Secara tradisionalnya, kita
dilatih di dalam pelbagai kaedah supaya dapat mengenalpasti masalah dan
menyelesaikan masalah. Kita tidak dilatih berfikir untuk mengenalpasti peluang-peluang
baru. Untuk menyelesaikan masalah, teknik berfikir yang diperlukan ialah
teknik-teknik berfikir jenis reaktif, iaitu teknik-teknik analitikal dan logical.Sebaliknya
untuk mengenalpasti peluang-peluang baru, kita perlu mengunakan teknik-teknik
berfikir projektif
Di dalam bilik darjah dan dewan
kuliah, kita diberi masalah dan dikehendaki menganalisis masalah itu dan
mengemukakan jawapan. Kita menggunakan cara-cara berfikiran kritikal untuk
bereaksi kepada masalah yang ada di depan kita. Sebagai pelajar kita semua
menanti guru mengemukakan masalah untuk diterima, dianalisis dan diberikan
jawapannya.
Keadaan ini serupa dengan Gunung
Kinabalu yang terpacak tegak menunggu untuk kita daki. Demikianlah halnya
dengan masalah-masalah yang diberikan kepada kita di sekolah. Soalan-soalan itu
menunggu untuk kita selesaikan. Itulah sebabnya pelajar-pelajar yang pintar di
sekolah cekap menyelesaikan masalah-masalah jenis reaktif. Makin tinggi gunung
tersebut, semakin mereka berasa mereka lebih pintar.
Ciri utama kepintaran jenis ini
ialah kita mahu supaya semua maklumat disediakan di hadapan kita. Tanpa
maklumat yang lengkap kita tidak dapat melakukan analisis masalah yang perlu
dicari maklumat.
Dengan itu, kita yang mendapat
markah tinggi sewaktu menjawab soalan-soalan jenis reaktif mungkin gagal
menjawab soalan-soalan jenis projektif. Pemikir projektif boleh berfikir
meskipun tiada maklumat lengkap dengan maklumat tambahan dijana sendiri.
Situasi dicipta dengan melakukan aktiviti berfikir untuk menilai apa yang
penting dan kurang penting, menjana idea-idea alternative membuat
bermacam-macam agakan dan ramalan serta mencipta pelbagai strategi.
Teknik-teknik berfikir projektif diperlukan di dalam kegiatan-kegiatan seperti
menghasilkan reka cipta, membuat projek, keusahawanan dan kreativiti am.
Wallahu alam.
Ainon Mohd & Abdullah Hassan
Berfikir dalam darjah, 1996.
No comments:
Post a Comment