Sunday, May 31, 2015

Meniagakan diri anda dan menarik perhatian orang yang berpengaruh


Esei 56

Sean Connery, yang memainkan watak James Bond dalam banyak filem mulanya ditemui oleh pihak Walt Disney yang mengambilnya untuk membintangi sebuah filem di Amerika Syarikat. Dalam filem berkenaan bakatnya telah dikesan oleh pengeluar Saltzman dan Broccoli lantas memanggilnya untuk satu temubual. Mereka kemudian mengingatkan sejarah: Kita perhatikan dia menyeberang jalan seperti seorang yang berkuasa luar biasa, kita tahu bahawa waktu itu kita berjaya mendapatkan Bond!

Andrew L. Webber yang membawakan kita kepada Phantom of the Opera dan sebagainya, mendedahkan bahawa ibu bapanya sendiri adalah pengaruh terbesarnya kerana dia dibesarkan dalam suasana muzik!

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Kelebihan salam


Bab 18

Kata Imam Nawawi: Sunat memulai dengan salam dahulu daripada tiap-tiap kalam. Dan sunat memberi salam orang yang berjalan atas orang yang duduk. Dan orang yang berkenderaan atas orang yang berjalan dan atas orang yang duduk. Dan memadalah memberi salam satu orang daripada jamaah. Dan demikian lagi, memadalah mengembalikan salam oleh satu orang daripada jamaah, maka gugur tuntut atas yang lainnya kerana memberi salam itu sunat kifayah dan menjawabnya fardhu kifayah. Dan pahalanya bagi orang yang memberi salam dan bagi orang yang menjawab jua.

Dan sunat bagi perempuan memberi salam setengah atas setengahnya. Adapun memberi salam lelaki atas perempuan yang muda, maka iaitu makruh. Dan sunat memberi salam atas kanak-kanak kerana mengajarkan adab bagi kanak-kanak. Dan demikan lagi sunat bagi orang yang bangkit daripada majlis memberi salam atas ahli majlis. Dan tiada sunat memberi salam atas orang yang memakai dengan maksiat. Dan sunat bagi orang muslim berjabat tangan dengan saudaranya. Dan jangan ia mencabut akan tangannya hingga mencabut taulannya akan tangannya apabila ia memulai. Dan sunat bahawa berpeluk-peluk keduanya dan harus mengucup salah seorang akan kepala taulannya dan akan tangannya atau wajah tabarruk. Adapun mengucup mulut dengan mulut, maka iaitu makruh.

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013

Al-Habib Muhammad bin Husein Ba’bud ( 4)

Pondok Pesentren
Darunnasyi’in, Lawang

Wasiat 4

Saya berpesan pula kepada diri saya dan kepada orang-orang yang tersebut tadi agar supaya banyak beristikharah serta bermusyawarah di dalam segala urusan. Dan hendaknya selalu mengambil jalan yang hati-hati, walaupun pada hakikatnya berhati-hati itu tidak dapat melepaskan seseorang daripada ketentuan Allah SWT dan takdirNya.

Namun menjalankan sebab-sebab tidaklah boleh ditinggalkan, justeru itulah wasiat atau pesan-pesan dan nasihat-nasihat itu diperlukan serta sangat dianjurkan. Oleh kerana hal itu semua adalah salah satu segi dari sebab-sebab di dalam mengajak orang kepada Allah SWT serrta mengajak untuk menuju kebahagiaan serta keselamatan di dunia dan akhirat.

Wallahu a’lam.

Terangi rumahmu dengan lampu dan terangi hatimu dengan Al-Quran
Al- Habib Abdullah bin Muhsin Al-Attas

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah

Melukah waktu

Bukan mudah melukah waktu
di paya kehidupan itu
jejari lukah tak akan mampu
memerangkap detik waktu.

Titisan hayat melurut luka
tika jari tertusuk selumbar rasa
bisanya bagai disengat sembilang
lukah tersia-sia di lopak hidup

Bukan mudah melukah waktu
tika hidup makin terhimpit
waktu bukan untuk di lukah
detiknya tak pernah membiak
waktu itu hidup tanpa bernyawa.

Mamu MK Hasny
Sitiawan, Perak
BH, 1 Mei 2015

Berasa sakit badan

Letakkan tangan di tubuh yang terasa sakit dan bacalah Bismillah tiga kali kemudian bacalah tujuh kali doa ini:

Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaanNya daripada kejahatan sesuatu yang aku jumpai dan yang aku takuti.

(HR Muslim)
Hj Abdul Rahman Mohd Adil
Kamus Doa, 2012

Friday, May 29, 2015

Membina daya penarik & karisma

Esei 55

Langkah-langkah ke arah mencapai keperibadian yang menarik :

1. Menyatupadukan dan membersihkan dalaman anda. Menurut Lady Blessington, tidak terdapat kosmetik untuk kecantikan seperti kebahagiaan. Penulis yang hebat, meninggalkan kata-kata yang berkekalan. Yang indah itu adalah satu kegembiraan yang kekal buat selama-lamanya.

2. Jadilah diri kamu yang sebenarnya. Setiap orang adalah cantik dengan uniknya dan harus kekal demikian. Kewajaran wujud bersama-sama keikhlasan dan kesesuaian. Jika anda bertopeng dan kata-kata bertembung dengan pemikiran dan tindakan, ianya akan menyerlah dan kesemuanya akan musnah, muka pun tampak bengang!

3. Sempurnakan rupa wajah dan kelakuan anda. Tiada sesiapa yang ingin dengan mereka yang gugup dan sukar. Jadilah sumber kepada keamanan, keseimbangan, elegen, positif, kuasa dan timbunan kekayaan! Senyumlah dengan mata. Taichi menambahkan oksigen. Lakukanlah!

4. Sentiasa menarik dan menawan perhatian.Bercakaplah dengan tenaga tidak terbatas,keikhlasan dan sabitan dalam menjayakan komunikasi.

Satu lagi kemahiran ialah pemadanan dan mengekori gerakan minda serta pemikiran kata-kata dan perbuatan orang lain. Jadilah seperti sebuah cermin yang memantulkan pernafasan, gaya, perasaan, bahasa, gerak isyarat, pemikiran, kecenderungan dan kepentingannya.Ingat nama orang lain. Hargai perasan ego seseorang, bukan hak diri anda sendiri. Buatkan mereka berasa diperlu dan berguna. Ingat dunia adalah begitu besar dan kompleks, anda tidak akan mengetahui semuanya. Emerson berkata, menjadi mudah dan sederhana bermaksud menjadi maha simpan rahsia dan keyakinan dan anda akan menerima sanjungan dan kesetiaan. Berilah sesuatu sebelum menerima apa-apa pemberian, terutamanya apabila ia adalah paling kurang dijangka.Usah dengki atau merungut.

Akhirnya, kualiti kepimpinan boleh meningkatkan karisma. Bacalah mengenainya. Ia meliputi: keterampilan peribadi yang positif, proaktif, bersopan, bersahaja, yakin, angun dan personaliti terimbang, daya pemilihan keutamaan yang baik, pengurusan masa dan tabiat yang baik, keteguhan, maruah, pengaruh, kepintaran, kecekapan, sifat pendesak, ketegasan, imej kendiri cemerlang dan kemahiran sosial, keupayaan untuk memperkasa orang lain, sokongan dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah-masalah dengan cepat.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Kelebihan sedekah


Bab 17

Riwayat daripada Abi Ad-Darda’ daripada rasulullah saw sabdanya: Tiada naik matahari melainkan dibangkitkan ditepinya dua malaikat menyeru keduanya dan mendengar oleh segala isi bumi melainkan jin dan manusia: Marilah kamu kepada Tuhan kamu! Maka bahawasanya barang yang sedikit dan memada ia terlebih baik daripada yang banyak yang melalaikan daripada Tuhan. Dan dua malaikat menyeru keduanya: Hai Tuhanku! Segerakan olehMu bagi orang yang menafkahkan hartanya akan gantinya, dan segera olehMu bagi orang yang memegang, yakni menegah daripada menafkahkan hartanya itu akan binasanya.

Dan sabda nabi saw: Barangsiapa jerkah akan orang meminta, nescaya menjerkah akan dia oleh malaikat pada hari qiamat.

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013

Al-Habib Muhammad bin Husein Ba’bud ( 3 )

Pondok Pesentren
Darunnasyi’in, Lawang

Wasiat 3

Kemudian aku juga berpesan kepada kalian untuk mempererat tali silaturrahim, iaitu sebuah ikatan kekeluargaan. Kerana sesungguhnya silaturrahim itu sangat memberi pengaruh terhadap keberkatan harta dan rezeki serta sebagai salah satu penyebab dipanjangkan umur. Silaturrahim itu mengunjukkan keluhuran budi pekerti dan tanda-tanda seseorang mendapat kebaikan di hari kemudian.

Maka hati-hatilah kalian daripada memutuskan tali persaudaraan, kerana sesungguhnya perbuatan itu sangatlah keji dan juga seksanya sangatlah pedih. Seseorang yang memutuskan hubungan tali silaturrahim itu terkutuk. Hal ini berdsarkan alil al-Quran. Ketahuilah, bahawa orang yang memutuskan adalah pertanda orang yang lemah iman.

Orang yang memutuskan hubungan silaturrahim tidak akan mencium bau surga. Bahkan orang yang memutuskannya, maka kesialannya akan menular kepada tetangga-tetangganya. Maka dari itu sambunglah tali persaudaraan kalian wahai saudara-saudaraku, kerana sesungguhnya tali rahim itu bergantung pada salah satu tiangnya singgahsana Allah SWT yang Maha Pengasih.

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah

Musola desa

Subuh menghantarnya pulang
ke lorong nostalgia
ke sebuah musola tua

Di sini
dia belajar mengangkat wuduk
dan membentang sejadah
seperti mana air di kolah
itu berkecipak
begitulah jiwanya berkocak
pada setiap subuh remajanya
di sepanjang alam desanya.

Udara desa yang kelabu
melepaskannya ke sebuah kota
di tengah-tengah nadi kota
di celah-celah urat remaja
dia membesar dan dewasa.

Berbekalkan dengungan
nasyid yang diunggulinya
dia menjual suara
hingga mencipta nama
dunia ciptaannya
dunia glamor yang rapoh
mudah tergelincir dan hanyut.

Empat musim berlalu
seorang lelaki separuh usia
kembali ke kolah musola desanya
membasuh luka dan dosa
sujud memohon keampunanNya.

Di sebuah musola desa
dia kembali mengabdikan diri
seperti di zaman remajanya.

Razali Mohd Yusoff
Batu Gajah
BH, 1 Mei 2015

Berlindung daripada keburukan akhlak

 
Ya Allah, jauhkanlah aku daripada berbagai-bagai kemungkaran akhlak, hawa nafsu, amal perbuatan dan segala macam penyakit.
(HR al-Hakim)

Hj Abdul Rahman Mohd Adil
Kamus Doa, 2012


Thursday, May 28, 2015

Kelebihan zakat

Bab 16

Barangsiapa tidak menunaikan zakat hartanya, dinamakan dia :

Pada langit dunia; bakhil
Pada langit kedua; syahihan, yang sangat bakhil
Pada langit ketiga; mumsikan, yakni matahari dan memegang
Pada langit keempat; maftunan, yang kena fitnah
Pada langit kelima, ashi (yang bermaksiat)
Pada langit keenam, manu’an manzu’ al-barakah ( menegah kebajikan dan dihilangkan berkatnya, tiada ada bahagian baginya pada hartanya dan kebajikan.
Pada langit ketujuh, mathrudan, ditolakkan amalnya dan sembahyangnya mardudah, tiada diterima akan dia tetapi dipukulkan dengan dia akan muka empunya.

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013

Al-Habib Muhammad bin Husein Ba’bud ( 2 )

Pondok Pesentren
Darunnasyi’in, Lawang

Wasiat 2

Kepada muridku yang meminta pesan dan ijazah, semoga Allah SWT membukakan kepadanya pintu ma’rifat sebagaimana Allah SWT telah membukakan pintu ma’rifat kepada kaum ’arifin. Dan semoga Allah SWT mengarahkan kepadanya jalan orang-orang yang telah mendapatkan petunjuk

Pertama-tama, aku pesankan kepada diriku sendiri dan kepadanya untuk sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Pesan takwa kepada Allah SWT inilah yang dipesankan Allah SWT kepada seluruh manusia yang awal  dan akhir. Kemudian hendaklah kita membahagi waktu dengan sebaik-baiknya dalam menjalankan pelbagai amal ibadah serta rajin menghadiri perkumpulan dan majlis-majlis yang baik.

Hendaklah pula kita rajin membaca al-Quran yang mulia serta memperbanyak berzikir kepada Allah SWT terutama zikir-zikir yang bersumber dari cahaya rasulullah swa, di antaranya adalah wirid-wirid al-Imam al-Habib Umar bin Abdurrahman al-Attas dan al-Imam al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad.

Bersemangatlah dan janganlah malas dalam mengkaji kitab-kitan tafsir, hadis, tasawwuf dan sebagainya. Bergaul dan belajarlah dengan para ulama al-’arifin billah, iaitu mereka yang mengenal Allah SWT dan menunjukkan kita kepada pengenalan kepada Allah melalui ucapan dan perbuatan mereka.

Hadirilah majlis-majlis ilmu dan zikir. Kunjungilah orang-orang soleh yang masih hidup dan yang sudah meninggal. Hiasilah dirimu dengan akhlak serta perilaku yang mulia. Bersihkan dirimu dari sifat-sifat yang tercela. Cintailah kebaikan dan orang-orang yang baik. Cintailah orang-orang miskin serta rendah hatilah kepada mereka. Jadilah orang yang berguna bagi sekalian hamba Allah SWT di dalam hal yang diredhai Allah SWT dan rasulNya...........

Sebagaimana yang terdapat dalam kitab Sabilul Muhtadin susunan al-Imam al-Habib Abdullah bin Alwi bin Hasan al-Attas dan yang terdapat dalam kitab al-Athiyyatul al-Haniyyah susunan al-Imam al-Habib Ali bin Hasan al-Attas, sebagaimana yang saya dapat sari ayahandaku, al-Habib Husain bin Ali Ba’bud, serta guru-guruku yang mulia.

Dan jadikanlah ayat yang mulia ini sebagai semboyanku, yang ertinya : Kebahagiaan dan kenikmatan negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi, serta kesudahan yang baik iaitu syurga adalah bagi orang-orang yang bertakwa.

Jadikanlah  hadis di bawah ini sebagai semboyanmu pula, yang ertinya: Takutlah engkau melanggar kepada Allah SWT di mana sahaja engkau berada, dan ikutkanlah perbuatan burukmu dengan perbuatan-perbuatan yang baik untuk menghapusnya dan pergauli orang lain dengan budi pekerti yang baik.

Begitu pula perkataan al-Imam al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad: Bertakwalah engkau kepada Allah SWT dalam keadaaan tersembunyi dan terbuka, bersihkanlah hatimu dari kekejian dan kekotoran, lawanlah hawa nafsumu yang tidak bertujuan melainkan hanya mengumpulkan bagi negeri dunia yang isinya cubaan dan bencana. Bergaullah dengan orang-orang baik yang mempunyai ilmu dan mendapat petunjuk. Jauhilah dan jangan kau bergaul dengan orang-orang ahli bidaah, nescaya engkau mendapat petunjuk.

Akhirnya, aku mengharap kepada kalian untuk tidak melupakanku, keluargaku, anak-anakku serta murid-muridku dari doa-doa yang baik, entah dalam keadaan sendiri atau bersama orang ramai. Semoga Allah SWT memberi kepada kita kebahagiaan penjagaanNya dan keindahanNya serta sentiasa mengarahkan kita menuju jalan yang lurus. Amin, amin, amin ya rabbal alamin....Wa sallallahu ’ala Sayidina Muhammad wa ’ala alihi wa sahbihi wassalam.

6 Syaaban 1396H
1 Ogos 1976

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah

Kebaikan angin

Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon kepadaMu kebaikan aingin ini dan aku berlindung kepadaMu daripada kejelikannya.
(HR Abu Daud dan Ibnu Majah)

Hj Abdul Rahman Mohd Adil
Kamus Doa, 2012

Wednesday, May 27, 2015

Kelebihan segala sembahyang sunat


Bab 15

Riwayat daripada Umar bin Syu’aib daripada bapanya, daripada neneknya daripada nabi saw: Barangsiapa sembahyang sunat Dhuha 12 rakaat, dibaca pada tiap-tiap rakaat Fatihah dan ayat Kursi dan surah Al-Ikhlas tiga kali, nescaya turun daripada langit 70 ribu malaikat serta mereka itu beberapa kertas putih dan beberapa qalam (pena-pena) daripada nur, menyuruh mereka itu baginya akan beberapa kebajikan hingga hari tiup sangkakala. Maka apabila adalah pada hari kiamat datang akan dia oleh segala malaikat itu serta tiap-tiap satu malaikat itu pakaian dan hadiah, maka berdiri mereka itu pada kuburnya dan berkata mereka itu : Hai Shahih Al-Qabri, bangkit olehmu dengan izin Allah, maka bahawasanya engkau daripada orang yang amin (yakni, selamat sejahtera).

Anas ra meriwayatkan daripada nabi saw: Barangsiapa sembahyang 2 rakaat sunat Dhuha, dibaca rakaat yang pertama Fatihah dan ayat Kursi 11 kali. Pada rakaat yang kedua, Fatihah dan Al-Ikhlas 11 kali, mewajibkan keredhaan Allah Taala yang amat besar.

Imam Nawawi di dalam Raudhah  menyatakan : Yang afdhal sunat Dhuha itu 8 rakaat dan sebanyak-banyaknya 12 rakaat.

Dan diriwayatkan, bahawasanya apabila dihantarkan mayat ke dalam kubur dan datang akan dia empat api, maka:

1. Datang sembahyangnya, memadam ia akan satu api
2. Dan datang puasanya memadam ia akan satu api
3. Dan datang sedekahnya memadam ia akan satu api
4. Dan datang sabarnya memadam ia akan satu api

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013

Al-Habib Muhammad bin Husein Ba’bud ( 1 )

Pondok Pesentren
Darunnasyi’in, Lawang

Al-Habib Muhammad sering menuliskan wasiat-wasiat untuk keluarga, sahabat-sahabat juga muridnya. Berikut empat wasiat beliau:

Wasiat 1

Saudara saya yang setia telah meminta kepada saya sebuah peringatan atau wasiat kepada dirinya yang mana telah saya kabulkan kerana mengharap doanya, walaupun saya sendiri perlu diperingatkan.

Sebagai asas, maka saya pesankan wasiat Allah SWT kepada orang-orang ahli kitab dan kaum mukminin, iaitu agar sentiasa bertakwa kepada Allah SWT sesuai firmanNya : Dan sungguh Kami telah perintahkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum Kami dan juga kepada Kami; iaitu bertakwalah kepada Allah SWT.

Maka hendaklah kita bertakwa dalam segala hal, baik kepada diri sendiri  mahupun kepada orang lain. Hingga segala sesuatu yang mengarahkan kita menuju kepada ketakwaan perlu diamalkan. Misalnya cinta dan bergaul dengan para solihin, yang mana mereka adalah orang-orang soleh yang perkataan dan perbuatannya menunjukkan serta mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Ingatlah sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari sahabat Anas ra yang mengandungi makna yang sangat dalam : Sesorang itu adalah bersama-sama dengan siapa yang dicintainya, baik itu di dunia dan di akhirat...........

Sentiasa mengamalkan amal ibadah.

Rajin menghadiri majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir atau majlis maulid dan lain sebagainya. Dalam hal ini, jika kita mengharapkan rahsia dan berkat di majlis tersebut, perlulah diiringi dengan husnuzzan atau berbaik sangka kepada Allah SWT dan seluruh para hamba Allah SWT.

Bersunggguh-sungguh dalam berakhlak dan beradab yang baik serta menjauhkan diri dari perbuatan yang tidak berguna, terutama sifat ingin menonjolkan diri dan mencari pengaruh.

Selalu membaca wirid-wirid yang disusun oleh para Sadah al-Alawiyyin terutama wirid-wirid yang diriewayatkan dari rasulullah saw seperti Ratibul Haddad dan Wirdullathif, serta lain sebagainya. Hendaknya wirid-wirid tersebut dibaca dengan sikap khusyuk serta penghayatan terhadap makna dan maksudnya.

Gemar berziarah kepada orang-orang soleh atau aulia Allah SWT yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia, terutama yang masyhur.

Aku memohon atas hadrat Allah SWT, mudah-mudahan aku dan saudara sekalian dapat menjalankan taat kepada Allah SWT dan rasulNya, agar kita tergolong dalam golongan orang-orang yang mendapat kurnia Allah SWT dengan para nabi dan solihin.

Barangsiapa yang mentaati Allah SWT dan raulNya, maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahkan nikmat oleh Allah SWT, iaitu para nabi, siddiqin, syahid dan orang-orang soleh, yang mana mereka itulah sebaik-baik hambaNya. Amin, amin, amin ya rabbal alamin....Wa sallallahu ’ala Sayidina Muhammad wa ’ala alihi wa sahbihi wassalam.

14 Muharram 1386H
5 Mei 1966

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah

Angin dari tanah kuburan


Harum tanah
lewat angin dari kuburan
singgah di tangga umur
sewaktu senja pamitan
membongkok sopan
berjabat tangan
dengan malam

Tutuplah tingkap
biarkan harum batu nisan
menyusup lewat dinding umur
biarkan malam panjang
bermonolog rindu
dengan Tuhan

Bentangkan tikar mengkuang
sebelum waktu digulung
membungkus jasad.

Baharuddin Sairi
Sungai Nibung Sekinchan

BH, 24 Mei 2015

Ya Allah jadikanlah yang terbaik buat kami adalah di penghujung kehidupan ini dan pertemuan denganMu tidak dalam kesedihan dan kesesatan yang mendukacitakan. Aameen.

Tuesday, May 26, 2015

Sumber manusia

Esei 54

Pekerja boleh membina atau menghancurkan sesebuah syarikat. Berikut berapa panduan berkaitan dengan sumber manusia:

1. Cari dan buat pilihan. Dapatkan orang yang terbaik.
2. Yakini subordinat anda.
3. Sokongan. Daripada kritik yang menghancurkan, bantu mereka untuk belajar daripada kesilapan dan teruskan penyampaian pengetahuan dan kemahiran.
4. Jawatan sangkutan dan aspirasi. Berikan mereka rasa kepunyaan dan penglibatan dalam objektif, membuat keputusan, aktiviti, ganjaran dan wawasan satu masa depan yang cerah.
5. Pengiktirafan dan ganjaran
6. Jadikan kerja sesuatu yang menyeronokan.
7. Empati dan harapan-harapan akan mengundang kejayaan.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar


Kelebihan sembahyang fardhu

Bab 14

Hikmah ditentukan sembahyang pada lima waktu itu bahawasanya :

Pada waktu zohor dinyalakan jahannam. Maka barangsiapa sembahyang zohor pada waktunya, keluar ia daripada dosanya seperti hari yang diperanakkan dia oleh ibunya.

Dan pada waktu asar, memakan Adam akan buah kayu. Maka barangsiapa sembahyang asar pada waktunya, diharamkan Allah akan jasadnya atas api neraka.

Dan pada waktu maghrib, taubat Allah atas Adam. Maka barangsiapa sembahyang Maghrib pada waktunya, tiada meminta ia akan sesuatu hajat melain diberi akan dia.

Dan waktu isyak, menyerupai akan kelam kubur dan kelam hari qiamat. Maka barangsiapa sembahyang isyak pada waktunya atau berjalan kepadanya, diberi Allah akan dia nur di dalam kuburnya dan pada hari qiamat.

Dan barangsiapa sembahyang subuh pada waktunya, diberi Allah dua kelepasan ; daripada neraka dan nifaq.

Dan daripada Salman Al-Farisi ra : Sembahyang itu sukatan yang sempurna, barangsiapa mengurangkan dia dikurangkan pula.

Dan sabda nabi saw : Tiada halal zakat bagi orang yang meninggalkan sembahyang. Dan jangan kamu diami akan dia, dan jangan kamu sekedudukan akan dia. Maka bahawasanya laknat turun atasnya daripada langit. (Qurratul ’Uyuun)

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013

Ya Allah anugerahkan kami dan keturunan kami  rasa cintai dan khusyuknya solat. Aameen.

Al-Habib Abdurrahman bin Ahmad Assegaf

Menurut anaknya, al-Habib Ali bin Abdurrahman : Walid itu orang yang tidak mampu. Bahkan beliau pernah berkata: Barangkali dari seluruh anak yatim, yang termiskin adalah saya. Waktu lebaran, anak-anak lainnya memakai sandal atau sepatu baru. Akan tetapi saya, jangankan sandal atau sepatu yang baru, sandal dan sepatu pun saya tidak punya. Tidurnya pun di bangku sekolah. Namun kesulitan seperti itu tidak pernah menyurut semangatnya untuk giat belajar.

Walid itu kalau berburu ilmu sangatlah sungguh-sungguh dan mengerahkan segenap kemampuannya yang ada. Beliau sanggup berjalan kaki dengan menempuh perjalanan berkilometer hanya untuk belajar daripada al-Habib Abdullah bin Muhsin al-Attas di Keramat Empang, Bogor.
 
Disiplinnya, tidak hanya dalam hal mengajar juga dalam soal makan. Walid tidak akan pernah makan sebelum waktunya. Di mana pun dia berada, Walid selalu makan tepat pada waktnyau.

Al-Habib Abdurrahman amat menekankan kkepada putera-puterinya untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu, serta menuntut ilmu daripada ramai guru. Sebab ilmu itu bukan sebuah warisan yang diwariskan begitu sahaja tanpa adanya belajar serta kesumguhan dalam menggapainya.

Dalam suasana yang agak sukar dan darurat, beliau tetap mengamalkan sunnah rasullah saw. Ketika itu beliau menyampaikan ceramah dengan berdiri. Tatkala terasa haus, dia meraih gelas yang ada dihadapannya.Namun subhanallah....beliau yang sudah uzur itu masih sempat untuk duduk dulu saat minum dan kemudian berdiri kembali. Begitulah, untuk hal-hal sesederhana itu pun beliau masih berusaha untuk mengamalkannya....

Apabila seorang alim meninggal dunia, maka dia akan ditangisi oleh semua makhluk. Memang raganya telah tiada, namun dia akan sentiasa terkenang sepanjang masa.

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah

Akukah itu

Akukah itu...
yang gentar apabila memikirkan masa depan
gerun apabila mengenangkan onak duri
kehidupan.

Akukah itu...
yang tunduk pada setiap kehendak insan lain
sedang memberontak menidakkan
setiap kemahuan mereka.

Akukah itu...
yang terpaksa menghalalkan yang haram
lantaran kedayusan suara untuk membantah.

Akukah itu...
yang akhirnya tertunduk menangkis meratap
atas kebodohan dan ketidakberanian diri
sedang dulu akulah yang dikagumi
atas kelancangan mulut bersuara
dalam menegakkan keadilan dan kebenaran
aku juga bisa mendabik dada
atas kemampuan diri
mengatur masa depan
yang bakal ditempuhi.

Hanirah
http://www.pelitabrunei.gov.bn/puisi

Sunday, May 24, 2015

Memperkasa orang lain

Esei 53

Perhubungan antara manusia mengisi keseluruhan hidup kita dan menentukan kejayaan dan kebahagiaan.Setiap orang itu unik, istimewa dan berhak mendapat penghormatan. Ia dapat dilahirkan dari kata-kata dan tindakan. Manusia mempunyai kepekaan dan keinginan. Manusia adalah makhluk yang sensitif, mudah terhina dan tersinggung.

Dalam hidup, tiada banyak pencapaian tanpa bantuan dan sokongan orang lain. Hidup ini singkat. Berusahalah untuk mengembirakan diri sendiri dan orang lain.Kuasailah seni yang memberi rahmat kepada pemberi begitu juga penerima.

Berminatlah dengan sesungguhnya terhadap orang lain. Ingat, setiap orang tidak kira bangsawan atau pengemis mempunyai beberapa pengalaman unik – Robert Maxwell

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Kelebihan puasa

Bab 13

Riwayat daripada nabi saw : Barangsiapa membaca subhanallah wabihamdih pada hari raya 300 kali kemudian dihadiahkan bagi orang mati daripada muslimin dimasukkan di dalam tiap-tiap kuburnya seribu nur (cahaya) dan dijadikan Allah baginya dalam kuburnya seribu nur apabila mati ia.

Dan sabda nabi saw : Barang siapa membaca pada tiap-tiap daripada dua hari raya: Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNyalah kerajaan dan bagiNyalah segala pujian. Dialah yang menghidup dan mematikan dan Dia Hidup dan tidak mati. Di tanganNya segala kebajikan dan Dia Amat Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. 

400 kali dahulu daripada sembahyang raya, nescaya dikahwinkan dia Allah Taala 400 Hurul 'Iin dan seperti ia merdeka 100 sahaya dan diwakilkan Allah Taala dengan dia akan malaikat diperbuat baginya beberapa dusun dan ditanamkan baginya beberapa pohon kayu hingga hari kiamay.

Kata Zuhri: Tiada aku tinggal membaca akan dia masa aku dengar akan dia daripada Anas ra. Dan kata Anas: Tiada aku tinggal akan dia masa aku dengar daripada rasulullah saw.

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013

Al-Habib Abdul Qadir b Husein Assegaf


Pasuruan

Al Habib Abdul Qadir selalu mewajibkan dirinya sentiasa melaksanakan solat berjemaah. Dia rela membayar kaum fakir miskin untuk tujuan itu.Jika memasuki masjid, didahulukan kaki kanan. Jika terlupa atau salah, tanpa segan diulanginya. Siwak juga tidak ditinggalkan untuk dibawa, bahkan diletakkan di atas sejadah, dalam almari juga di sudut bilik; dibimbangi tidak bersiwak. Beliau juga dikenali sebagai ahli zikir termasuk membaca maulid, Qasidah al-Mudhariyyah di samping al-Quran dan wirid-wirid lain.

Amalan Ramadhan

Di pertengahan Ramadhan, beliau bertahajud hingga beberapa saat menjelang fajar. Setelah itu, bersahur bersama keluarga. Selepas solat subuh berjemaah di Masjid Jamik al-Anwar, beliau ke makam al-habib Ja’far b Sheikhan Assegaf yang terletak di samping masjid itu hingga terbitnya matahari. Beliau kembali ke rumah untuk istirehat sebentar hingga solat Dhuha, dan tidak berganjak dari tempat solatnya hingga zuhur. Selepas 2 juz al Quran dibaca sehingga asar. Selepas solat asar berjemaah beliau menuju majlis, memimpin pembacaan rauhah dengan panduan kitab Ihya Ulumuddin sehingga dua puluh minit menjelang waktu berbuka.

Kemudian dia mencari para fakir dan miskin untuk diajak solat berjemaah dan berbuka bersama. Setelah itu dia membaca surat Yasin, Ratib al-Haddad, Ratib al-Attas kemudian solat Isyak berjemaah diikuti Tarawih, witir dan tasbih.

Saat kematian

Beliau meminta seorang ahli keluarganya untuk memanggil al-Habib Ahmad bin Ali Assegaf untuk masuk ke biliknya. Seluruh jendela yang ada di biliknya dibuka, lalu dia berbaring dan membaca al Quran surat at-Taubah ayat 128 sampai 129. Ketika sampai pada bacaan : La Illa Hu.... ketika itulah roh beliau kembali menuju ke hadirat Allah Taala.

Barangsiapa yang menyatakan bahawa dirinya cinta kepada kaum solehin, namun dia tidak beramal sebagaimana amalan mereka dan tidak berakhlak sebagaimana akhlak mereka, maka dia adalah pembohong besar.

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah

Mengaminkan talkin




Kami mengusung keranda
kebuminya di kelam tanah
mengemam ingatan basah
menghadzam surah-surah
kesekian kali bermuhasabah.

Ketika jenazah direndahkan
dibaringkan di liang lahad
kami mula mengerti natijah
kita dihantar ke negeri sana
bersendiri sebatang kara.

Kami mengaminkan talkin
menghitung harta amal miskin
mengelap kesedihan di pipi
mengulum rasa kilau nurani
kemudian menapak kaki lagi
sehingga langkah tergari.

Setelah menyapu sendu
di songkok dan sepatu
kami pun gegas berlalu
mengandar tanya di kalbu
bila pula giliran diri ditandu
pengusung ke balai transit
menanti dibawa pesawat
ke bandaraya sepi, kesit.

Azmi Yusoff
Kuala Lumpur
Mingguan Malaysia
11 Mei 2015

Kebahagian hati nurani


Wahai Allah! Sesungguhnya Engkau telah memerintahkan kami untuk memohon kepada Engkau dan telah Engkau janjikan kami perkenanMu. Sesungguhnya kami telah memohon kepada Engkau sebagaimana yang Engkau perintahkan kepada kami. Oleh kerana itu, perkenankanlah permohonan kami sebagaimana yang Engkau janjikan. Aameen.

Fathullah Yasin
Doa & zikir penawar tekanan segera


Saturday, May 23, 2015

Al-Habib Umar bin Hud Al-Attas

Jakarta

Beliau seorang yang istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT. Ibadahnya selalu diusahakan terjaga dengan sempurna, begitu juga dalam hal berpakaian. Dia selalu pisahkan antara pakaian seharian dan solat demikian juga sentiasa melaksanakan tahajud. Hingga suatu waktu, pembantunya dikejutkan oleh suara tangisan dari bilik al-Habib Umar. Al-Habib memaklumkan : Saya tertudur dan terlambat bangun satu jam untuk beribadah kepada Allah Ta’ala. Ketika itu, pembantunya terbangun pada pukul 25.00 WIB. Subhanallah...padahal al-Habib waktu itu berusia lebih dari 90 tahun....

Beliau senang menjamu tetamu. Sebelum fizikalnya lemah, dia sering bangun dari duduknya untuk menyambut dan memuliakan tetamu yang datang. Orang berebut mencium tangannya, namun dia sendiri sering mencium kembali tangan mereka, baik daripada kalangan habaib ataupun bukan, besar, kecil, tua atau muda.

Kunci keberkatan
 
Sewaktu kecil, al-Habib Umar sentiasa membawakan tempat air berukuran besar untuk mengisi penampungan air keperluan ibunya. Di tengah terik matahari gurun pasir yang menyengat, dia berulang alik dengan jarak yang jauh, dari rumah di pergunungan ke tempat pengambilan air. Ketika itu penduduk sering menggambarkannya tempat air yang berjalan sendiri atau tempat air yang dibawa jin, kerana tubuhnya masih kecil sehingga tidak terlihat dari kejauhan dan tertutup oleh besarnya tempat air yang dia pikul!

Diriwayatkan ketika ayahnya berusia lanjut, dia tidur di bawah tempat tidur si ayah agar ia mudah terjaga untuk mengendong ayahnya apabila terjaga dan ingin ke bilik air atau membantu menyediakan keperluannya di malam hari. Siang harinya dia berdagang untuk memenuhi keperluan nafkah dirinya dan orang tuannya.

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah