Marconi lahir pada 25 April 1874
di Kota Bologna, Itali. Ibunya berbangsa Irish dan ayahnya berbangsa Itali.
Ibunya 17 tahun lebih muda dari ayahnya. Waktu Marconi lahir ayahnya sudah
berusia lebih 50 tahun. Keluarga Marconi tinggal di kawasan pertanian, 17
kilometer di luar Bandar Bologna. Ibunya seorang yang suka berjalan dan Marconi
sentiasa ikut ibunya ke mana dia pergi. Sewaktu masih berumur 3 tahun Marconi
sudah dibawa oleh ibunya pergi ke England melawat sanak saudaranya di sana.
Antara tempat yang ibunya selalu lawati ialah Pelabuhan Leghorn di selatan
Itali. Ibu saudaranya tinggal di sana. Marconi sentiasa dibawa oleh ibunya ke
mana-mana dia pergi.
Cita-cita ayahnya ialah mahu
melihat Marconi menjadi pegawai dalam angkatan tentera laut Itali. Tapi
cita-cita itu tinggal cita-cita sebab peribadi Marconi lain benar. Pelajaran
sekolah Marconi buruk sekali. Dia bukan budak bodoh, Cuma dia bosan dengan
pelajaran bilik darjah. Dia tidak suka pergi sekolah. Oleh itu ibunyalah yang
mengajar dia di rumah. Kemudian ayahnya terpaksa membayar guru peribadi. Itupun
Marconi tidak suka belajar juga. Gurunya menganggap Marconi budak bodoh yang tidak
boleh diajar.
Walaupun Marconi benci pelajaran
di sekolah, Marconi suka membaca. Dia selalu diam-diam masuk bilik perpustakaan
ayahnya dan berjam-jam tenggelam dalam buku-buku. Yang paling digemari ialah
buku-buku yang menceritakan bagaimana benda-benda bekerja. Apa yang dibaca
semuanya dicubanya. Sejak dia berusia 10 tahun lagi dia sudah mula mencipta
macam-macam permainan sendiri. Semasa belasan tahun dia pernah memasang alat
dari zing yang berupa seperti tombak di atas bumbung rumahnya. Kemudian dia menghubungkan
tombak itu dengan kawat terus ke sebuah loceng elektrik dalam rumah. Dia berdoa
supaya hujan rebut berlaku. Satu hari betul-betul terjadi hujan ribut dan kilat
sambar-menyambar. Dan, loceng itu berbunyi.
Perangai Marconi menyebabkan
ayahnya kecewa dan selalu geram kepadanya. Bagi si ayah semua permainan anaknya
itu cuma membuang masa sahaja. Dia selalu kena marah ayahnya. Tapi ibunyalah
yang sentiasa menyelamatkan Marconi. Malah ibunya mengajar dia bagaimana menyorokkan
alat-alat permainannya supaya ayahnya tidak tahu.
Sebenarnya Marconi memang sangat
suka pada laut dan mahu berkhidmat dalam angkatan tentera laut Itali. Tetapi
sewaktu mengambil ujian dalam memasuki Akademi Angkatan Tentera Laut dia gagal.
Dia kecewa, ayahnya lebih-lebih kecewa. Akhirnya, dia masuk sekolah teknik
sahaja. Waktu itu dia berumur 13 tahun. Tapi rupa-rupanya di sekolah itulah
bakatnya mula benar-benar berkembang. Dia suka bersekolah di situ kerana dia dapat
terus membuat bermacam-macam ujian. Ayahnya tidak bangga dia cuma masuk sekolah
teknik. Tapi ibunya dapat memujuk ayahnya supaya terus memberi wang pada
Marconi untuk membeli bahan-bahan dan alat-alat yang diperlukan untuk
permainan-permainan yang sia-sia itu.
Setelah tamat sekolah teknik,
Marconi mengambil ujian masuk university. Sekali lagi dia gagal. Hancurlah
harapannya untuk menjadi mahasiswa Universiti Bologna. Ibunya tahu perasaan
Marconi. Dia tetap mahu anaknya masuk university. Ibunya pergi berjumpa dengan
Profesor Augusto Righi, seorang professor fizik yang terkenal. Memang Marconi
sangat meminati ilmu fizik tapi laporan pelajaran sekolahnya tidak menunjukkan
dia pelajar cemerlang bidang tersebut. Akhirnya professor itu menerima Marconi
sebagai muridnya bukan kerana dia menganggap Marconi layak, tapi kerana kesian
pada hasrat ibunya.
Marconi memulakan percubaan untuk
mencipta radio pada usia 20 tahun, iaitu pada tahun 1894. Pada tahun 1895
beliau berjaya menghantar signal tanpa menggunakan wayar. Kejayaan itu
menyebabkan seluruh keluarga sedar idea Marconi memerlukan wang yang banyak
untuk dikembangkan lebih lanjut. Mereka menulis surat pada ketua Pengarah Pos
Itali, tetapi ditolak. Marconi menghubungi saudara mara ibunya di England
kalau-kalau ada yang dapat menolong.
Pada tahun 1896, ibunya menemani
Marconi yang baru berusia 21 tahun ke London bagi menemui anak saudara ibunya,
Henry James Davis. Sahabat Davis menulis surat memperkenalkan Marconi kepada
William Preece, Ketua Bahagia Teknik di Jabatan Pos England. Dari situ Marconi
mendapat sokongan untuk terus mengembangkan ciptaannya.
Wallahu alam.
Berfikir dalam darjah
Ainon Mohd & Abdullah Hassan, 1996
No comments:
Post a Comment