wujud peluang dan nasib baik.

Saya baru sahaja membaca review buku: Eisenhower – In War and Peace, oleh Jean Edward Smith – Random House, 950 muka surat berharga RM120. Dwight “Ike” Eisenhower adalah Presiden Amerika Syarikat yang ke-34 dan sebelum itu jenderal lima bintang, panglima NATO pertama. Ike berjaya kerana orang atas suka padanya.

Mereka tahu dia berbakat. Sepanjang hidup dan kerjaya dia dinaungi oleh ketua-ketua dan jeneral yang suka padanya dan nasibnya amat baik pula. Dia naik pangkat demi pangkat. Dijadikan panglima tentera Amerika Syarikat di Afrika Timur semasa perang dunia kedua walaupun ada 228 pegawai yang lebih kanan daripadanya dan pandai pula.

Apa sebab pun dia dipilih dan diyakini oleh orang atas. Bak kata Napoleon, kebolehan tidak penting bagi jenderal dan mereka dalam angkatan bersenjata. Saya suka menambahnya juga tidak penting dalam politik, media, dunia bisnes dan korporat dan perkhidmatan awam. Yang penting ialah mereka disukai oleh orang atasan.

Apa guna kebolehan atau bijak kalau orang di atas tidak mempercayai atau meyakini seseorang itu? Ramai yang cerdik, berbakat tetapi sayangnya mereka tidak bernasib baik, tidak ada peluang, tidak ada godfather; tidak ada mentor. Saya telah lama makan garam dan telah melihat mereka yang cerdik ditinggalkan dan dipinggirkan sebaliknya yang tidak cerdik sangat ditonjolkan kerana penerimaan orang atasan terhadapnya.

Pada muda-mudi saya anjur cari kerjaya yang kamu suka dari kecil lagi, turut hati dengan perhitungan yang logika; ambil risiko kerana tanpa risiko tiada sukses! Ijazah tidak menjamin sukses dalam kehidupan.

Kamu sudah ada pendidikan asas, sudah mencukupi.

Berfikir dan bertindaklah di luar lingkaran
atau kata orang sekarang di luar kotak.
Kelayakan akademik
tidak ada kolerasi dalam real life! 

( Tan Sri Abdullah Ahmad, Sinar Harian 25 Mac 2012 )

No comments:

Post a Comment