Guru ialah orang yang memberi atau menyampaikan ilmu, secara
formal di sekolah. Secara profesionalnya, gelaran guru hanyalah dikhususkan
kepada individu yang mengajar di sekolah. Jika terdidik guru akan terdidiklah
negara, kerana anak-anak kita banyak masanya berada dalam pengawasan guru,
iaitu sejak anak-anak kita dihantar ke taman didikan kanak-kanak (tadika).
Guru tadika, merupakan guru yang paling penting dalam
pembangunan insan bagi anak-anak kita. Sebab guru tadika mendidik anak-anak
kita semasa mereka berumur 4 - 6 tahun, iaitu pada satu fasa usia, anak-anak
sedang menerima apa-apa sahaja yang diajar oleh guru tanpa ada tapisan minda.
Kanak-kanak pada usia itu, ibarat span yang menyerap apa-apa
sahaja jenis cecair yang datang kepadanya, tidak kira bersih atau kotor. Kalau
sistem nilai yang dimasukkan oleh guru tadika selain ibu bapa negatif, maka
anak-anak akan menerima kesan negatif hingga mereka besar. Keyakinan diri
anak-anak, cara mereka melihat diri mereka dan personaliti diri mereka, akan
bergantung kepada persekitaran yang disediakan oleh guru-guru dan ibu bapa
semasa mereka kecil.
Disebabkan hal tersebutlah, maka tugas seorang guru itu amat
penting, maka kerana itulah Hari Guru disambut setiap tahun pada 16 Mei. Namun
begitu, seandainya seorang guru itu, menjadi guru bukan kerana berminat hendak
menjadi guru, bukan menjadi guru untuk mencari tujuan hidup, dan menjadi guru
bukan untuk mendapatkan reda Allah dan mengharapkan "pencen kubur",
alangkah sia-sianya masa dan usia yang dihabiskan sepanjang menjawat jawatan
itu.
Lebih rugi lagi kepada masyarakat dan negara, jika seseorang itu
menjadi guru kerana pilihan terakhirnya, setelah beberapa kali gagal mendapat
kerja yang dimahukannya, atau memilih profesion perguruan itu kerana berasa
stabil dapat bekerja dengan kerajaan, atau suka kerana bekerja sekerat hari dan
dapat bercuti panjang apabila cuti sekolah.
Jika kita bekerja, hanya fokus apa yang kita patut dapat, kita
tidak akan berusaha lagi untuk mempertingkat dan memperbaiki usaha kita dalam
kerjaya. Kita tidak akan hiraukan sama ada cara kita mengajar bagus atau tidak
bagus, murid/pelajar faham atau tidak faham, kerana kita tahu apa pun yang kita
buat, setiap bulan kita akan mendapat gaji yang tetap. Sama ada kita
bertungkus-lumus mengajar atau kita mengajar ala-kadar, gaji yang kita terima
tetap sama; jika semua guru berfikiran begini, alangkah ruginya negara dan
kasihan anak bangsa kita.
Manfaat
Hakikatnya, semua guru berjaya melaksanakan tugasnya untuk
mengajar, tetapi tidak semua guru berjaya mendidik murid/pelajarnya. Mengajar
hanya setakat melibatkan akal, tetapi mendidik melibatkan sahsiah, emosi
rohani, cara guru bercakap dan berinteraksi dengan murid/pelajar. Yang kuat
dalam diri manusia itu ialah rohaninya. Keintelektualan mengajar untuk mereka
faham sahaja, bukan menanamkan pada roh dan jiwa mereka suka kepada ilmu yang
dipelajari.
Sebab itu apabila guru mengajar dan mendidik, kita bukan sekadar
mengajar untuk orang faham dan tunjuk betapa bijaknya kita, tetapi berniat
hendak memberikan semaksimum manfaat kepada murid/pelajar, berdasarkan ilmu
yang kita miliki. Semoga dengan ilmu yang kita berikan itu, akan menjadi
"modal" untuk mereka berjaya dalam hidup pada masa hadapan.
Sayangilah murid/pelajar dan pandang mereka dengan kasih sayang,
macam anak kita sendiri. Guru pun bermula daripada tidak pandai suatu masa
dahulu. Apabila kita menjadi guru, bayangkan ketika kita di dalam darjah satu
dahulu; macam mana kita hendak cikgu melayan kita, begitulah kita perlu melayan
murid darjah satu kita. Mesti ada perasaan empati, iaitu letakkan perasaan kita
dalam perasaan orang, barulah kita boleh bekerja dengan jiwa.
Kalau guru berkasar dengan murid/pelajar, macam manalah mereka
hendak berlembut dengan guru. Budaya memberi dan menerima mesti ada; kita baik
dengan murid/pelajar di sekolah, mereka juga akan baik dengan kita. Atas
keredaan Allah SWT kerana kita ikhlas mengajar, anak kita di rumah pun selamat,
dijaga Allah daripada musibah. Sebab itulah daripada (pengamatan), didapati
biasanya anak seorang guru akan berjaya dalam hidupnya, kerana keberkatan
kerjaya seorang guru.
Guru, jadikanlah sekolah itu ladang pahala dan pasanglah niat
menjadi guru untuk memberi manfaat dan mendapat reda Allah. Apakah benih yang
hendak kita taburkan di ladang pahala, sama ada benih kehidupan atau racun
kehidupan? Sebagai guru, kita menjadi ejen pengubah, untuk membina jati diri
murid/pelajar kita, dan lihat setiap individu dengan potensi dirinya yang tidak
ada had. Janji kepada diri kita, sebagai guru, kita akan tentukan dengan ilmu
yang kita ada dan persekitaran sekolah, murid/pelajar kita semua akan berjaya,
tidak kira sama ada mereka dalam kalangan pelajar cerdik ataupun tidak.
Kita tidak akan menjadi guru yang melebihkan murid/pelajar
pandai sahaja, yang boleh mendapat banyak A dan akan menaikkan prestasi
sekolah, serta menilai kecemerlangan berdasarkan pencapaian akademik sahaja.
Sepatutnya kita seimbangkan antara pencapaian akademik dengan kawalan emosinya,
iaitu dari segi budi pekerti. Ubah paradigma bahawa kecemerlangan seseorang
bukan hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik. Ini kerana ilmu akademik
akan membuatkan kita pandai, tetapi ilmu wahyu membuatkan kita menjadi baik.
Bukan baik dari segi akal intelek semata-mata, tetapi hendak didik
murid/pelajar menjadi baik dari segi hati budi.
Jangan membunuh keyakinan murid/pelajar dengan memberikan komen
negatif dan fokus kepada kelemahan mereka sahaja. Janganlah menjadi guru yang
hidupnya hanya mencari dan menyerlahkan kesalahan orang, kerana tanpa kita
sedari murid/pelajar kita itu juga, sedang belajar daripada apa yang kita
lakukan kepada mereka. Kalau kita sentiasa mencari kesalahan mereka, sebenarnya
kita sedang mendidik mereka, hidup ini untuk menunjukkan kita hebat, kita cari
kesalahan orang dan lupakan kebaikan orang.
Kita mesti fikir apa yang kita buat, apakah kebaikan yang
pelajar kita dapat, bukan sebagai satu hukuman. Kalau kita mendenda mereka,
bagi tahu sebab kita hukum dia. Kita bukan marah dia sebagai insan tetapi kita
marah kepada akhlaknya. Jangan keluarkan komen yang membunuh keyakinan mereka,
yang akan menjadi parut sampai mereka besar. Guru yang kita sayang ialah guru
yang baik dan pandai mengambil hati kita, memuji kita dan sentiasa senyum.
Jangan sampai menjadi guru, semasa muda garang, apabila tua,
nanti pelajar lari enggan menegur kita. Biarlah sebagai guru kita dikenang
kerana kebaikan kita, bukan kerana kegarangan kita. Biarlah ramai yang menangis
pada hari bersara kita, bukan orang di sekeliling kita mengira tahun, bulan dan
hari menanti hari persaraan kita.
“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.
Wallahu a’lam.
Dr Muhaya Muhamad
Mingguan Malaysia
17 Mei 2015
No comments:
Post a Comment