4. Diversity
(Kepelbagaian) – mengenal dengan jelas kepelbagaian sebagai kekuatan
organisasi bagi menyokong usaha merekayasanya, termasuk membina jaringan dan
pertalian antara satu sama lain di semua peringkat. Kepelbagaian ini juga merentasi
batasan budaya, usia dan pengalaman agar dapat turut serta dalam ekosistem ilmu
dan pendidikan yang menguntungkan semua pihak (menang-menang) tidak terkecuali
alam sekitar sendiri. Kepelbagaian kini merupakan satu asas penting yang
sealiran dengan perkembangan globalisasi dan pengantarabangsaan, dan sekali gus
menjadikan pendidikan yang berpaksikan kepelbagaian sebagai benteng untuk
menghalang pengaruh globalisasi yang melulu serta merugikan supaya terheret ke
arah pembentukan monobudaya. Oleh itu, kepelbagaian pandangan (diversity of
opinion) dalam erti kata perkongsian maklumat dan pengalaman adalah paksi
penting untuk memperkayakan lagi pembangunan ilmu pada zaman komunikasi ini.
Kepelbagaian juga ada kaitannya dengan dialog antara budaya dan disiplin untuk membina kefahaman yang lebih erat dan
menghargai kebebasan akademik sebagai asas kecemerlangan. Ini termasuklah
mengeratkan lagi semangat kerja berpasukan dan berkluster.
5. Discontinuity
(Pemisahan) – memperdanakan pemisahan ataupun arus perubahan
mendadak yang ditempuhi organisasi dalam usaha merekayasanya dalam abad ke-21.
Umumnya, tindakan perlu diarahkan kepada strategi untuk mengurangkan risiko apabila perubahan tersebut berlaku.
Ini amat penting bagi memperkasakan lagi organisasi untuk persaingan global
sesuai dengan pembentukan ekosistem ilmu dan pendidikan yang peka perubahan.
Oleh itu semua kata kinci dalam kunci dalam prinsip 12D mestilah berpaksikan
set minda yang membolehkan organisasi dan warganya menyedari fasa pemisah
tersebut, terutama dalam menangani
revolusi pendidikan melalui usaha merekayasa organisasi. Revolusi
sewajarnya membawa kepada fasa pemisah dengan erti kata berlakunya satu anjakan
paradigma, khususnya dengan tercipta inovasi dan ide baru yang kreatif.
Pengajian tinggi tidak terkecuali dalam hal ini.
6. Deliberative
(Musyawarah) – menghayati pendekatan bermusyarah dengan menekankan
peri penting kesanggupan untuk berbincang, berunding, berdialog dan bertolak
ansur serta mengambil kira secara terbuka pelbagai pandangan dan maklum balas
(diversity of opinions and feedback) yang membina. Ini termasuk berkongsi
maklumat serta pengalaman sebagai input pencapaian misi serta hala tuju
organisasi secara berpasukan, atau network of practice) untuk berkongsi
maklumat dan pengalaman merentasi semua peringkat dan bidang atau disiplin yang
boleh menjurus kepada pendekatan transdisiplinan. Satu bentuk sinergi perlu
dipupuk melalui perkongsian maklumat (termasuk ide ) agar keputusan yang
diambil menjadi lebih tepatdan ampu. Sekali lagi, dialog (satu lagi abjad D)
merupakan teras utama pendidikan yang terdedah kepada arus globalisasi bagi
memupuk persefahaman global. Ini termasuklah dialog antara antara pelbagai
budaya dan tamadun dalam masyarakat pengajian tinggi. Ini termasuk juga penglibatan
masyarakat luar, penggubal dasar dan pelanggan organisasi bagi memantapkan
program pembangunan (development, satu lagi abjad D) yang seimbang.
Wallahu alam.
Dzulkifli Abdul Razak
Revolusi Pendidikan
Merekayasa Sebuah Universiti, 2005
No comments:
Post a Comment