Thomas Alva Edison lahir pada 11
Februari 1847 di Ohio, Amerika Syarikat. Ayah dan ibunya berasal dari Kanada. Edison
tuli sejak lahir. Ayahnya seorang peniaga kayu. Sejak dari kecil lagi Edison
ingin tahu itu ini. Suatu hari dia bertanya kepada ibunya, mengapa ibu angsa
duduk duduk di atas telur-telurnya? Ibunya menjawab, supaya telur-telurnya
hangat. Dia bertanya lagi, mengapa angsa itu mahu telur-telurnya hangat? Ibunya
menjawab lagi, supaya telur itu menetas menjadi anak angsa. Pada hari itu
Edison hilang sepanjang hari. Ayahnya yang bingung mencari dia terjumpa Edison
tidur dalam sarang angsa di gudang rumput kering jirannya. Di bawah badannya
ada telur-telur angsa. Ada yang pecah, ada yang belum. Edison belajar dari
pengalaman itu bahawa angsa dapat menetaskan telur-telurnya tapi manusia tidak.
Entah apa sebabnya, dia tidak tahu. Ayahnya marah-marah, tapi ibunya cuma menggeleng-gelengkan
kepala.
Edison dihantar ke sekolah
sewaktu berusia 8 tahun, Di sekolah dia selalu salah ejaan. Walaupun dia takut
dirotan, tapi dia tetap tidak dapat menghafal fakta-fakta yang diberi oleh
gurunya. Dia dikatakan murid otak udang. Kerana dia suka bertanya macam-macam
soalan, gurunya tambah benci padanya kerana suka bertanya benda-benda bodoh dan
menganggu dia sedang mengajar. Dia dikatakan juga budak biadab.
Edison tidak mahu ke sekolah. Dia
bosan dengan bilik darjah. Di sekolah dia terpaksa belajar dengan mendengar
guru. Tapi dia suka belajar dari pengalaman. Satu hari dia cuba membakar
rumahnya sendiri. Dia dipukul oleh bapanya di depan mata jiran tetangga yang
menyaksikan kejadian itu. Apabila ditanya mengapa, dia menjawab; nak tengok apa
jadi!
Ibu Edison pernah bekerja sebagai
guru sekolah. Apabila Edison berdegil tidak mahu ke sekolah lagi ibunya
mengambil keputusan dia sendiri mengajar anaknya di rumah. Ayah Edison tambah
marah. Tapi ibunya selalu menyebelahi Edison dan menyelamatkan Edison dari
kemarahan ayahnya. Mengikut jiran-jiran Edison, mereka selalu mendengar bunyi
lentam-lentum di bawah rumah keluarga itu di mana Edison bermain-main dengan macam-macam
dengan apa saja yang dia suka kerana dia tahu itulah cara belajar yang anaknya
suka; belajar sendiri.
Edison suka membaca kerana ibunya
mendorong dia supaya suka membaca sendiri. Semasa dia berumur 9 tahun, ibunya
membeli buku School of Natural Philosophy. Buku itu mengandungi berbagai-bagai
ujikaji saintifik yang boleh dibuat di rumah. Setiap halaman buku itu dibaca.
Habis semua ujikaji dalam buku itu dicubanya. Kemudian dia membuat ujikajinya
sendiri pula.
Salah satu ujikaji yang dibuatnya
ialah menggosokkan bulu dua ekor kucing besar. Kemudian kedua-dua kucing itu
dilekatkan pada kawat untuk menghasilkan eletrik static. Hasilnya dia luka-luka
dicakar kucing. Dalam ujikaji lain, Edison menyuruh rakannya menelan serbuk
siedlitz. Dia berharap serbuk itu akan mengeluarkan gas dalam tubuh temannya
yang akan membuat dia terbang seperti belon.
Ibu Edison membenarkan dia
menjadikan bilik tidurnya makmal. Bunyi gedebak-gedebuk dan lentum-lentam
selalu kedengaran. Ada masanya sampai rumah bergoncang. Ayahnya selalu hendak
merotan Edison, tapi ibunya akan memujuk supaya anaknya jangan dirotan.
Dengan sokongan ibunya, Edison
menjadi pencipta paling kreatif di dunia. Beliau memiliki 1093 paten bagi
pelbagai ciptaannya. Antara ciptaannya yang paling terkenal ialah mentol
elektrik, peti nyanyi (fonograf), filem bersuara. Bentuk telefon moden hari ini
di mana bahagian bercakap diasingkan daripada bahagian mendengar adalah juga
ciptaan Edison.
Wallahu alam.
Berfikir dalam darjah,
Ainon Mohd & Abdullah Hassan, 1996
No comments:
Post a Comment