Thursday, January 31, 2013

Kemaskini Permohonan Matrikulasi 2013


Borang matrikulasi boleh dikemaskini bermula Isnin

KUALA LUMPUR - Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia akan membuka talian untuk mengemas kini borang permohonan bagi sesi 2013/2014 bermula 4 hingga 18 Febuari ini.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah membuat permohonan melalui internet boleh berbuat demikian dihttp://apps.moe.gov.my/matrikulasi/kemaskini atau melalui laman web kementerian diwww.moe.gov.my.

Pemohon diminta untuk memasukkan nombor kad pengenalan dan angka giliran SPM untuk tujuan mengemas kini manakala mereka yang menggunakan laman web kementerian perlu menggunakan ruangan e-PERKHIDMATAN berkala. Keputusan ke program matrikulasi akan dikeluarkan lima minggu selepas keputusan SPM diumumkan secara rasmi di laman web kementerian.

Pelajar yang ditawarkan ke program matrikulasi juga perlu mencetak sendiri surat tawaran yang akan dikeluarkan secara online, namun tidak perlu menghantar salinan keputusan SPM kerana ia akan diambil terus dari Lembaga Peperiksaan.

Pelajar boleh menghubungi talian bantuan Bahagian Matrikulasi di 03-88844083/4036/4040 dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja, jika mempunyai sebarang pertanyaan. - Bernama

sinarharian.com.my
31 Januari 2013

Menyaring kepastian


Kitalah pepasir dalam kembara
merentas segara tiada penghujung
keyakinan kadangkala patah dan reput
keraguan bertapak dan bersarang
kita pun berlabuh dan berteduh
di pangkalan yang kelam
kita sepatutnya mengusir sangsi
bukan asyik menyaring kepastian
yang telah terpateri sekian lama.

Zolkifli Alib
Kota Tinggi

Makruh dalam solat ( 1 )


1. Memalingkan muka ketika solat, melainkan kerana keperluan

a) Diriwayatkan daripada Abu Zarr ra bahawa rasulullah saw bersabda : Allah Azzawajalla sentiasa menghadap hambaNya ketika dia bersolat dan tidak akan berpaling.Jika dia berpaling, Allah juga akan berpaling daripadanya.
(Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud)

b) Aisyah ra meriwayatkan bahawa dia pernah bertanya rasulullah saw tentang hakikat berpaling. Jawab Rasulullah : Ia adalah satu bentuk kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seorang hamba.
( Riwayat al-Bukhari dalam shahih al-Bukhari)

2. Memandang ke langit

Riwayat al-Bukhari daripada Anas b Malik ra bahawa rasulullah saw  bersabda : Mengapakah kaum-kaum ini mengangkat pandangan mereka ke langit ketika solat? Baginda mengeraskan suaranya sehingga baginda bersabda : Sama ada mereka  berhenti berbuat demikian atau pandangan mereka akan disambar.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

3. Meletakkan kedua-dua lengan di atas lantai ketika sujud

Anas ra menyatakan rasulullah saw bersabda : Betulkanlah (kedudukan) kamu semua ketika sujud dan jangan seseorang daripada kamu meletakan kedua-dua lengannya (di atas tanah) seperti anjing (meletakkan kakinya di atas tanah ketika duduk).
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Memandang ke arah sesuatu yang melalaikannya daripada solat

Aisyah rha menceritakan bahawa rasulullah saw pernah mengerjakan solat di atas sehelai kain hitam bersegi empat yang bergambar. Selesai solat, baginda bersabda : Bawalah kainku ini kepada Abu Jahm dan datangkanlah kepada ku kain tebal kepunyaan Abu Jahm. Sesungguhnya kain (kepunyaanku) tadi telah melalaikan aku daripada solatku sebentar tadi.
(Riwayat al-Bukhari)

5. Bercekak pinggang atau berpeluk tubuh

Daripada Aisyah ra bahawa rasulullah saw  tidak senang apabila seseorang meletakkan tangannya di pinggang dalam solat dan baginda berkata : Sesungguhnya orang Yahudi melakukan sedemikian.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

6. Solat ketika makanan telah dihidangkan

a) Aisyah rha melaporkan rasulullah saw pernah bersabda : Sekiranya makan malam telah dihidangkan sedangkan iqamat untuk solat juga telah dilaungkan, dahulukan makan malam.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

b) Abdullah b Umar telah meriwayatkan bahawa rasulullah telah bersabda: Jika seorang itu sedang makan, janganlah dia tergesa-gesa (menghabiskan makanannya) sehingga dia benar-benar selesaikan keperluannya), walaupun pada waktu itu iqamat telah dilaungkan.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

Syarat-syarat mendahulukan makan sebelum solat :

1. Makanan benar-benar telah dihidang
2. Terlalu lapar
3. Waktu masih panjang.

Ensiklopedia solat; Datuk Hj Md Hashim Yahaya

Maksiat batin 9

Takjub

Adapun takjub pada sesuatu yang dikaitkan kepada dirinya maka ia dicela oleh syarak dan membinasakan ibadat :

1. Firman Allah Taala : Pada hari perang Hunain ketika itu kamu merasa takjub kerana banyak jumlah kamu tetapi jumlah yang banyak itu tiada menolong kamu sedikit pun.

2. Sabda nabi saw : Tiga perkara yang membinasakan ibadat. Pertama, kikir yang diikuti. Kedua, mengikut hawa nafsu, iaitu mengikuti segala yang disukai oleh nafsu yang dicela oleh syarak. Ketiga, takjub seseorang itu pada diri sendiri.

3. Imam al-Ghazali dalam Mukhtasar Ihya Ulumuddin berkata : Hakikat takjub itu ialah takbur yang terhasil di dalam hati dengan menyangka dirinya bersifat dengan sifat kesempurnaan dari segi ilmu atau amalan serta lupa menyandarkan yang demikian kepada Allah Taala serta rasa sentosa daripada kehilangannya. Maka jika ia ingat yang demikian itu serta takut kehilangannya, maka ia bukan takjub. Dan jika ia suka dengan keadaan demikian merupakan nikmat daripada Allah Taala, maka ia tiada dinamakan takjub.

Kesimpulannya :

Takjub yang  membinasakan amalan itu ialah apabila seseorang menilik ilmunya atau amalannya yang dikaitkan kepada dirinya dan ia tiada ingat kesemua itu datang daripada Allah dan tiada takut hilangnya. Adapun sesiapa yang menilik ilmunya atau amalannya dan sebagainya daripada sifat-sifat kesempurnaan, adalah nikmat daripada Allah Taala yang dijadikan baginya, sedangkan ia takut kehilangannya dan ia suka nikmat daripada Allah Taala itu ada padanya, maka yang demikian itu, tidak dinamakan takjub.

Wallaahu a’lam.

Hidayah Salikin
Syeikh Abdul Samad al-Palimbani.

Wednesday, January 30, 2013

Doa Istisqa’


Ya Allah! Jadikanlah hujan yang akan Engkau turunkan sebagai rahmat kepada kami. Jangan Engkau jadikannya sebagai punca azab, penghanyut, bala, kemusnahan dan banjir besar kepada kami. Ya Allah! Turunkanlah hujan ke atas bukit-bukit kecil, batu-batu, diperdu dan pangkal pokok dan di lembah-lembah. Ya Allah! Siramilah kami dengan air hujan yang menyelamatkan kami daripada kesusahan, yang menambahkan keselesaan, menyuburkan dan membesarkan tumbuhan, juga hujan yang menggemburkan dan menyuburkan tanah secara menyeluruh dan berterusan sehingga hari akhirat. Ya Allah! Turunkanlah hujan kepada kami dan janganlah Engkau jadikan kami daripada golongan yang berputus asa.

Ya Allah! Sesungguhnya hamba-hambaMu dan dan negeri ini sedang menghadapi kesusahan, kelaparan dan kesempitan hidup dan kami hanya mengadu kepadaMu semata-mata. Ya Allah! Tumbuhkanlah tanaman kami dan banyakkanlah bagi hasil susu kami. Ya Allah turunkanlah kepada kami keberkatan langit dan kembangkanlah bagi kami keberkatan bumi. Hindarkanlah kami daripada bala yang hanya Engkau sahaja dapat hindari. Ya Allah, kami memohon keampunanMu. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pengampun. Oleh itu, kirimkanlah kepada kami air langit yang mencurah-curah...Aameen.

Datuk Hj Md Hashim Yahaya

Tuesday, January 29, 2013

Solat





Peri pentingnya ibadat solat ini sehingga Allah swt menjemput rasulullah saw menghadapNya di Sidratulmuntaha semasa peristiwa Israk dan Mikraj untuk menerima kewajipan solat secara langsung daripada Allah Azzawajalla.

Doa tolak bala


Ya Allah dengan kebenaran al-Fatihah dan dengan rahsia yang terkandung dalam al-Fatihah. Ya Allah Tuhan yang melapangkan kedukaan dan yang menghilangkan kesedihan. Ya Allah Tuhan Yang Maha Penyayang kepada hambaNya. Ya Allah Tuhan yang menghindarkan bala. Ya Allah Tuhan Yang Maha Pengasih, yang menolak bala. Ya Allah Tuhan Yang Penyayang Yang menjauhkan bala, tolakkan daripada kami malapetaka, bala bencana, kekejian dan kemungkaran, sengketa yang beraneka, kekejaman dan peperangan, yang tampak dan yang tersembunyi, di dalam negara kami khususnya dan di dalam negara kaum Muslimin umumnya, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Aameen.

Maksiat batin 8


Membesarkan diri

Takbur sebesar penyakit dan maksiat di dalam hati.
Adapun membesarkan diri adalah sebesar-besar penyakit dan maksiat di dalam hati yang dicela oleh syarak, seperti :

1. Firman Allah Taala : Dikatakan kepada mereka; Hai orang-orang kafir masuklah kamu sekalian pada pintu-pintu neraka Jahnam dengan keadaan kekal di dalamnya. Maka neraka itu adalah sejahat-jahat tempat bagi orang-orang yang membesarkan dirinya.

2. Firman Allah Taala : Tidakkah di dalam neraka Jahnam itu tempat bagi orang yang membesarkan dirinya.

3. Sabda nabi saw : Tiada masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat zarah daripada takbur.

4. Sabda nabi saw : Dihimpunkan segala orang yang gagah dan yang membesarkan diri pada hari kiamat seperti rupa hama, mereka dipijak oleh segala manusia kerana sangat hina pada pandangan Allah Azza wa Jalla.

5. Sabda nabi saw : Sesiapa yang merasa besar di dalam dirinya dan mengagumi pada perjalanannya, nescaya ia mendapati Allah Taala berkeadaan sangat murka terhadapnya.

Hakikat Takbur :
Hakikat takbur itu bahawa seseorang melihat dirinya terlebih tinggi, terlebih besar dan terlebih mulia daripada orang lain dan melihat orang lain hina berbanding dengannya.

Tanda Takbur :
1. Adakalanya nyata pada lidah seperti katanya : Aku lebih baik daripada si polan, seperti kata Iblis yang dilaknati Allah dalam al-Quran : Aku terlebih baik daripadanya,iaitu daripada Nabi Adam. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikannya daripada tanah.

2. Adakalanya nyata pada kedudukan seperti ia meninggikan kedudukannya dan tempat duduknya terdahulu daripada orang ramai

3. Adakalanya nyata ketika berbicara dengan orang seperti ia tiada mahu kalah daripada perkataan orang dan tiada mahu ikut perkataan orang walau pun ia salah.

4. Kata Imam al-Ghazali : Orang takbur itu ialah orang yang jika ditegur oleh orang lain maka ia marah dan benci. Jika ia menegur orang maka dengan perkataan yang keras dan ia suka menegur orang tetapi tiada mahu ditegur oleh orang lain.

5. Sesiapa yang melihat dirinya lebih mulia daripada sesuatu yang dijadikan oleh Allah Taala walaupun daripada binatang, maka ia adalah orang takbur. Sepatutnya engkau mengetahui bahawa kemuliaan itu adalah orang yang dimuliakan Allah Taala di negeri akhirat iaitu orang yang takutkan Allah Taala.

Hendaklah menganggap diri sendiri lebih hina :
Sewajarnya bagi kamu menyakini diri sendiri lebih hina daripada segala makhluk Allah Taala. Dan hendaklah engkau melihat orang lain adalah lebih mulia daripada dirimu:

1. Jika melihat kanak-kanak kecil, katakanlah di dalam hatimu bahawa kanak-kanak itu tiada berbuat maksiat terhadap Allah Taala dan aku berbuat maksiat terhadap Allah Taala. Maka tiada syak lagi bahawa kanak-kanak itu lebih mulia daripada aku.

2. Jika engkau melihat orang yang lebih tua daripadamu, maka katakan di dalam hatimu, bahawa orang ini telah berbuat ibadat kepada Allah Taala lebih dahulu daripada aku. Maka tiada syak ia lebih mulia daripadaku.

3. Jika engkau melihat orang yang alim, maka engkau katakan di dalam hatimu bahawa orang ini diberi oleh Allah Taala ilmu  yang tiada diberikan kepadaku dan ia sampai kepada ilmu yang aku tiada mengetahuinya. Maka tiada syak lagi, ia lebih mulia daripada aku, betapa aku dapat menyamainya.

4. Jika engkau melihat orang yang jahil, maka engkau katakan di dalam hatimu bahawa orang ini berbuat maksiat terhadap Allah Azza wa Jalla dengan kejahilannya dan aku berbuat maksiat terhadap Allah Taala dengan ilmuku, maka tiada syak bahawa aku ini terlebih salah kepada Allah Taala dan terlebih jahat. Dan tiada diketahui dengan apa dimatikannya, barangkali ia bertaubat maka diampunkan Allah Taala  dosanya, iaitu ia mati dalam kebajikan dan barangkali aku berbuat maksiat, maka aku mati dalam kejahatan.

5. Dan jika engkau melihat orang kafir maka engkau katakan di dalam hatimu bahawa orang ini aku tiada mengetahuinya, berkemungkinan ia masuk Islam dan mati di dalam Islam, maka ia mendapat kebahagiaan dan diampunkan Allah Taala segala dosanya.

Wallaahu a’lam.

Hidayah Salikin
Syeikh Abdul Samad al-Palimbani.

Sunday, January 27, 2013

Puisi Keputeraan Rasulullah Muhammad


Tak semudah itu
angin pun tahu 12 Rabiulawal
hari kelahiran hati mendengar
Makkah jadi saksi
semua patung tumbang
Kaabah tak lagi bimbang.

Menara
dinding istana Khosrow
sembam ke bumi
api kuil Parsi mati
cahaya tubuh nabi
terpancar ke langit nan tinggi
pendeta Zarahustra
Anusyirwan
mimpi paling ngeri
syaitan jua jin
ketakutan separuh mati
sebahagian manusia
tak lagi jadi buta hati.

Lahir ke dunia
bayi bersuara :
Allahuakbar, Alhamdulillah
Dialah......

Ke bumi
kata  Ilahi
bawa rahmat ke seluruh alam
tidak kudilahirkan kata Muhammad
hanya satu
akhlak diperbaiki
jadi manusiawi sejati

Hari ini
tak sedikit muslim sendiri
lupa diri
hari kelahiran dirai gila diri
ketua di akhirat
rasul Muhammad dilupai
saat ini
tak kita terkejut lagi
seluruh dunia jadi saksi
umat Muhammad
diperkuda
jadi bisu
jadi umat emak Si Randang
jadi Pak Kaduk
jadi Lebai Malang.

Daeng Ramliakil
BH, 27 Jan 2013

Rabiul Awal : Dalam catatan seorang Abid


Seluhur selawat yang kurimbunkan di perkebunan
cinta ini
adalah aksara paling lunak
yang menggemai
malam-malam sunyiku
saat betapa di gua pengap batini
menadah qasidah agung
merawat sekujur diri
dengan penawar sirah
dari lembar kisah
yang terpetik dari rehal ceritera
seorang Muhammad yang
mewarnakan tanah
dengan seputih luhur muhasabah
di tanah suci Mukkaramah.

Dialah baginda yang
membaca peta gurun
di hampar kerikil dan pepasir
saat meninggalkan telapak
rindu di mata sahabat
kala hijrah mengirimkan janji
di negeri Munawwarah
demi kentalnya takwa yang
tidak pernah gersang
walau disergah ancam dan dendam
di hujung runcing
pedang sang seteru
saat Badar menyaksikan
agungnya perjuangan
demi genggam keberanian
sebuah kemenangan.

Di pangkal lidah usia
saat matahari zaman jauh
menyebarkan waktu yang bersisa
kita membancuh lagi halkum
mewarnakan cinta
dengan untai makna
di Rabiul Awal ini
tatkala rangkap selawat bersahutan
panjang dan berulang-ulang menusuk indera
kebenaran
mencari suluh cinta
menggilap takwa dalam
derap kembara
di tanah hayat yang seketika.

Husna Nazri
Kemaman
BH, 27 Jan 2013

Saturday, January 26, 2013

Peluang ke IPTA 2013


100 Kuota tambahan untuk pelajar miskin yang tercicir ke IPTA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 100 kuota tambahan disediakan di setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik di seluruh negara kepada pelajar yang layak namun tercicir, atas faktor sosioekonomi pelajar terbabit.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya mendapati ramai pelajar yang menepati syarat kelayakan memasuki IPTA dan politeknik, namun terkandas kerana tidak mampu bersaing dengan pelajar cemerlang berasaskan prinsip meritokrasi.
Beliau berkata golongan ini adalah pelajar yang lulus syarat am dan program tertentu di unversiti dan adalah dalam kategori miskin bandar, miskin luar bandar, minoriti, kaum asli dan ibu bapanya daripada golongan orang kurang upaya (OKU).
"Kita ada 32 politeknik dan 20 buah IPTA di seluruh negara, jadi setiap satu akan menyediakan kuota tersebut, ia akan mula dilaksanakan tahun ini bagi semua jurusan pengajian bagi program diploma dan ijazah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi 2013 ke sembilan serta penyampaian cek olok-olok bagi baucar buku 1Malaysia (BB1M) di sini.
Mohamed Khaled berkata kerajaan memperluaskan lagi akses pendidikan tinggi selepas mengambil kira golongan pelajar yang layak namun tidak bernasib baik.
"Buat masa ini, kita akan mulakan dengan jumlah 100 kemasukan supaya tidak menjejaskan kuota yang telah disediakan kepada pelajar cemerlang berasaskan meritokrasi," katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, sejumlah 160,000 tempat disediakan untuk kemasukan ke IPTA serta Institut Latihan dan Kemahiran, dan ia tidak termasuk 130,000 peluang kemasukan ke IPTS.
"Kemasukan pelajar baharu bagi kalendar akademik IPTA sesi 2013 dan 2014 akan bermula pada 1 dan 2 September bagi pelajar STPM dan setaraf bagi program ijazah pertama, 2 Jun bagi pelajar lepasan SPM dan setaraf bagi program diploma dan 26 Mei bagi program asasi," katanya.
Sejumlah RM325 juta BBIM diagih kepada pelajar IPTA, IPTS dan politeknik mulai Sabtu. BERNAMA

mstar.com.my
26 Jan 2013

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 4 )


Sambungan petikan teks ucapan...........

Bersempena tema Maulidur Rasul pada tahun ini, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, marilah kita mengukuhkan lagi pendekatan sederhana yang sekian lama diajar oleh baginda rasul saw. Malaysia sememangnya sebuah negara Islam yang telah lama mengamalkan prinsip-prinsip wasatiyyah. Prinsip-prinsip ini terkandung kukuh dalam dasar-dasar ajaran Al-Sunnah Wal-Jamaah yang mula-mula sampai dan disebarkan ke negara kita.

Justru kita dapati tiada dalam sejarah negara, Islam didakwahkan dalam bentuk paksaan, peperangan, pergaduhan dan kaedah yang menyusahkan. Nabi saw sendiri memberi peringatan keras tentang lawan kepada sifat sifat wasatiyyah ia itulah alwulu, melampau dan ekstrem.

Jauhilah melampau ( wulu )  dalam agama kerana telah binasa mereka yang sebelummu disebabkan melampaunya mereka di dalam agama.


      ( HR : Ibnu Majah dan Al-Nasai dalam sanad yang sahid )                   

Kita semua sedia maklum semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan sesama manusia. Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan atau agama keamanan sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia meskipun anutan agama mereka berbeza dari Islam. Kalaupun menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam menyelesaikannya. Memilih jalan konfrantasi dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan  harus dielak bagi menjamin keutuhan sesebuah masyarakat dan negara.

Hakikatnya kestabilan dan keharmonian yang sedia terjalin akan musnah, kalau kita gagal memelihara keharmonian dan nilai yang dibawa oleh agama. Dalam konteks negara Malaysia, agama Islam sebagai anutan majoriti oleh itu sudah tentu nilai Islam menjadi asas kepada pembinaan keharmonian masyarakat dan seharusnya mendapat sokongan semua pihak. Ini bermakna sifat wasatiyyah yang perlu diyakini adalah kesepaduan yang positif dalam segenap aspek lapangan kehidupan samaada dari sudut akidah, syariah dan akhlak secara individu atau berkumpulan.

Di samping itu, kita perlu menyakini bahawa  wulu atau ekstrem di dalam agama bakal merosakkan akidah, syariah dan akhlak samaada secara individu atau berkumpulan kerana itu hasrat kerajaan untuk menunjangi gagasan wasatiyyah yang dibawa oleh  rasulullah saw amat serius. Ia makin terserlah apabila di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia telah berjaya menjadi model kepada gagasan wasatiyyah antarabangsa. Ini terbukti dengan penubuhan Institut Wasatiyyah di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya dan Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global.

Semoga tema Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah sempena Maulidur Rasul pada tahun 1434 ini akan membawa satu dimensi baru kepada kita untuk menyedari bahawa nilai-nilai kesederhanaan perlu dijadikan asas kepada perpaduan kita.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 3 )


Sambungan petikan teks ucapan...........

Menyusuri sirah rasulullah saw dalam asas pembinaan Madinah, berjaya membentuk masyarakat berbilang agama sebagai landasan persefahaman yang unik. Kaum Muhajirin dan Anshar diikat persaudaraan mereka dengan talian akidah yang sama. Orang Yahudi, Nashrani dan Majusi dikaitkan hubungannya dengan orang Islam berasaskan saifah atau piagam yang sepakat bersama.  Dari situ Madinah berkembang menjadi sebuah kota yang akhirnya menjadi model sebuah tamadun.

Semangat saifah Madinah ini seharusnya menjadi landasan membangunkan masyarakat majmuk. Malaysia sebagai sebuah contoh terbaik negara majmuk boleh mengambil landasan ini sebagai asas membentuk negaranya. Yang berbeza hanya akidah dan kepercayaan kepada Tuhan. Etika perbezaan harus dipupuk dan difahami dan asas persamaan berdasarkan fitrah nilai dan bersama dikongsi harus disuburkan supaya hubungan sosial dan komunikasi antara kaum berdiri atas asas amanah, adil, saksama, timbang rasa, tulus dan juga telus.

Asas nilai ini amat penting menjadi pedoman setiap warga Malaysia kerana daripadanyalah lahir keyakinan dan kepercayaan tinggi di kalangan warganya dan menjadi asas ke arah intergrasi kaum, orientasi pembangunan dan pengurusan negara akan berlaku secara seimbang supaya wujud penyertaan adil ke arah bina negara terarah yang akhirnya bakal melahirkan rasa sejahtera di kalangan setiap warganya.

Piagam Madinah, cukup jelas mengenai hubungan dan hak orang Muhajirin dan Anshar dan hubungan serta hak orang bukan Islam. Golongan Muhajirin dan Anshar menjadi kelompok teratas mencerminkan rasa persaudaraan tinggi dan tauladan yang memperlihatkan contoh dan ikutan rasulullah saw boleh diterima oleh semua kaum sebagai pemimpin, dipercayai menjadi pelindung, kepentingan dan kebebasan orang yang bukan Islam.

Asas ini penting dikembangkan kerana walaupun nabi Muhammad saw seorang Islam tetapi kualiti dirinya memancar rasa amanah yang tinggi, keadilan yang jelas, daya kepimpinan telus dan pengendalian urusan yang amanah. Kualiti nilai ini tidak sahaja penting bagi orang Islam tetapi juga bermanfaat bagi bukan Islam. Yang diutamakan orang bukan Islam ialah pemimpin yang adil, amanah, jujur dan ikhlas. Inilah intisari risalah Quran yang serasi dengan fitrah manusia. Nilai Al-Quran ini yang menganjurkan kemakrufan itu amalan baik dan menolak kemungkaran atau nilai yang buruk.

Pancaran nilai Quran ini tidak hanya terikat, terlihat dalam kekuatan ruhaniah insan tetapi ia terpancar dalam amal. Program memaju dan merubah masyarakat, memperkasa ilmu pengetahuan, tolak ansur terhadap nilai budaya dan tamadun berbeza dalam masa yang sama memanfaatkan nilai budaya yang menyumbang ke arah kebaikan dan pembangunan masyarakat.

Masyarakat Malaysia yang kompleks memerlukan ramuan yang dapat membimbing warganya ke arah persefahaman tinggi dan pengertian mendalam dalam perbalahan bahawa disebabkan adanya perbedaan kepercayaan boleh menyebabkan ketidakstabilan berlaku. Tetapi asas kepercayaan yang memancar nilai dan etika baik harusnya berkembang dan dijadikan sandaran untuk disuburkan. Nilai kasih sayang dan hormat menghormati antara satu dengan yang lain adalah kualiti komunikasi yang amat penting dalam berjiran, berjual beli dan lain-lainnya.

Apalagi dalam pengurusan negara, orang Islam yang diamanahkan menjadi teras kepimpinan negara agar sentiasa ingat bahawa menzalimi dan menafikan hak orang lain adalah sesuatu yang tidak selari dengan ajaran Al-Quran. Menjadikan kepimpinan Islam sebagai satu contoh adalah menjadi suatu tuntutan supaya maksud rahmah alamiah yang menjadi tujuan utama rasulullah saw dihantar dan Al-Quran diturunkan bakal memberikan rasa selamat dan sejahtera bagi setiap warganya. Ia bakal mencetuskan rasa percaya yang tinggi dan Islam tidak dilihat sebagai agama yang mendalamkan lagi perkauman yang tinggi tetapi sebagai sumber amanah, adil, telus dan juga tulus.

Namun begitu sejarah membuktikan golongan bukan Islam walaupun minoriti mereka tidak pernah dipinggir dan diketepikan. Peruntukkan Perlembagaan memberikan mereka kebebasan dan jaminan untuk mengamalkan apa jua nilai yang diajar oleh agama masing-masing. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia sejak kita merdeka. Keharmonian ini seharusnya dipelihara dan dipupuk sepanjang masa serta mempertingkatkan dari masa ke semasa.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 2 )


Sambungan petikan teks ucapan...........

Sempena hari yang bersejarah ini, saya ingin mengimbau sejarah yang mencetuskan gagasan Maulidur Rasul saw. Ia sebenarnya bermula pada era pemerintahan panglima Islam yang terkenal iaitu Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Ketika ummah semakin dibelai  dengan kilauan dunia, jiwa semakin dihimpit dengan penyakit wahan, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati, Sultan Salahuddin tampil dengan membawa satu gagasan, gagasan yang tidak lain bertujuan untuk menyemai dan membangkitkan semangat perjuangan.

Umat Islam yang leka dibuai mimpi digerakkan lalu dibangunkan. Setiap detik, sirah peninggalan nabi Muhammad saw dijejak satu persatu, setiap lembaran dihadami dan disulami dengan semangat jihad dan perjuangan. Akhirnya segala-galanya telah terbukti. Sultan Salahuddin berjaya mengelodak seluruh jiwa umat untuk bangkit membebaskan Al-Aqsa, semangat umat Islam dalam menghadapi perang Salib bergelora kembali. Hari Jumaat 27 Rejab bersamaan 538H menjadi saksi Baitul Makdis kembali ke tangan ummah.

Hari ini kita melihat kembali Baitul Makdis berada di dalam gengaman bukan umat Islam tetapi Baitul Makdis yang mendapat kemuliaan Al-Quran, bumi yang mendapat kemuliaan daripada Allah swt dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Sesungguhnya kita mengharapkan akan ada nanti Salahuddin Al-Ayubi yang ke-2, akan ada nanti tentera-tentera Islam yang ke-2 yang membebaskan Baitul Makdis.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 1 )


Petikan teks ucapan

Alhamdulillah dalam suasana pagi yang penuh keberkatan ini di dalam rumah Allah, di dalam Masjid Putra, lambang ketauhidan dan penyatuan ummah, marilah sama-sama kita bersyukur kerana dapat berada dalam majlis yang bersejarah dalam usaha kita bagi mengharungi era transformasi menuju abad mendatang.

Sewajarnya kita syukuri kerana perhimpunan ini merupakan suatu usaha yang amat bermakna untuk kita mengingati kembali detik-detik kelahiran rasulullah saw ke muka bumi sebagai pembela ummah, penyuluh kegelapan, penyeri kehidupan, penegak keadilan, penghapus kezaliman, pengagung ketauhidan dan penyinar sekalian alam demi mendaulatkan kalimah Allah swt ke makam yang setinggi-tinggi dan selayak-layaknya.

Mengimbau kembali ke era sebelum perutusan nabi Muhammad saw, manusia berada di dalam situasi penderitaan dan kezaliman sekalipun sudah ujud negara-negara yang dikatakan bertamadun namun penderitaan, penindasan, kezaliman dan penghambaan sesama manusia tidak pernah terhenti.Yang kaya menindas yang miskin, yang berkuasa memperhamba rakyat biasa, jenayah kemanusiaan berleluasa, yang benar dikatakan salah, yang salah dikatakan benar sehingga dunia benar-benar kontang dari pedoman dan kebenaran.

Di kala itu jua, wujud agama-agama yang berasal daripada agama wahyu iaitu Yahudi dan Nasrani yang dibawa nabi dan rasul terdahulu, namun begitu kerana mengikut hawa nafsu, gilakan pangkat dan harta benda para rahib dan pendeta itu sanggup meminda ajaran rasul lalu mengubah peribadatan manusia kepada Allah, kepada peribadatan manusia sesama manusia. Mereka mengubah hukum hakam Allah swt lalu menukarnya dengan peraturan sendiri sambil mendakwa itulah hukum hakam yang diturunkan Allah swt semata-mata demi meraih kuasa dan pengaruh.

Mereka inilah golongan yang benar-benar berdusta. Allah swt menempelak mereka dalam Surah Al-Baqarah ayat 79 :
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis kitab Taurat dengan tangan mereka, lalu mengubah kalam Allah dengan rekaan mereka. Kemudian mereka berkata : ini ialah dari sisi Allah, supaya mereka dengan perbuatan itu mereka dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis dengan tangan mereka dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

Dalam kekalutan itulah, berita kelahiran dan kemunculan rasulullah saw sentiasa dinanti-nantikan bahkan mereka amat menyakini bahawa suatu masa nanti kebangkitan rasul itu pasti terjadi. Kelahiran rasulullah saw bukanlah suatu kelahiran biasa, ia kelahiran yang penuh dengan hasrat rabaniah yang diatur oleh Yang Maha Bijaksana. Baginda dilahirkan sebagai insan yang paling terpilih dan jua dari kalangan insan yang terpilih. Demikian hebatnya persiapan membangkitkan rasul ini menunjukkan betapa hebatnya risalah dan amanah yang digalas oleh rasulullah saw.

Tidakkah kita sebagai umat Islam seharusnya merasa bersyukur atas nikmat iman dan Islam yang telah disampaikan baginda. Apakah kita telah benar-benar mematuhi dan juga memenuhi apa yang dikehendaki rasulullah saw selama ini.Inilah apa yang perlu menjadi muhasabah kita pada pagi yang mulia ini dalam kita menyambut Maulidur Rasul saw 1434H ini.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013

Friday, January 25, 2013

Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 6 )


Y.Bhg. Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Program Pengajian Kenegaraan & Ketamadunan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW

Mohd Ridhuan Tee Abdullah tidak perlu diperkenalkan lagi, selain dari wajah dan pandangan beliau yang sering dipaparkan di media cetak dan elektronik, Ridhuan Tee juga amat dikenali sebagai saudara baharu yang lantang bersuara apabila menyentuh isu yang berkait rapat dengan agama Islam.
 
Cintanya terhadap syahadah yang dilafazkan, membuatkan Ridhuan Tee tidak patah semangat untuk mengembangkan syiar Islam di kalangan pelbagai rumpun bangsa di Malaysia. Dari sikap dan kesungguhan jitu yang dipamerkan, pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ini telah dilantik  menjadi Ahli Majlis Perunding Islam dan Panel Pemikir Wasatiyyah bawah menteri di Jabatan Perdana Menteri. Selain menyumbang idea dan jasa untuk memperjuangkan Islam bersama Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia dan juga PERKIM.

Menghargai segala pengorbanan dan perjuangan yang diberi, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah pada hari ini telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H.

Masjid Putrajaya
24 Jan 2013

Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 5 )


Tn. Hj En. Wan Alias b Che Wan Abdullah @ Wan Alias Abdullah
Pengurus Besar Pembangunan Kandungan & Penyelidikan Program
Al-Hijrah Media Corporation @ TV Al-Hijrah

Penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW

Dari seorang guru beliau melanjutkan pelajaran ke Mesir.Ilmu yang ditimba kemudiannya dimanfaatkan semasa bertugas di bahagian Muzium Pusat Islam kerana selain  daripada menjalankan tugas hakiki, Wan Alias juga turut dikenali sebagai seorang ustaz yang pemurah dengan ilmu. Idea Ust Wan Alias dicernakan kepada skrip dokumentari tv, antaranya Jejak Rasul. Sebuah dokumentari tv yang cukup berbekas di hati rakyat Malaysia setiap kali tibanya Ramadhan.

Dan kini dakwah menerusi media terus dipanjangkan oleh Ust Wan Alias melalui tv Al-Hijrah. Nyata sentuhan ilham Ust Wan Alias Wan Abdullah berjaya menampilkan imej rancangan tv berbentuk Islam yang lebih versatile

Masjid Putrajaya
24 Jan 2013

Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 4 )


Y.Bhg. Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah bt Hj. Abdul Karim
Yang DiPertua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi)

Penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW

Jika nak beri makan, jangan beri makan ikan tetapi ajarlah mereka bagaimana untuk mengail ikan. Inilah antara kata-kata yang menterjemahkan kentalnya semangat dan azam seorang tokoh bahasa. Pof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim yang kini sedang gigih memperjuangkan nasib wanita khususnya ibu tunggal menerusi Pertubuhan  Tindakan Wanita Islam Malaysia  atau Pertiwi.

Nik Safiah Karim meletakkan pendidikan sebagai asas utama dalam kerja kebajikan beliau dan untuk merealisasikan apa yang dicita-citakan pemegang Pingat Emas Tun Fatimah ini sanggup menebalkan muka mencari dana dan turun padang ke seluruh pelusuk kampung hanya untuk memastikan nasib wanita yang terpinggir akan terus dibela.

Dari nilai keringat yang ikhlas bersama Pertiwi dan perjuangan terhadap Bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim diumumkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan bagi 1434H bersamaan 2013M.

Banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada kerja
sukarela, kerja kesukarelaan juga amat penting dalam
proses pembangunan masyarakat dan ummah, jangan
mudah lupa diri, teruskan pencarian ilmu dan berkongsi
dengan orang lain.

Masjid Putrajaya
24 Jan 2013

Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 3 )


Khairunnisa bt Khairuddin
Pelajar Cemerlang Peperiksaan PMR 2012
SMK Bandar Mas, Kota Tinggi Johor

Penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW

Berkerusi roda bukan penghalang untuk Khairunnisa  Khairuddin untuk duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan lain. Walaupun mengidap penyakit genetik otot saraf sejak lahir Nisa tidak pernah menyalahkan takdir atas apa yang tersurat jauh sekali meminta simpati semasa menjalani Peperiksaan Menengah Rendah yang lalu.

Pencapaian cemerlang 8A yang diperolehi sudah cukup melayakkan Khairunnisa untuk menerima Anugerah Murid Cemerlang Calon Berkeperluan Khas Fizikal PMR 2012 bagi negeri Johor.

Kita perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri,
tidak perlu malu dengan kekurangan diri, terus
berusaha, pasti boleh berjaya.

Masjid Putrajaya
24 Jan 2013

Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 2 )


Y.Bhg. Tn Hj. Mohd Bakir b. Hj. Mansor
Penasihat Syariah Pusat Fiqh Muamalat,
Institut Perbankan, Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia

Penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW

Memulakan kerjaya di dalam pendidikan di Madrasah Al-Manshor Islamiah Pulau Pinang daripada tahun 1967 hingga 1970 telah memberi inspirasi kepada bekas pelajar Kolej Islam Malaya ini untuk menceburi kerjaya yang serasi dengan minat dan ilmu yang dimiliki. Tangga kerjaya yang didaki dengan pengalaman dan pengetahuan akhirnya, Ahli Majlis Pengawasan Syariah Bank Islam Malaysia Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Berhad dan kini sebagai Penasihat Syariah Kehormat Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia.

Dan hari ini negara menghargai segala sumbangan yang telah dicurahkan oleh Mohd Bakir Hj Mansor dalam memantapkan lagi nama Malaysia sebagai pemain kewangan Islam yang disegani dengan gelaran penerima Anugerah Maulidur Rasul 1434H bersamaan 2013M.

Masjid Putrajaya
24 Jan 2013

Thursday, January 24, 2013

Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H


Anugerah Perdana

Dari Kampong Sungai Bedil Besar, Kuching beliau menimba ilmu di Madrasah Al-Islamiah, kemudiannya menyambong pengajian di Madrasah Al-Junid di Singapura. Tanggongjawab sebagai pemimpin Persatuan Pemuda Pemudi Melayu menyebabkan Anis lantang mengutarakan pandangan bersemuka dan menerusi sajak dan esei yang disalurkan menerusi media cetak.

Daya kepimpinan Anis semakin terserlah apabila dilantik menjadi pemimpin pelajar ketika menyambung pelajaran di Kolej Islam Malaysia dalam peringkat Diploma pada tahun 1964.

Memulakan kerjaya di tanah tumpah darahnya pada tahun 1968, adalah satu cabaran besar buat Anis kerana ketika itu belum ada lagi kuasa pemerintah pemimpin Islam di Sarawak. Maka di bahu Anislah segala tanggungjawab memartabatkan Islam di bumi kenyalang terpaksa digalas. Walaupun patah sayap bertongkat paruh namun mufti ketiga negeri Sarawak ini berjaya melunaskan segala amanah yang dibawa.

Bermula dengan 6 buah sekolah rendah kebangsaan agama pada tahun 1985 kemudiannya Hj Anis berjaya menstrukturkan pengurusan zakat negeri dengan memantapkan lagi tabung Baitul Mal untuk kesejahteraan umat Islam di Sarawak.Manakala untuk menggalakkan masjid terus menjadi destinasi tumpuan umat Islam, Hj Anis memperkenalkan Lembaga Amanah Masjid Negeri Sarawak dengan harapan masyarakat Islam bumi kenyalang dapat berdikari dalam program-program mengimarahkan masjid.

Sepanjang beliau memimpin Majlis Islam Sarawak, tabung Baitul Mal Sarawak bertapak dengan kukuh dan maju sebagai sebuah dana utama umat Islam di negeri Sarawak. Majlis Islam Sarawak menjadi bukti kemampuan kepimpinan yang diterajuinya selama lebih 17 tahun.

Kesederhanaan perwatakannya sedikit sebanyak mencorak pemikirannya agar beliau bertindak sesuai dengan situasi dan kondisi demi masyarakat Islam bumi kenyalang ini. Sesuai dengan bakat dan kewibawaan kepimpinannya dalam organisasi beliau diberi pengiktirafan yang cukup membanggakan iaitu Anugerah Khas Majlis Islam Sarawak sempena Sambutan 50 tahun Majlis Islam Sarawak. Manakala pada sambutan Maulidul Rasul ini pula Y.Bhg. Dato Seri Hj. Anis Hj Abot telah dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul saw peringkat kebangsaan 1434H.

Kita mestilah, bagaimanapun menjadikan diri kita
khairul ummah. Itu arahan doa. Antara ciri-ciri
terpenting ialah persatuan dan perpaduan. Jika
kita dapat mewujudkan itu, maka kita insya-Allah
kita akan capai khairul ummah dan kemudian akan
capai ciri-ciri yang lain.


Masjid Putrajaya
24 Jan 2013

Maksiat batin 7


Kasihkan dunia

Adapun kasihkan dunia itu adalah dicela oleh syarak dan ini adalah asal bagi segala sifat kejahatan yang membinasakan manusia seperti :

1. Firman Allah Taala : Sesiapa yang berkehendakkan pahala akhirat, nescaya Aku tambahkan di dalam pahalanya itu. Dan sesiapa yang berkehendakkan pahala dunia, nescaya Aku berikan kepadanya dan tiadalah baginya apa-apa bahagian lagi di akhirat.
(As-Syura : 20)

2. Sabda nabi saw : Kasihkan dunia itu adalah kepala bagi segala kesalahan dan kejahatan.

3. Sabda nabi saw : Dunia itu penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.

4. Sabda nabi saw : Dunia serta kandungannya dilaknat, melainkan mana-mana bahagiannya yang dibuat kerana Allah.

5. Sabda nabi saw : Jika dunia itu pada Allah seberat sayap nyamuk, nescaya Allah tidak tuangkan kepada orang kafir satu teguk air.

6. Sabda nabi saw : Sesiapa yang kasihkan dunianya, nescaya ia memudaratkan akhiratnya. Dan sesiapa yang kasihkan akhiratnya, nescaya ia memudaratkan dunianya. Maka pilihlah akhirat yang kekal atas dunia yang fana.

Dunia yang dicela dan dunia yang yang dipuji :

Dan ketahuilah bahawa nafsu dunia itu tiada semata-mata dicela dan tiada semata-mata dipuji, kerana dunia itu jika tiada memberi manfaat kepada akhirat, maka dicela oleh syarak dan jika memberi manfaat kepada akhirat, maka ia dipuji oleh syarak :

1. Sabda nabi saw : Dunia itu tempat bertani bagi akhirat
Iaitu dunia, tempat menghasilkan bekalan bagi akhirat kerana dunia itu tempat perniagaan bagi akhirat.

2. Sabda nabi : Dunia itu manis serta hijau. Sesiapa yang mengusahakan harta yang halal daripadanya dan menghasilkannya dalam keadaan yang sebenarnya, nescaya Allah memberi pahala kepadanya dan memasukkannya ke dalam syurga. Dan sesiapa yang mengusahakan harta yang tidak halal daripadanya dan dibelanjakannya dalam keadan yang tiada sebenarnya, nescaya Allah Taala memasukkannya ke dalam negeri yang hina iaitu neraka Jahnam.

Wallaahu a’lam.

Hidayah Salikin
Syeikh Abdul Samad al-Palimbani.

Wednesday, January 23, 2013

Gurindam kepada anak


Duhai anak dengarlah nasihat
Hidup sejahtera mendapat berkat

Didiklah hati biarlah selamat
Persiapan di dunia juga di akhirat

Ilmu itu memandu dunia
Maju jaya bahagia selamanya

Jika belajar penuh tawaduk
Akan mencapai dapat petunjuk

Manusia itu semuanya sama
Didiklah diri menghayati agama

Setiap kita mestilah berbakti
Baik perangai dan budi pekerti

Amal bekalan perjalanan hidup
Dari pagi ke petang redup

Akhlak ibaratnya hiasan jiwa
Menghidupkan roh dan juga nyawa

Menuju destinasi akhirat yang pasti
Budimu dikenang selepas mati

Islam membina mendidik manusia
Menjadikan manusia lebih sempurna

Ami Masra
Bangi Selangor
Dewan Siswa
Jan 2013

Maksiat batin 6


Kasihkan kemegahan

Adapun kasihkan kemegahan maka ia dicela oleh syarak :

1. Seperti firman Allah Taala : Negeri akhirat itu Aku jadikan bagi orang yang tiada berkehendakkan ketinggian dan kemegahan dan tiada berkehendak membinasakan orang di dalam bumi. Dan syurga itu bagi orang yang takut pada Allah Taala. (Al-Qasas : 83)

2. Sabda nabi saw : Kasihkan kepada harta dan kemegahan itu menumbuhkan sifat munafik di dalam hati seperti air menumbuhkan sayur-sayuran.

3. Imam al-Ghazali berkata :Ketahuilah bahawa kemegahan itu adalah masyhur sebutan pada orang ramai dan ia dicela oleh syarak, melainkan bagi orang yang dimasyhurkan oleh Allah Taala kerana memasyurkan agama dan dunianya.

4. Dan kata saidina Ali b Abi Thalib ra : Hinakan dirimu dan jangan engkau masyhurkan. Dan jangan kamu mengangkat dirimu supaya disebut orang dengan mempunyai ilmu dan lainnya. Sembunyikan dirimu dan pengetahuanmu serta diamkan, nescaya engkau sejahtera daripada kejahatan dan menyukakan orang-orang salih dan menyakit hati orang-orang yang fasik.

Wallaahu a’lam.

Hidayah Salikin
Syeikh Abdul Samad al-Palimbani.

Ya Allah, jadikanlah bahagian diri kami yang tersembunyi lebih baik daripada diri kami yang terlihat, dan jadikanlah bahagian yang terlihat itu baik. Ya Allah, kepadaMu kami memohon perkara-perkara yang baik yang diberikan kepada manusia, berupa harta dan anak-anak, yang tidak sesat dan tidak pula menyesatkan. Aameen ya Rabb.

Tuesday, January 22, 2013

Berpaling mencari mafhum


Aku takut untuk menghabiskan hari
masih banyak hutang yang tak kulunasi.

Dari belakang, minggu dan bulan berlalu
pergi di hadapan, tahun-tahun pun menanti
(itu pun jika aku berumur panjang)
masih terkuak jalan dan luang
untukku menghantar pulang
pinjaman-pinjamanku
entah berpuluh tahun lalu?

Aku tetap takut untuk mendengar celaan
duka sengsara ini sudah cukup
menghukum di takungan hadapan
kulepasi godaan namun aku masih
berpaling, mencari mafhum

Tuhan, jauhkan aku dari sesat
di padang lapang
aku ingin mendekat, ingin bertaut erat
ringankan setiap imbangan
ketika pahala-dosaku ditimbang-timbang.

Norhisham Mustaffa
Dewan Tamaddun Islam Bil.1/2013

Maksiat batin 5


Bakhil dan kasihkan harta

Adapun bakhil dan kasihkan harta itu sifat yang dicela oleh syarak iaitu sebesar-besar perkara yang membawa kebinasaan di dalam negeri akhirat kerana:

1. Firman Allah Taala: Dan jangan kamu menyangka orang yang kikir dengan apa yang dikurniakan oleh Allah Taala daripada anugerahNya adalah lebih baik bagi mereka, bahkan ia kejahatan bagi mereka, lagi akan dikalungkan ke leher mereka pada hari kiamat apa yang mereka kikirkan.( Al-I’imraan: 180 )

2. Sabda nabi saw : Takutlah pada kikir, kerana sesungguhnya ia membinasakan orang-orang dahulu sebelum kamu.

Dan lawan kikir itu ialah murah hati iaitu sifat kepujian yang dipuji oleh syarak . Seperti firman Allah Taala : Sesiapa yang dipeliharakan dirinya daripada kikir, maka merekalah yang mendapat kemenangan di akhirat.( Al-Hasyr: 9)

Sabda nabi saw :  Murah hati adalah sejenis pohon kayu yang tumbuh di dalam syurga, maka tiada orang yang masuk ke syurga itu melainkan orang yang murah hati. Dan kikir itu adalah sejenis pohon kayu yang tumbuh di dalam api neraka, maka tiada orang yang masuk ke neraka itu melainkan orang yang kikir.

Sabda nabi saw : Orang yang murah hati yang jahil adalah terlebih kasih kepada Allah Taala daripada seorang ahli ibadat yang kikir.

Orang jahil yang murah hati adalah terlebih baik daripada orang yang banyak berbuat ibadat tetapi kikir sekalipun ia alim.

Dan sabda nabi saw : Allah tiada menjadikan auliaNya melainkan berdasarkan baik hati dan elok perangai.

3. Dan sabda nabi saw : Tiada masuk syurga orang yang kikir, orang yang memperdayakan orang, orang yang khianat dan orang yang jahat perangai di dalam hatinya.

4. Imam al-Ghazali juga berkata : Ketahuilah bahawa asal kikir itu ialah kasihkan harta dan ia dicela oleh syarak kerana orang yang tiada memiliki harta tiada nyata kikirnya , tetapi bila ia kasihkan pada harta kikirnya nyata, dan yang demikian itu dicela oleh syarak. Terkadang ada orang pemurah tetapi ia sayangkan harta, ia bermurah hati dengannya agar dikata orang kemurahannya lalu dipujinya, maka yang demikian dicela pula oleh syarak kerana sayangkan harta itu melalaikan daripada berzikir kepada Allah dan memalingkan muka hatinya kepada dunia, yang demikian ditegah oleh syarak.

5. Firman Allah Taala : Janganlah harta benda dan anak-anak kamu itu, melupakan kamu daripada berzikir kepada Allah. (Al-Munaafiquun : 9)

6. Dan sabda nabi saw : Kasih kepada harta dan kemuliaan itu menumbuhkan sifat munafik di dalam hati seperti air menumbuhkan sayur-sayuran.

Imam al-Ghazali juga berkata : Harta itu adakalanya dipuji oleh syarak dan adakalanya dicela oleh syarak. Dan yang dipuji oleh syarak itu ialah harta yang dibuat sedekah, harta yang dibuat bekalan ibadat haji dan sekalian yang dibelanjakan pada jalan akhirat. Dan harta yang dicela oleh syarak ialah harta yang dibelanjakan kepada berbuat maksiat dan yang dibelanjakan untuk kesukaan nafsunya yang tiada membawa faedah akhirat.

Wallaahu a’lam.

Hidayah Salikin
Syeikh Abdul Samad al-Palimbani.