Saturday, February 1, 2014

Budaya kiambang

Atas sifat pelbagai maka biaklah ia
dibiarkan tubuh bertabur di serata kota
ke mana hilang kuku penguasa
di mana badan penguat kuasa
danau dan sungai kita penuhi permukaan
disegari antara teratai dengan kiambang
ke mana cengal pohon besar berakar tunjang
ke mana tersimpan sesudah diuji masa
tiga dasawarsa cekal langkah dewasa
tidak kulihat pepucuknya ke langit persada
bumi kita kian kehilangan warna wajahnya.


Kitalah bawa diri ke jalan bercabang
lupakan kebenaran kerana pengaruh orang
walhal budaya kiambang bukan cuma pilihan
badannya terapung akar tidak mencengkam
kitalah yang akan terperlus ke pusar zaman
tanpa kubur sebuah kebudayaan kebangsaan.

A.Aziz Deraman
Zaman Baru, DBP 2006

No comments:

Post a Comment