Thursday, February 6, 2014

Jika orang……

Jika orang tidak suka
Madu diiminum terasa cuka.

Jika orang sudah dibenci
Nama disebut dikata dicaci.

Jika orang sudah tak sudi
Tiada gunanya jika berbudi.

Jika orang tidak pandang
Diam sahaja jangan meradang.

Jika orang tidak peduli
Ular menjalar dikata tali.

Jika orang tidak kisah
Bawa bertenang jangan gelisah.

Jika orang buat tak tahu
Tiada gunanya berganding bahu.

Jika orang tak mahu bersama
Tiada gunanya bekerjasama.

Jika orang tidak pelawa
Jangan sekali berasa kecewa.

Jika orang tidak dengar
Sunyi sepi walaupun hingar-bingar.

Jika orang tak ajak pergi
Tidak mengapa tidaklah rugi.

Jika orang sudah tak percaya
Cicak kecil disangka buaya.

Jika orang tidak menjemput
Senyum sahaja jangan hamput.

Jika orang tidak mahu
Buat sahaja tidak tahu.

Jika orang tidak sayang
Jangan cuba nampakkan bayang.

Jika orang sudah marah
Salah sedikit naiklah darah.

Jika orang tak kasih lagi
Jangan ditanya ke mana pergi.

Jika orang tidak menyapa
Lupakan sahaja jangan berjumpa.

Jika orang sudah tak ingin
Panas terik terasa dingin.

Jika orang tidak simpati
Usah mengadu buat sakit hati.
 
Jika orang tak mahu tolong
Tiada gunanya terlolong-lolong.

Jika orang tak beri salam
Agaknya terlupa ajaran Islam.

Jika orang mahal senyuman
Jauhi diri usah berteman.

Jika orang diam sahaja
Jangan cuba hendak bermanja.

Jika orang sakit hati
Sabar sahaja dan hati-hati.

Jika orang tidak sembahyang
Pahala kurang dosa terbayang.

Wallahu alam.

Mohd Sidek b Mohd Dollah
Gurindam jiwa mengusik hati,2012

No comments:

Post a Comment