a) Sebelum mengharap Allah
menilai kita dengan baik, didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih
dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi siapa kita ketika
melihatnya. Orang yang baik akan sentiasa dapat melihat kebaikan.
b) Jangan letih untuk terus
merintih, jangan jemu untuk terus merayu. Pada saat yang sangat genting,
bisikkan pada hati, Allah itu hampir.
c) Kekadang Allah menyempitkan
supaya kita tidak hanyut dalam kesenangan. Kekadang Dia melapangkan supaya kita
tidak selalu dipagut kesempitan. Kekadang Dia melepaskan kita daripada
kedua-duanya supaya tidak bergantung kepada sesuatu selainNya.
d) Kita perlukan Allah lebih
daripada kita perlukan udara. Kalau hidup tanpa Allah, apalah guna kita hidup.
Hati akan mati, hidup hilang erti. TanpaNya, kita akan hilang arah dan diri
sentiasa gelisah. Jiwa akan terasa kosong sekalipun punya nama, rupa dan harta
yang melimpah ruah.
e) Ketika lebur seluruh tadbir,
pada saat itulah Allah melentur jiwa untuk menerima sepenuh takdir. Lalu
takbirlah diri menerima takdir dengan menerima hakikat bahawa apa yang telah
terjadi pasti ada hikmahnya.
f) Dengarlah bisikan Tuhan.
Penuhilah panggilanNya melalui kemanisan ketaatan. Jika tidak, kita terpaksa
mendengar jeritanNya menerusi azab pedih dosa apabila terus menerus derhaka.
Wallahu alam.
Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013
No comments:
Post a Comment