Pondok Pesentren
Darunnasyi’in, Lawang
Wasiat
2
Kepada muridku yang meminta pesan dan ijazah,
semoga Allah SWT membukakan kepadanya pintu ma’rifat sebagaimana Allah SWT
telah membukakan pintu ma’rifat kepada kaum ’arifin. Dan semoga Allah SWT
mengarahkan kepadanya jalan orang-orang yang telah mendapatkan petunjuk
Pertama-tama, aku pesankan kepada diriku sendiri
dan kepadanya untuk sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Pesan takwa kepada
Allah SWT inilah yang dipesankan Allah SWT kepada seluruh manusia yang
awal dan akhir. Kemudian hendaklah kita
membahagi waktu dengan sebaik-baiknya dalam menjalankan pelbagai amal ibadah
serta rajin menghadiri perkumpulan dan majlis-majlis yang baik.
Hendaklah pula kita rajin membaca al-Quran yang
mulia serta memperbanyak berzikir kepada Allah SWT terutama zikir-zikir yang
bersumber dari cahaya rasulullah swa, di antaranya adalah wirid-wirid al-Imam
al-Habib Umar bin Abdurrahman al-Attas dan al-Imam al-Habib Abdullah bin Alwi
al-Haddad.
Bersemangatlah dan janganlah malas dalam mengkaji
kitab-kitan tafsir, hadis, tasawwuf dan sebagainya. Bergaul dan belajarlah
dengan para ulama al-’arifin billah, iaitu mereka yang mengenal Allah SWT dan
menunjukkan kita kepada pengenalan kepada Allah melalui ucapan dan perbuatan
mereka.
Hadirilah majlis-majlis ilmu dan zikir.
Kunjungilah orang-orang soleh yang masih hidup dan yang sudah meninggal.
Hiasilah dirimu dengan akhlak serta perilaku yang mulia. Bersihkan dirimu dari
sifat-sifat yang tercela. Cintailah kebaikan dan orang-orang yang baik.
Cintailah orang-orang miskin serta rendah hatilah kepada mereka. Jadilah orang
yang berguna bagi sekalian hamba Allah SWT di dalam hal yang diredhai Allah SWT
dan rasulNya...........
Sebagaimana yang terdapat dalam kitab Sabilul Muhtadin susunan al-Imam
al-Habib Abdullah bin Alwi bin Hasan al-Attas dan yang terdapat dalam kitab al-Athiyyatul al-Haniyyah susunan
al-Imam al-Habib Ali bin Hasan al-Attas, sebagaimana yang saya dapat sari
ayahandaku, al-Habib Husain bin Ali Ba’bud, serta guru-guruku yang mulia.
Dan jadikanlah ayat yang mulia ini sebagai
semboyanku, yang ertinya : Kebahagiaan dan
kenikmatan negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin
menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi, serta kesudahan yang
baik iaitu syurga adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
Jadikanlah
hadis di bawah ini sebagai semboyanmu pula, yang ertinya: Takutlah engkau melanggar kepada Allah SWT di mana sahaja
engkau berada, dan ikutkanlah perbuatan burukmu dengan perbuatan-perbuatan yang
baik untuk menghapusnya dan pergauli orang lain dengan budi pekerti yang baik.
Begitu pula perkataan al-Imam al-Habib Abdullah
bin Alwi al-Haddad: Bertakwalah engkau
kepada Allah SWT dalam keadaaan tersembunyi dan terbuka, bersihkanlah hatimu
dari kekejian dan kekotoran, lawanlah hawa nafsumu yang tidak bertujuan
melainkan hanya mengumpulkan bagi negeri dunia yang isinya cubaan dan bencana.
Bergaullah dengan orang-orang baik yang mempunyai ilmu dan mendapat petunjuk.
Jauhilah dan jangan kau bergaul dengan orang-orang ahli bidaah, nescaya engkau
mendapat petunjuk.
Akhirnya, aku mengharap kepada kalian untuk tidak
melupakanku, keluargaku, anak-anakku serta murid-muridku dari doa-doa yang
baik, entah dalam keadaan sendiri atau bersama orang ramai. Semoga Allah SWT
memberi kepada kita kebahagiaan penjagaanNya dan keindahanNya serta sentiasa
mengarahkan kita menuju jalan yang lurus. Amin, amin, amin ya rabbal
alamin....Wa sallallahu ’ala Sayidina Muhammad wa ’ala alihi wa sahbihi
wassalam.
6 Syaaban 1396H
1 Ogos 1976
Wallahu a’lam.
Mutiara
Habaib Nusantara
Abdul Qadir
Umar Mauladdawilah
No comments:
Post a Comment