Thursday, February 28, 2013

Menjauhi kemungkaran akhlak


Permata  29 :

Daripada Qutbah bin Malik ra berkata bahawasanya rasulullah saw bersabda: Ya Allah jauhkanlah aku dari segala kemungkaran akhlak, amalan, hawa nafsu dan penyakit. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)

Mutiara hikmah :

a) Akhlak yang buruk itu azab, kedengkian itu racun, ghibah atau mengumpat itu kerendahan dan mengintai-intai kesalahan orang merupakan kehinaan.

b) Sebaik-baik yang ada di dunia ini adalah keimanan yang benar, akhlak yang lurus, akal yang sihat,fizikal yang kuat dan rezeki yang mengalir. Sementara di luar itu semua adalah kesibukan semata-mata.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Benar membawa kebaikan


Permata  28 :

Daripada Abdullah bin Mas’ud ra bahawa rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya benar membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa kepada syurga dan sesungguhnya seorang yang sentiasa bersikap benar akan ditulis di sisi Allah sebagai ahli yang benar. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mutiara hikmah :

a) Abu Laith al-Samarqandi ra berkata: Nabi saw telah menyimpulkan semua kebaikan dalam enam perkara:

# Berkata benar, meliputi ucapan tauhid, iaitu benar-benar setelah mengucap kalimah syahadah, benar terhadap Allah swt dan juga terhadap manusia.

# Menepati janji baik terhadap Allah atau terhadap sesama manusia iaitu janji taat sampai ke akhir hayat kepada Allah dan baik kepada sesama manusia.

# Menunaikan amanat. Amanat daripada Allah swt berupa kewajipan-kewajipan yang diwajibkan ke atas semua hamba dan amanat daripada sesama manusia, iaitu perkataan atau anak atau harta atau kehormatan.

# Menjaga kemaluan daripada semua yang syubhat dan haram, memeliharanya dan jangan terlihat oleh orang lain. Ini kerana nabi saw telah mengutuk orang yang melihat dan yang dilihat.

# Pejamkan matamu daripada melihat aurat sesama manusia atau kecantikan wanita yang haram dilihatnya, dan jangan tamakkan dunia.

# Jagalah tanganmu daripada segala perbuatan yang haram, baik berupa harta atau lain-lainnya.

b) Kebenaran itu adalah senjata yang paling ampuh, pasti dizahirkan kesudahannya.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Akan lambang hati


Akan kuabadikan madah pujangga
akan kusematkan suara pendeta
akan tersusunlah madah dan kata
akan kekal menjadi tugu fikiran bangsa
akan kutaburkan di depannya kuntum-kuntum budi
akan mewangi gubahan jambangan hiasan hati
akan memukau perasaan
akan sebuah kesedaran
akan hakikat lambang hati
akan Kau dan aku
akan Engkau Tuhanku
akan aku hambaMu
akan aku hambaMu
akan dengan kehendakMu
akan berhimpun seluruh zuriatku
akan Kau dan aku
akan aku berhubung denganMu

Akan kuabadikan sebuah abadi
akan kau isteriku anak cucuku
akan kau temanku para sahabatku
akan kau anak bangsaku watanku
akan kau manusia
akan kau alam
akan tetap tercipta bahawa kita
akan tertakluk kepadaNya
akan biarpun jasad dan roh terpisah
akan hakikatnya tiada garis pemisah

A Aziz Deraman
30 Sept 1990

( Kau dan Aku, DBP )

Selawat 21


Ya Allah, limpahkanlah selawatMu yang paling utama selalu, berkahMu yang paling berkembang selamanya, dan tahiyatMu yang paling baik keutamaan dan jumlahnya,  kepada semulia-mulia makhluk manusia, kumpulan hakikat iman, dan batas kebaikan yang tampak; pemimpin balatentera kaum Muslim, penghulu barisan para nabi yang dimuliakan, dan seutama-utama makhluk dari semuanya; pembawa panji kemuliaan dan ketinggian pemilik kendali kemuliaan, dan yang menyaksikan rahsia azali, sumber ilmu kesantunan, dan hikmah, penampilan rahsia kemurahan secara sebahagian dan keseluruhan, manusia aynil-wujud ruh jasad dua alam, dan mata kehidupan dua tempat, yang memastikan dengan tingkat ubudiah yang tertinggi dan yang terakhlak dengan akhlak kedudukan pilihan, sahabat yang terbesar dan kekasih yang dimuliakan, iaitu saidina Muhammad bin Abdullah bin Abd Mutthalib, juga atas seluruh nabi dan rasul serta atas keluarga dan sahabat mereka semuanya sebanyak-banyak orang yang ingat menyebut namaMu dan orang yang lalai melupakanMu.

Wednesday, February 27, 2013

Kemanisan iman


Permata  26 :

Daripada al-Abbas bin Abdul Mutalib ra, rasulullah saw bersabda: Telah merasai manisnya iman siapa yang reda dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai rasul. (Riwayat Muslim)

Mutiara hikmah :

a) Orang yang dituntun oleh agamanya, yang diluruskan oleh akalnya, yang dijaga oleh hartanya, dan yang dihiasi oleh rasa malunya maka dia telah menghimpunkan semua nilai keutamaan dalam dirinya.

b) Berbahagialah orang yang jika mendapat limpahan nikmat maka akan bersyukur. Jika diuji, maka akan bersabar. Jika berbuat dosa, maka akan beristighfar. Jika marah, maka akan segera mengawalnya dan jika berkuasa, maka akan berlaku adil.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dua sifat tercela


Permata  25 :

Daripada Abu Said al-Khudri ra berkta bahawa rasulullah saw bersabda: Dua sifat yang tidak terdapat pada orang yang beriman, iaitu bakhil dan akhlak yang buruk. (Riwayat al-Tirmizi)

Mutiara hikmah :

a) Biasakan untuk mengeluarkan sedekah, meskipun sedikit kerana sedekah akan memadamkan api kesalahan, mengembirakan hati, menghilangkan keresahan dan menambahkan rezeki.

b) Berapa banyak anda meminta, tapi Dia selalu memberi. Berapa banyak anda memohon, dan Dia pun memberi secara percuma. Berapa banyak anda melakukan kesalahan, dan Dia yang meluruskan. Berapa banyak anda mengalami kesulitan, dan Dia kemudian yang memudahkan dan berapa banyak anda berdoa, lalu Allah mengkabulkannya.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Drama hidup


Kiranya kita menamakan
kehidupan itu adalah drama
maka hari ini adalah hari drama
tegang diisi lelakonan luar biasa
dengan segala rupa janji dan jejak langkah hati-hati
dengan segala rupa kecenderungan
dan percubaan peribadi
di mana-mana
maka drama inilah mengingatkan kita
kepada kekecewaan dan kemenangan
masa kini dan masa silam
di hujung usaha dan harapan
di mana-mana
maka drama inilah menjadikan kita
para penyelesai kehidupan
dari persefahaman
dari kesilapan ke kebenaran
dari kecurangan ke keyakinan
dari  kehampaan ke kemuncak harapan
di mana-mana
maka drama inilah meramalkan
tentang kewibawaan sendiri!

A. Aziz Deraman
Kuala Lumpur, 1978

( Kau dan Aku, DBP )

Aku bisa hanya memohon


Tuhanku
aku bisa hanya memohon
dalam doa dan harap
sekiranya aku menyembahMu kerana mahukan syurgaMu
sekiranya aku menyembahMu kerana takutkan nerakaMu
aku bukanlah lagi aku
aku tidak pun punya milik apa satu
buangkanlah aku bakarkan daku
kerana syurgaMu nerakaMu adalah hakMu.

Tuhanku
aku bisa hanya memohon
dalam ilmu dan iman
asalkan Kau reda terhadapku
asalkan Kau reda denganku
jangan biarkan aku tergelincir jatuh
melukakan kalbu dan tak mungkin sembuh
 jangan biarkan aku tenggelam di lautan syahwat
melemaskan iman dan aku kian parah.

Tuhanku
aku bisa hanya memohon dalam tauhid dan cinta
jadikanlah aku menyembahMu kerana cintaku
jadikanlah kecintaanku padaMU Cuma
tiada apa pun di alam maya
sehingga aku dapat melihatMu saja
taubatlah aku dari kelupaan
yang meluruhkan cintaku yang ada
janganlah haramkan aku dari kenikmatanMu
janganlah haramkan aku dari keindahanMu
janganlah haramkan aku dari kebaikanMu!.

A Aziz Deraman
1 Feb 1986
( Kau dan Aku, DBP )

Selawat 20


Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Saidina Muhammad, yang cahayanya bagi makhluk telah mendahului, dan kemunculannya merupakan rahmat bagi alam, sebanyak-banyak jumlah makhlukMu yang lalu maupun yang akan datang serta yang berbahagia di antara mereka maupun yang celaka dengan selawat yang menghabiskan segala hitungan dan meliputi segala balasan; dengan salawat yang tidak akan habis, berakhir, dan selesai, serta dengan selawat yang terus menerus dengan keabadianMu juga kepada keluarganya. Limpahkanlah pula kesejahteraan yang banyak seperti itu.

Tuesday, February 26, 2013

Dusta membawa kehinaan


Permata  24 :

Daripada Abu Bakar al-Siddiq ra, nabi saw bersabda: Dan jauhilah kamu daripada dusta kerana ia merupakan pintu dari pintu-pintu neraka. (Hadis ini dikeluarkan al-Suyuti dan al-Khatab dalam  Tarikh Baghdad)

Mutiara hikmah :

a) Al-Rabi’ bin Khaitham ra sentiasa membawa pensil pada waktu pagi dan  kertas untuk dicatat setiap patah kalamnya. Kemudian pada waktu petang beliau bermuhasabah dengannya.

b) Enam perkara menunjukkan kebodohan :

i. Marah tidak pada tempatnya seperti marah pada seorang, binatang atau lain-lainnya.

ii. Bicara yang tidak berguna. Oleh kerana itu seharusnya seorang yang berakal tidak berkata kecuali jika penting dan berguna.

iii. Pemberian yang tidak pada tempatnya seperti boros harta atau memberi kepada orang yang tidak akan berguna baginya.

iv. Membuka rahsia kepada orang lain

v. Percaya kepada semua orang

vi. Tidak dapat membezakan antara kawan dengan lawan. Oleh kerana itu harus mengetahui siapa musuh dan siapa kawan. Kawan untuk ditaati dan musuh untuk diawasi. Musuh yang utama ialah syaitan, yang benar-benar harus dijauhinya.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Kelebihan beramanah


Permata  23 :

Daripada Abu Said al-Khudri ra, rasulullah saw bersabda: Peniaga yang beramanah, jujur lagi benar bersama para nabi, siddiqin (orang-orang yang benar), mereka yang mati syahid dan orang-orang yang soleh. (Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim daripada Abu Said ra dan al-Hakim daripada Ibn Umar ra. Hadis ini daif)

Mutiara hikmah :

a) Menjadikan nabi Muhammad saw sebagai teladan, kerana baginda adalah pemimpin yang membawa kebahagiaan, yang menunjukkan kepada kejayaan dan yang membawa kepada keberuntungan dan kejayaan.

b) Percayalah pada diri sendiri dan janganlah bergantung kepada orang lain. Anggaplah bahawa mereka menjadi tanggungjawab anda  dan bukan anda yang menjadi tanggungan mereka dan bahawa Allah SWT yang bersama diri anda. Jangan tertipu dengan orang yang selalu berfoya-foya.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Suara belakang


Kaubuang marah di belakangku
bagaikan sepah buih laut lalu
pecah hanyut di permukaan kalbu
sukar berkumpul semula
untuk bersatu percaya.

Sewaktu aku keluar mentari baru terbit
sewaktu aku pulang bulan baru mengambang
seharian bagaikan gelombang samudera bangkit
menjulang semangat tinggi menggulung awan
kaulah yang mudah menjerut perasaan
menolak sebuah pembaharuan
ya, kaumenang perang mulut
tetapi kalah dalam kemelut.

A. Aziz Deraman
19 Sept 1999
( Bahtera Madani, DBP )

Perlakuan baik dalam hubungan sesama insan


Ingat selalu akan Tuhanmu
Tuhan pun tentu ingatkan kamu
Jahat dan keji tidak tersemu
Bahaya bencana jauh bertemu

Semua manusia adik-beradik
Semua dunia satu grand deck
Bantu membantu itulah didik
Mengapa bermusuh, tengking dan herdik

Sakit dan susah walaupun mati
Semua ditanggung bersungguh hati
Kerana faedah orang berkati
Mengorbankan diri itulah erti

Sebaik-baik orang ada jahatnya
Sejahat-jahat orang ada baiknya
Tidaklah seyogia barang siapanya
Menyalahkan orang, tidak dirinya

Dalam perkara perhubungan negeri
Sangat mustahak bijak bestari
Runding mesyuarat, ambil dan beri
Jalan muafakat hendak dicari

Demikian kurasa dalam diriku
Benarnya tetap dapat diaku
Banyak yang lain dalam hatiku
Kutunjukkan hanya simpul sebuku

Selain ini rasa kusangka
Tidaklah seyogia aku berbeka
Pintu ghaib tidak kubuka
Kepada Allah harus belaka

Harun Mat Piah
Puisi Melayu Tradisional, DBP

Selawat 19






Kepadamulah, ya rasulullah, mengalir selawat Allah, salamNya, tahiyatNya dan berkahNya; dalam tiap-tiap saat yang memadai dengan kedudukanmu yang besar dan darjatmu yang tinggi, berkumpul bagimu segala keutamaan semua jenis selawat dan salam.

Monday, February 25, 2013

Hidup berdikari


Permata  22 :

Daripada al-Miqdam bin Ma’dikarib al-Kindi ra, rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya sebaik-baik yang dimakan oleh seseorang ialah hasil pekerjaannya sendiri. Dan sesungguhnya nabi Allah Daud memakan dari hasil kerja tangannya sendiri. (Riwayat al-Bukhari)

Mutiara hikmah :

a) Orang yang berhati-hati akan berjaya mencapai apa yang dicita-citakannya, dan orang yang selalu berusaha berbuat baik akan mendapat kemenangan. Sikap terburu-buru adalah kemandulan dan keinginan adalah kemuflisan.

b) Indahnya kemenangan akan menghapus getirnya kesabaran, nikmatnya kemenangan akan menghapus segala keletihan, dan kerja yang cermat akan menghapuskan rintangan yang akan dihadapi.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Bijak menguruskan masa


Permata  21 :

Daripada Ibn Abbas ra, rasulullah saw bersabda: Rebutlah lima peluang sebelum datangnya lima: Hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, waktu lapangmu sebelum sibukmu,mudamu sebelum tuamu dan kayamu sebelum fakirmu.

Mutiara hikmah :

a) Hassan  al-Basri ra berkata: Wahai anak Adam, anda sebenarnya hanya merupakan himpunan dari hari-hari di mana jika berlalu satu hari daripadanya, sebahagian daripada anda akan turut pergi.

b) Kehidupan adalah mata rantai masalah. Kita akan melalui rangkaian masalah itu dengan sedar atau tidak menyedarinya. Namun yang paling menjadi persoalan adalah cara kita memandang sesuatu masalah. Dengan cara pandang yang salah, masalah menjadi lebih berat dan lebih besar dari ukuran sebenarnya.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Ada


ada orang  ada otak  tidak berakal
ada orang ada mata tidak melihat
ada orang ada telinga tidak mendengar
ada orang ada hidung tidak menghidu
ada orang ada mulut tidak bersuara
ada orang ada tangan tidak berdaya
ada orang ada kaki tidak kembara.

ada orang ada kita tidak ada apa-apa
ada orang ada segala tiada segala
ada orang ada segala buat segala
ada ada tiada ada
ada ada tiada  ada
ada hati tiada kalbu
ada nyawa tiada jiwa
ada diri tiada ilmu
ada iman tiada takwa

A. Aziz Deraman
1986

( Kau dan Aku, DBP )

Selawat 18


Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Saidina Muhammad nabi yang ummi, yang suci dan bersih, dengan selawat yang melepaskan segala ikatan dan melenyapkan segala kesusahan.

Sunday, February 24, 2013

Cara berinteraksi


Permata  20 :

Daripada Abu Juhaifah ra, rasulullah saw bersabda: Hendaklah kamu bersama pembesar-pembesar, bertanyalah para ulama dan bergaullah dengan ahli hikmah. (Riwayat al-Tabarani dan al-Haithami)

Mutiara hikmah :

a) Iman, kesihatan, kekayaan, kebebasan, rasa aman, semangat muda dan ilmu adalah sari dari semua yang diinginkan oleh orang-orang yang berfikir. Namun hanya sedikit yang mampu mendapatkannya sekaligus.

b) Jika anda mencela seseorang itu bererti anda telah mencela Tuhan mereka yang Maha Tinggi. Allah swt telah menjadikan  mereka dari tiada, namun mereka ragu tentang kewujudanNya yang telah memberi makan ketika kelaparan, malahan bersyukur kepada selain dariNya, dan telah memberi rasa aman dari ketakutan yang menimpa mereka, malahan mereka memerangiNya.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Mencari ilmu manfaat


Permata  19 :

Daripada Jabir bin Abdillah ra, rasulullah saw bersabda: Mohonlah kepada Allah ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah kepada Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat. (Riwayat Ibn Abi Syaibah, Ibn Majah dan Abdun bin Humaid)
 
Mutiara hikmah :

a) Perpustakaan peribadi anda adalah kebun yang rendang dan taman yang penuh dengan bunga-bunga di sekitar rumah anda. Nikmatilah kebun dan taman itu bersama dengan para ulama, para bijak, para sasterawan dan para penyair.

b) Pengetahuan, pengalaman dan wawasan jauh lebih baik daripada harta, kerana gembira dengan harta benda adalah sifat binatang sedangkan gembira dengan ilmu pengetahuan adalah sifat manusia.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Menaksir relung sejarah


Pamah ini subur dalam darah mengalir
tanah ini makmur dalam keringat terukir
setelah kita merelai tunggul
juga punggur dan reba membelit
setelah kita merungkai duri
dan selirat akar terjongket.

Kita memaknakan padang sejarah
meredah siur waktu
dan liku berbukit
kita membentang kerikil pengalaman
dalam rintih saraf takdir
sehingga ketikanya
membenarkan kita menaksir
mahar dari belukar pedoman disisir
setelah batas perjalanan
menyubur rebung kehidupan.

Hari ini kita menaksir kembali
relung sejarah yang dihambat
kencang taufan masa
lalu tanpa rasa bersalah
ladang warisan yang pernah kita bajai
telah diputar mimpi sejuta hajat
tatkala kita rela menaksir
sebidang hasrat
maka yang tinggal hanya
selembar peta
di celah bongkah batu melebar
malah cerucuknya
kian rakus menjalar.

Abd Rahim Omar
Taman Permai, Sungai Petani
Berita Harian, 24 Feb 2013

Kalaulah



Kalaulah rumput tidak
dibiar panjang
tidaklah benah berani datang
tikus pun tidak membuat sarang
tidaklah rosak padi sebendang.

Kalaulah reban tidak dibiar usang
pintu dan dindingnya
tidak berlubang
tidaklah mudah dimasuki musang
tidaklah habis ayam sekandang

Demikian halnya
kalaulah tidak kerana cuai dan alpa
tidaklah malang datang menimpa
kalaulah tidak kerana lalai dan lupa
tidaklah diri dirundung nestapa

Ehsan Jamily
Taman Desa Baru, Melaka
Berita Harian
24 Feb 2013

Selawat 17


Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam kepada Saidina Muhammad, kekasih dan yang dikasihi, penyembuh penyakit dan pelepas kesusahan, kepada keluarganya dan para sahabatnya.

Saturday, February 23, 2013

Biarkanlah


Semestinya
            cinta itu selalunya indah
            sayang itu selalunya manis
            rindu itu selalunya berbunga
            setia itu selalunya bahagia

Seharusnya
            cinta itu kejujuran hati
            sayang itu kelopak janji
            rindu itu madah bestari
            setia itu impian hakiki

Mungkinkah
            cinta itu mainan bibir
            sayang itu lidah mengukir
            rindu itu bunga waktu
            setia itu godaan kalbu

Jadikanlah
            cinta itu ikatan
            sayang itu pegangan
            rindu itu kejujuran
            setia itu pengorbanan

Biarkanlah
            cinta itu pahit
            sayang itu menyeksa
            rindu itu hiba
            setia itu tanpa akhirnya.

Klang
Ogos 1985

Ahmad Sarju
Permata Budi, DBP

Keistimewaan rasulullah saw


Permata  18 :

Daripada Abi Musa al-al-Asyaari ra, rasulullah saw bersabda: Dikurniakan kepadaku pembukaan kalimah dan penutupnya kami bertanya: Hai rasulullah, ajarkan kepada kami apa yang Allah ajarkan kamu. Lantas rasulullah mengajar kami bacaan tasyahud. (Riwayat Abu Ya’la)

Mutiara hikmah :

a) Kemuliaan ilmu dan kebudayaan akan kekal, terutama bagi orang yang bekerjaya mengajar dan menulis. Sedangkan kemuliaan yang berpunca dari kemasyhuran dan kedudukan adalah baying-bayang yang akan segera leyap dan fantasi yang palsu.

b) Kegembiraan kerana ilmu itu akan abadi, kemuliaan kerana ilmu akan lestari, dan kebenaran kerana ilmu akan kekal. Sedangkan kegembiraan kerana harta akan mudah hilang, kemuliaan yang disebabkan harta akan mengarah kepada kehancuran dan kebenaran kerana harta akan memudar.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Berekonomi dalam kehidupan


Permata  17:

Daripada Ibn Umar ra, rasulullah saw bersabda: Berekonomi dalam perbelanjaan adalah separuh kehidupan dan perasaan kasih sayang sesama manusia adalah separuh akal, dan persoalan yang baik adalah separuh ilmu. (Riwayal al-Baihaqi)

Mutiara hikmah :

a) Hiduplah bersederhana dan jauhilah semua bentuk berfoya-foya dan pemborosan kerana setiap kali badan diajak berfoya-foya, maka jiwa akan semakin sempit.

b) Ibrahim al-Khawwas berkata : Ilmu berasal dari dua hikmah: Janganlah menyusahkan apa yang telah dicukupkan. Janganlah membazir apa yang kamu cukup.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Nasihat kepada kaum wanita ( 5 )


Jika bermadu dan beranak tiri

Dan lagi muda bestari
Siapa tahu suamimu beristeri
Ada anak Tuhan memberi
Merasalah tuan beranak tiri.

Anak tiri fakir katakan
Dengan ikhlas tuan peliharakan
Serupa bagaimana anak dijadikan
Mudah-mudahan dapat kebajikan

Kerana ia anak orang
Jangan dibuat sebarang-barang
Peliharalah nama jangan kurang
Jangan selalu tuan memberang

Jika pajang umurnya tuan
Dibalasnya juga budinya bangsawan
Jika dibuat tidak ketahuan
Haruslah juga menjadi lawan

Demikian lagi siti bestari
Tidaklah hamba panjangkan peri
Nasihat fakir miskin yang ghari
Tiada yang lain hendak diberi

Harun Mat Piah
Puisi Melayu Tradisional, DBP 2004

Nasihat kepada kaum wanita ( 4 )


Taat dan setia kepada suami

Syahadan inilah ayuhai tuan
Syarat bersuami kuberi ketahuan
Jika tak sabar emas tempawan
Akhirnya kelak menjadi lawan

Inilah ilmu fakir yang hina
Amalkan tuan saf yang mengerna
Bukannya hikmat ilmu guna
Tetapi diamalkan jadi sempurna

Jika bersuami kiranya siti
Baiklah tuan laku pekerti
Bela pelihara dengan seperti
Daripada hidup sampai ke mati

Dengan suami siti bersetia
Demikianlah adatnya orang yang mulia
Suami jangan tuan pedaya
Beroleh leta akhirat dunia

Jangan ubahkan budi bahasa
Taat dan bakti sentiasa
Hendaklah siti berbuat jasa
Jangan diamalkan haram dan dosa

Hendaklah suami siti hadirkan
Nasi gulainya tuan sediakan
Jangan bersikat tuan asyikkan
Akhirnya suami kurus tak makan

Hal santapan suami tuan
Jangan dibuat tidak ketahuan
Jangan diturut pekerti haiwan
Baginya setengah orang perempuan

Dan lagi ayuhai tuan
Suami itu jangan dilawan
Hormat muliakan dengan maluan
Inilah terutama anak perempuan

Yang demikian bukannya cela
Lihatlah di dalam kitab segala
Jika sempurna adinda membela
Di dalam akhirat dapat pahala

Walaupun ia miskin dan ghari
Janganlah tuan berbanyak peri
Sudah pertemuan Allah memberi
Di lohmahfuz sudah termeterai
 
Meskipun ia miskin dan papa
Hendaklah hormat siti yang safa
Jangan dipandang kepadanya rupa
Di dalam akhirat semuanya serupa

Siapa lebih amal dan faedah
Ia sangatterlebih indah
Jangan sangat berhati gundah
Baik siti mengikut madah

Hendaklah apa siti syukurlah
Pemberian Allah tuan redakan
Hal kehidupan sahaja fikirkan
Jangan berkelahi tuan gemarkan.

Harun Mat Piah
Puisi Melayu Tradisional, DBP 2004

Nasihat kepada kaum wanita ( 3 )


Taat dan hormat kepada ibu bapa

Ini selesai nasihat diberi
Dengarlah tuan-tuan muda bestari
Kepada ibu bapa sendiri
Hendaklah tuan takut dan ngeri

Perkataannya jangan siti bantahkan
Hatinya jangan siti sakitkan
Alim ulama sudah mengatakan
Dosanya itu tidak Allah ampunkan

Dengan takdir Khalik’ul-bahri
Kita melihat bulan matahari
Dengan sebab ibu sendiri
Menanggung susah sehari-hari

Penatnya tuan ibu mengandung
Perutnya besar  sebagai dilendung
Tuan pun lahir lalu dibedung
Dinyanyikan pula lagu senandung

Apabila tangisan tuan berbunyi
Ibu pun bangkit lalu menyanyi
Rumah itu tidak kalanya sunyi
Berak kencing sedikit tak genyi
 
Sampai besar kita dipelihara
Sedikit tidak diberi cedera
Berapa susah dengan sengsara
Hingga sampai anaknya dara

Hingga besar dipeliharakan
Satu tidak adinda balaskan
Membuat durhaka sahaja dikerjakan
Api neraka kelak memakan

Tetapi hemat fikiran kekanda
Antara dengan ayahanda dan bonda
Akan membalas tentu tiada
Jangan menderhaka pun memada

Harun Mat Piah
Puisi Melayu Tradisional, DBP 2004

Nasihat kepada kaum wanita ( 2 )


Memelihara tubuh  badan dan kesihatan

Syahadan lagi hamba perikan
Di dalam demikian badan belakan
Cuci bersih baik gemarkan
Janganlah malas janganlah segan

Kerana membela dirinya kita
Dengan pertengahan juga semata
Masaka pula orang mengata
Sunah kitab pula yang mengata

Setengah muda dikecualinya
Badannya tidak dpedulikannya
Badan berkerak hangit ketiaknya
Hijau kuning tahi giginya

Jangan difikirkan kiranya adinda
Dikata orang tak dapat tiada
Sayang sekali orang muda-muda
Bahunya pedas seperti lada

Janganlah segan membela diri
Bau-bauan tuan gemari
Jikalau sampai empat lima hari
Buanglah kuku segala jari

Hamba lihat setengah muda-mudi
Kukunya panjang ganda berganda
Pisau dan gunting jika tiada
Pinjamlah tuan usul yang syahda

Di dalam demikian hamba berperi
Melampaui adat hamba tak beri
Salin pakaian empat kali sehari
Dibubuh bedak dua tiga jari

Hamba katakan pertengahan juga
Jangan melampau adat dan jangka
Kening diandam habiskan luka
Sumbing dialih kepada muka

Jika demikian af’al kelakuan
Tiadalah gemar fakir yang rawan
Berbedak rajin sangatnya tuan
Muka pucat jadi cendawan.

Harun Mat Piah
Puisi Melayu Tradisional, DBP 2004

Nasihat kepada kaum wanita (1)


Belajar pelbagai ilmu

Syahadan lagi siti sebahwa
Belajarlah tuan menggubah halwa
Serta kuih cara Jawa
Sekalian hendak diketahui semua

Kek dan puding maskat rasidah
Mana yang adinda melihat sudah
Mana gubah yang indah-indah
Duit habis janganlah gundah

Jikalau sudah dipelajari dia
Tak dapat jua apa upaya
Sudah takdir Tuhan yang kaya
Tiada bahagian akhirat di dunia

Jikalau sudah dipelajari dia
Tak dapat jua apa upaya
Sudah takdir Tuhan yang kaya
Tiada bahagian akhirat di dunia

Tetapi fikiran hamba yang ghari
Tiap-tiap suatu yang dipelajari
Daripada sepuluh teman fikiri
Tak dapat tidak satu termeteri

Belajar ini sudahlah tetap
Silalah pula mengaji kitab
Jangan leka minum dan santap
Akhirnya gemuk bertambah antap

Usul, tahkik baik dikaji
Kepada segala lebai dan haji
Adinda jangan lalai mengaji
Di akhirat jangan terkeji

Kedudukan kita janganlah tidak
Dunia pun mahu akhirat pun hendak
Pekerjaan kita panjang dan pandak
Tiap-tiap hidup tentulah kehendak

Harun Mat Piah
Puisi Melayu Tradisional, DBP 2004