Thursday, May 30, 2013

Maksimumkan Ramadan



1. Berusahalah semaksimum mungkin untuk menjadikan Ramadan yang penuh berkat ini sebagai stesen untuk bermuhasabah diri, dengan meningkatkan amal-amal kita, mengulang dan memperbaikinya, sebagai bekal kehidupan kita kelak.

2. Berusahalah menjaga kestabilan dan konsisten mengerjakan solat terawih secara berjemaah. Kerana rasulullah saw bersabda: Siapa yang solat bersama imam sampai dia berheti, maka akan dicatat untuknya seperti mendirikan solat sepanjang malam.  (HR: an-Nasa’i)

3. Berlebih-lebihan itu adalah perbuatan haram. Sebaliknya berlebih-lebihanlah dalam bersedekah kerana sedekah itulah yang akan mendatangkan pahala untuk kita.

4. Bertekad untuk beristiqamah melakukan perbuatan-perbuatan baik yang kita biasakan dalam bulan Ramadan, setelah Ramadan berakhir.

5. Mengambil pengajaran berdasarkan waktu yang telah berlalu serta berusaha menutupi kekurangan yang ada dengan memanfaatkan sisa-sisa umur.

6. Sesungguhnya bulan ini adalah bulan ibadah dan amal  bukan untuk memperbanyakkan tidur dan mencambahkan kemalasan.

7. Lazimi lidah kita untuk berzikir. Janganlah kita termasuk orang-orang yang sedikit mengingat Allah SWT.

8. Ketika kita merasa lapar, maka ingatlah sesungguhnya kita adalah makhluk yang lemah dan kita sangat memerlukan makanan dan keperluan lainnya daripada Allah SWT.

9. Gunakanlah waktu kita pada bulan ini untuk menjinakkan syahwat daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat, bahkan membahayakan.

10. Ketahuilah bahawasanya beramal itu adalah amanah. Maka muhasabah diri kita apakah kita telah melakukannya dengan baik atau tidak.

11. Segeralah memohon maaf kepada orang yang pernah kita zalimi, sebelum orang itu mengambil pahala amal kebaikan kita di akhirat kelak.

12. Berusahalah untuk selalu memberi makanan atau minuman berbuka kepada orang yang berpuasa agar kita mendapat pahala seperi puasa orang yang mengerjakannya.

13. Ketahuilah bahawasanya Allah SWT Maha Memuliakan dan Maha Penyayang, menerima taubat orang-orang yang bertaubat. Dan Dia adalah zat yang memiliki kekuasaan membalas yang dasyatnya tidak terkira.

14. Jika kita melakukan maksiat, selagi Allah menutupi aib kita daripada perbuatan maksiat itu, maka ketahuilah sesungguhnya ini adalah peringatan agar kita segera bertaubat. Kerana itu cepat-cepat bertaubat dan kuatkan tekad agar tidak mengulangi maksiat yang serupa.

15. Ketahuilah pula bahawasanyaAllah SWT membolehkan kita untuk beristirehat dan bersantai dengan hal-hal yang juga dibolehkan. Akan tetapi, jangan terlalai dengan istirehat sehingga menjadikan semua waktu kita untuk beristirehat dan berseronok, sehingga tidak berbaki waktu untuk kita melakukan persiapan mengumpulkan banyak amal kebaikan.

16. Berusahalah memahami makna-makna (tafsir) al-Quran dan  hadis-hadis rasulullah saw, sirah rasulullah dan salafussoleh serta ilmu-ilmu agama kerana sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah termasuk ibadah.

17. Jauhkan diri kita daripada pergaulan dengan orang-orang yang kurang baik akhlaknya dan perbanyakkanlah berteman dengan orang-orang soleh yang dapat mempengaruhi kesolehan dan ketaatannya kepada kita.

18. Sesungguhnya, sikap kita yang selalu bersegera datang ke masjid adalah petanda kuatnya kerinduan dan cinta kita kepada al-Khaliq.

19. Berusahalah untuk selalu memberi motivasi dan nasihat kepada orang-orang yang ada dalam asuhan dan bimbingan dengan hal-hal yang bermanfaat. Kerana mereka sedia menerima nasihat dan bimbingan daripada diri kita, berbanding orang lain.

20. Jangan hidangkan terlalu banyak jenis makanan ketika berbuka puasa kerana hal itu selain membazir bahkan akan menyibukkan anggota keluarga untuk menyediakannya sehingga mereka kehilangan banyak waktu siang untuk membaca al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain.

21. Jangan terlalu kerap berjalan-jalan, keluar rumah pada waktu malam seperti ke tempat-tempat umu, pasar raya, tempat hiburan dan sebagainya. Terutama pada penghujung Ramadan agar kita tidak kehilangan kesempatan yang sangat berharga.

22. Berupayalah sekuat tenaga untuk melakukan qiyamulail pada sepuluh malam terakhir, kerana malam-malam itu adalah malam-malam yang memiliki keutamaan kerana di situlah terselitnya lailatur qadar; malam yang lebih mulia dari seribu bulan, akan turun.

23. Janganlah kita sekali-kali meninggalkan puasa tanpa ada keuzuran syarie kerana sehari tidak berpuasa pada bulan Ramadan tidak dapat diganti (pahalanya) meskipun berpuasa selama setahun penuh.

24. Lakukanlah iktikaf di masjid meskipun hanya untuk beberapa jam.

25. Disunatkan mengumandangkan takbir pada malam Aidilfitri dan pada pagi hingga selesai mendirikan solat.

26. Ketahuilah bahawa hari raya Aidilfitri adalah hari untuk bersyukur kepada Allah. Maka jangan jadikan ia sebagai hari kebebasan untuk melakukan semua perkara yang selama ini terpendam dalam keinginan kita.

27. Ingatlah selalu kepada Allah, walaupun kita dalam keadaan sukacita dengan datangnya hari raya. Ingatlah juga saudara-saudara kita yang sedang dalam kekurangan ; fakir miskin, anak-anak yatim, pelarian, orang-orang yang ditimpa musibah dan sebagainya. Ketahuilah bahawa sedikit harta yang kita berikan kepada mereka mampu mengubati luka yang dianggung oleh hati mereka, maka syukuri nikmat-nikmat Allah SWT.

28.Gunakan sebahagian hari-hari kita di luar Ramadan untuk berpuasa sunat. Janganlah hanya berpuasa pada bulan Ramadan sahaja.

29. Selalulah muhasabah diri dalam segala hal. Seperti menjaga solat berjemaah, mengeluarkan zakat, bersilaturrahim, berbakti kepada kedua orang tua, berbuat baik kepada tetangga, bersalaman dan meminta maaf kepada orang-orang yang berselisih faham dengan kita, tidak boros, membimbing orang-orang dalam tanggungan kita, menerhatikan keadaan saudara-saudara kita sesama Muslim, berusaha melakukan perbaikan, tidak mengumpat orang lain, selalu membaca al-Quran dan menghayati makna-maknanya serta khusyuk ketika mendengar bacaannya.

Nasihat Ramadan daripada orang-orang soleh
Sulthan Hadi


Ya Allah sapalah kami dengan penghargaan, kemuliaan, perhatian dan kasih sayangMu. Ameen Ya Kareem.

Ayat kemuliaan



Permata 67

Daripada Muaz bin Anas ra secara marfu’ berkata bahawa rasulullah saw bersabda: Ayat kemuliaan bagi Allah ialah (yang bermaksud dan katakanlah segala puji bagi Allah yang tidak mengambil anak dan tiada sekutu baginya dalam kerajaan dan tiada baginya juga sebarang penolong daripada sebarang kehinaan dan besarkanlahnya dengan keagungan. (Riwayat Ahmad dan al-Tabarani)

Mutiara Hikmah :

a) Fudhail bin Iyadh ra : Meninggalkan amal kerana takut dilihat orang adalah riak, sedang beramal kebaikan kerana mengharapkan kepujian orang adalah syirik. Tetapi yang ikhlas itu ialah mengharapkan Allah agar menyelamatkanmu dengan kedua cara di atas.

b) Lebih baik kegagalan dalam mencapai kemuliaan daripada kecemerlangan dalam kancah kehinaan.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Kurniaan Allah



Permata 66 :

Daripada Abi Said al-Khudri ra berkata rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah SWT berpesan kepada ahli syurga: Wahai ahli syurga! Maka mereka berkata: Ertinya: Ya! Kami menjunjung tinggi dan kami berserah atas limpah kurnia dan kekuasaanMu Ya Allah SWT dan semua kebaikan bagiMu. Maka Dia berfirman : Adakah kamu reda? Lantas mereka menjawab: Mengapa pula kami tidak reda Ya Tuhan kami? Dan sesungguhnya Engkau kurniakan kepada kami barang yang Engkau tidak kurniakan kepada makhluk lain. Laku Allah SWT berfirman: Apakah Aku tidak kurniakan kepada kamu terlebih afdal daripada demikian? Lalu mereka menjawab: Ya Tuhan kami, manakah sesuatu lebih afdhal daripada itu? Lantas firman Allah: Aku turunkan ke atas kamu keredaanKu. Maka Aku tidak murka kepada kamu sesudahnya selama-lamanya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
 
Mutiara Hikmah :

a) Orang yang selalu melakukan hal yang baik bagi kebaikan, tidak akan mendapat anugerah mahupun syurga tetapi dia yakin akhirnya dia memperoleh kedua-duanya.

b) Tidak ada orang yang menerima kehormatan kerana pernah menerimanya. Kehormatan hanya dianugerahkan kepada orang yang pernah memberi.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Bersangka baik



Permata 65

Daripada Abi Hurairah ra berkata bahawa sesungguhnya rasulullah saw bersabda: Firman Allah Taala dalam hadis Qudsi: Aku di sisi zan dan sangkaan hambaKu denganKu. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan Ahmad)

Mutiara Hikmah :

a) Jangan selalu menyangka, supaya anda tidak pula disangka oleh orang lain.

b) Ikatlah khayalan anda itu agar tidak menyeret anda ke lembah keresahan. Berusahalah untuk berfikir tentang nikmat, kurnia dan kemenangan yang ada pada hari ini.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Cinta Allah terhadap hambaNya



Daripada Abi Hurairah ra berkata bahawa rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya apabila Allah SWT mengasihi seseorang hambaNya, maka Dia menyeru kepada Jibril as dengan berkata: Sesunguhnya Allah SWT amat mengasihi orang itu, maka engkau mestilah mengasihinya. Lalu Jibril as mengasihinya. Kemudian Jibril as menyeru pada malaikat langit dengan mengatakan: Sesungguhnya Allah SWT amat kasih kepada orang itu, maka engkau pun harus bersikap sedemikian. Maka ahli langit pun mengasihinya. Dan dijadikan penduduk bumi menerima dan mengasihinya. (Riwayat al-Bukhati, Muslim dan Ahmad)

Permata 64
 
a) Zat yang telah mencukupkan keinginan kamu kelmarin, akan pula mencukupkan keinginan kamu hari ini dan besaok. Oleh kerana itu, bertawakallah kepadaNya. Jika Dia bersama kamu, siapa yang kamu takutkan? Dan, jika Dia menjauhi kamu, maka kepada siapa kamu akan berharap?

b) Prinsip kejayaan adalah bahawa Allah reda kepada kamu, Allah reda kerana orang-orang di sekeliling kamu, kerana jiwa kamu yang menerima dengan penuh keredaan, dan kamu mampu mempersembahkan amalan yang bermanfaat.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Selawat 96



 


Kepadamulah ya rasulullah, mengalir selawat Allah, salamNya, tahiyyatNya dan berkatNya, dalam tiap-tiap saat yang memadai dengan kedudukanmu yang besar serta darjatmu yang tinggi; berkumpul bagimu segala kelebihan semua jenis selawat dan salam

Monday, May 27, 2013

Beriman kepada Rasul



Permata 63

Daripada Abi Said al-Khudri ra berkata bahawa rasulullah saw bersabda: Didatangi nabi Nuh as pada hari Kiamat dan ditanya kepadanya adakah kamu menyampaikannya? Lantas jawabnya: Ya, hai Tuhan. Kemudian ditanya umatnya: Adakah dia sampaikan kepada kamu? Lantas mereka menjawab : Tidaklah datang kepada kami dari sebarang pemberi amaran. Kemudian dia bertanya: Siapa saksiMu? Jawabnya: Muhammad dan umatnya. Kemudian didatangkan dengan kamu, lantas kamu menjadi saksi. Seterusnya rasulullah saw membaca ayat al-Quran yang bermaksud: Dan demikianlah kami menjadikan kamu umat pertengahan. Katanya: Yang adil. Supaya kamu menjadi saksi atas sekalian manusia dan rasul menjadi saksi kepada kamu. (Riwayat al-Bukhari)

Mutiara Hikmah :

a) Setiap tokoh agung di dunia ini hanyalah secebis daripada keagungan nabi Muhammad saw yang diibaratkan sebatang pokok besar, manakala yang lainnya diumpamakan dedaunan sahaja.

b) Ketokohan rasulullah saw telah membuat diri tersentak bahkan kamu pasti terperanjat dengan keagungan yang dimilikinya.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Azab Allah SWT



Permata 62

Daripada Abdullah bin Umar ra berkata bahawa rasulullah saw bersabda: Apabila Allah menurunkan kepada satu kaum azab, nescaya ditimpakan azab siapa yang bersama mereka. Kemudian dibangkitkan mereka mengikut amalan mereka. (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Mutiara Hikmah :

a) Imam Abu Yusuf : Sesuatu bangunan takkan lama berdiri teguh jika ia tidak diasaskan atas asas ketakwaan. Allah SWT pasti akan memusnahkan mereka yang bukan berdasarkan takwa dan mereka yang membantunya.

b) Kematian hati boleh diketahui dengan seringnya meninggalkan ketaatan, tenggelam dalam dosa, tidak peduli dengan perbincangan buruk,merasa aman dari tipu daya Allah dan selalu menghina orang-orang soleh.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Doa Majlis Nuzul Al-Quran



Ya Allah, wahai Tuhan kami, terimalah doa dan amalan kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. Dan terimalah segala taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat Lagi Maha Mengasihani. Tunjukkanlah kami dan bimbinglah kami kepada kebenaran dan menuju jalan yang lurus dengan keberkatan Al-Quran.

Ya Allah wahai Tuhan kami, hiaskanlah diri kami dengan keindahan al-Quran. Muliakan diri kami dengan kemuliaan al-Quran. Serikan kami dengan ketinggian martabat al-Quran. Pakaikan kami dengan pakaian permata al-Quran. Masukkan kami ke dalam surga dengan syafaat al-Quran. Selamatkan kami dari segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan barakah kehormatan al-Quran.

Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah al-Quran semasa hidup kami di dunia sebagai rakan dan di dalam kubur sebagai kawan yang mesra, pada hari kiamat sebagai pembantu dan sebagai cahaya penyuluh, semasa menuju syurga sebagai teman dan sebagai pelindung dan pendinding daripada bakaran api neraka.

Ya Allah, jadikan juga al-Quran untuk kami sebagai panduan dan sebagai ikutan kepada segala kebaikan, dengan limpah kurnia, kemurahan dan kemuliaanMu jua Ya Allah Tuhan Yang Maha Pemurah.

Ya Allah, tunjukkanlah kami dengan petunjuk al-Quran, selamatkan kami daripada azab neraka dengan sebab kemuliaan al-Quran, tinggikanlah darjat dan martabat kami dengan sebab kelebihan al-Quran dan hapuskanlah dosa kejahatan kami dengan sebab membaca al-Quran. Ya Allah wahai Tuhan yang empunya segala macam kelebihan dan ihsan.

Ya Allah, kasihanilah kami. Jadikanlah al-Quran sebagai pimpinan, cahaya dan hidayah kami. Ya Allah ingatkan kami apa yang kami lupa. Ajarkan kami Ya Allah tentang isi al-Quran. Kurniakan kami kelapangan untuk membaca al-Quran pada setiap waktu siang dan malam, semoga kami mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ya Allah wahai Tuhan sekalian alam.

Ameen.Ya Rabb

Ust. Hj. Muhidir b Hj Tamjis
Senjata Mu’min

Sapaan Ramadan



1. Allah SWT membanggakan kalian
2. Di manakah orang-orang yang berpuasa
3. Siapa yang memohon ampun kepadaKu?
4. Puasa adalah untukKu!
5. Wahai pemburu kebaikan, kemarilah! Wahai orang yang melakukan kemaksiatan, berhentilah!
6. Aku mencegahnya daripada makanan dan syahwat  di siang hari.

Wallahu a’lam

Nasihat Ramadan daripada orang-orang soleh
Sulthan Hadi

Allahumma sallimnii ilaa ramadhaan wa sallim ramadhaana wa taslimhu minni mutaqabbala. Ameen.

Selawat 95



 
 Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam kepada penghulu kami Muhammad saw dengan selawat yang menjadi pintu yang disaksikan bagi kami di sisi Allah, dan yang menjadi tirai yang tertutup di sisi musuh-musuhnya. Dan (limpahkanlah selawat dan salam tersebut) kepada keluarganya dan para sahabat-sahabatnya.

Sunday, May 26, 2013

Peristiwa akhir zaman



Permata 61
                                                                                         
Daripada Abi Hurairah ra katanya nabi saw bersabda: Zaman makin hampir, amalan makin kurang, sifat kedekut bertambah, fitnah terlalu banyak dan hari juga banyak. Sahabat bertanya: Hai rasulullah, apa dia?. Jawab baginda: Pembunuhan demi pembunuhan.(Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ahmad)

Mutiara Hikmah :

a) Kebahagiaan kita yang terbesar tidak bergantung pada keadaan hidup kita, melainkan disebabkan oleh hati nurani yang suci murni, kesihatan yang baik, pekerjaan dan kebebasan bagi mengejar sesuatu tujuan dengan jalan yang sah.

b) Terdapat beberapa jalan untuk menuju kebahagiaan antaranya:
- bebaskan hatimu daripada dendam dan rasa takut
- hidup sederhana yang mengharap sedikit tetapi banyak memberi
- mengisi penuh harapanmu dengan kasih sayang
-lupakanlah dirimu sendiri dan ingatlah orang lain
-perlakukanlah sesama manusia seperti yang anda ingin diperlakukan

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Sabar dengan dugaan



Permata 60

Daripada Ibn Abbas ra, katanya nabi saw bersabda: Siapa yang melihat kepada pemerintahnya sesuatu yang dibenci maka hendaklah sabar ke atasnya. Kerana sesungguhnya siapa yang berpisah dengan jemaah (menentang) kadar sejengkal jika mati kecuali dianggap mati jahiliah. (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Mutiara Hikmah :

a) Imam al-Syafie : Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan satu kesabaran pula. Adapun bala dan musibah, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian merupakan setinggi-tinggi erti syukur.

b) Imam al-Syafie : Sifat lemah lembut, sabar dan berlapang dada itu akan menghasilkan kasih sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan. Oleh itu, suburkanlah sifat lemah lembut dan sabar kerana ianya dapat menawan hati kawan dan lawan.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Munajat seorang isteri



Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Kau ampunilah dosaku yang telahku perbuat. Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas. Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal, Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan, Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista, Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu, Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan.

Ya Allah, sekiranya suamiku ini adalah pilihanMu di Arash, berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya.

Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titianMu, kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya. Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untukku di JannahMu. Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya. Sekiranya suamiku ini adalah yang terbaik untukku di duniaMu. Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya. Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati olehMu. Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala karenah dan ragamnya.

Tetapi Ya Allah, sekiranya suamiku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang, Kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu. Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan duniaMu, limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan, kurniakan aku kekuatan untuk aku memperbetulkan keadaannya. Sekiranya suamiku menyintai kesesatan, Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena.

Ya Allah, Kau Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku, Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku. Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan, bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redai. Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri, Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhiratMu.

Sekiranya aku engkar dan durhaka, berikanlah aku petunjuk ke arah rahmatMu. Ya Allah sesungguhnya aku lemah tanpa petunjukMu, aku buta tanpa bimbinganMu, aku cacat tanpa hidayahMu, aku hina tanpa rahmatMu, Ya Allah.

Kuatkan hati dan semangatku. Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu. Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami. Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu. Bimbinglah aku menjadi isteri solehah. Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan.

Kerana aku redha dengan dugaanMu. Kerana aku sedar hinanya aku. Kerana aku insan lemah yang kerap keliru. Kerana aku leka dengan keindahan duniaMu. Kerana kurang kesabaranku menghadapi cabaranMu. Kerana pendek akalku mengharungi ujianMu.

Ya Allah Ya Tuhanku...Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati. Isteri yang dikasihi. Isteri yang solehah. Isteri yang sentiasa di hati suami. Ameen, Ameen, Ameen Ya Rabbal Alameen.

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kebaikan hidup di dunia dan di akhirat dan selamatkan daku dari azab api neraka.

Ameen.Ya Rabb

Ust. Hj. Muhidir b Hj Tamjis
Senjata Mu’min

Selawat 94



 

Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada penghulu kami Muhamad dan keluarga penghulu kami Muhammad, dengan selawat yang tetap dan diterima yang dengannya Engkau mendatangkan dari kami kepada hak nabi Muhammad yang agung.

Saturday, May 25, 2013

Doa Majlis Anugerah Cemerlang



Segala puji hanya untukMu Ya Allah, selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammd saw. Ya Allah, kami merafa’kan kesyukuran di atas keizinanMu untuk kami berkumpul, menadah tangan dengan penuh pengharapan dan rendah hati agar kami dikurniakan limpah kurnia, inayah dan riayah,  taufik dan hidayah, agar kami dikurniakan keafiatan dan kekuatan, tekad dan azam yang tinggi untuk berjaya serta dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Segala puji juga bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Yang maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah Tuhan yang kami sembah dan Engkaulah tempat kami memohon pertolongan . Tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka. Bukan jalan orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang yang sesat.

Sesungguhnya kecemerlangan menjadi tuntutan dalam ajaran agamaMu, kualiti dan kecemerlangan jugalah tuntutan RasulMu Muhammad saw. Semoga segala kecemerlangan yang kami kecapi bakal menjadi perangsang dan pencetus kepada kegemilangan organisasi yang kami cintai, agama, bangsa dan negara kami.

Dengan berkat kebesaranMu Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada kami, semoga dapat kami teruskan kecemerlangan dan kejayaan serta dapat kami cernakan amalan kualiti dalam segenap bidang kehidupan kami. Ya Allah, seandainya kami cemerlang pada pandangan manusia maka jadikanlah kecemerlangan kami itu lebih gemilang dalam melaksanakan tuntutan agamaMu. Ya Allah, kerana itulah matlamat sebenar kehidupan kami untuk mendapatkan kebahagiaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, berilah kami kekuatan, agar kecemerlangan itu dapat dipergunakan seluruh tenaga dan pemikiran bagi menjana nafas baru dalam perkongsian ilmu, kemahiran dan sikap yang mampu menangani keperluan dan tuntutan semasa, selari dengan era bestari dan globalisasi. Lahirlah hendaknya generasi berminda subur dan kreatif, berkemahiran mapan, bersemangat mantap serta mampu beraksi di pentas dunia berteraskan neraca iman dan tauhid dalam intelektual, iman dan akhlaknya. Pahatkanlah nama-nama kami, generasi kami yang terdahulu dan akan datang ,Ya Allah di pintu syurga-Mu.

Ya Allah, Engkau mantapkanlah semangat dan hasil kerja kami, untuk terus menghambat kejayaan demi kejayaan, dengan penuh dedikasi dan cekal, ke arah menjana kecemerlangan yang berterusan. Kami bermohon agar orang yang cemerlang dari kalangan kami memimpin orang yang buruk akhlaknya, orang yang cuai dipimpin oleh mereka yang rajin bekerja. Kurniakanlah kepada kami kebaikan dengan berkat keagungan zatMu yang mulia.

Sesungguhnya kami sedar Ya Allah, bahawa kami tidak berdaya menjalankan tugas dengan sempurna, melainkan dengan keizinan dan kehendakMu jua. Justeru itu Ya Allah, Engkau gilapkanlah minda kami agar mampu berfikir menjangkau zaman serta berupaya membuat perancangan di luar kebiasaan. Sucikanlah hati nurani kami, agar sentiasa jujur dan ikhlas, dalam melaksanakan segala tugas. Jika amal kami itu tidak suci, mahu disucikannya Ya Allah. Mudah-mudahan, segala nilai kecemerlangan yang dimaksudkan untuk anugerah ini, benar-benar cemerlang, cemerlang menurut penilaian kami dan cemerlang jua di sisiMu Ya Allah.

Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami dan dosa mukminin dan mukminat seluruhnya sama ada yang masih hidup mahupun yang telah terlebih dahulu meninggalkan kami.

Ameen.Ya Kareem.

Ust. Hj. Muhidir b Hj Tamjis
Senjata Mu’min

Helah Syaitan



Permata 59

Daripada Abu Hurairah ra berkata: Aku mendengar rasulullah saw bersabda: Siapa yang bermimpi melihatku maka pasti ia melihatku dalam keadaan sedar kerana syaitan tidak mungkin menyerupaiku. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Mutiara Hikmah :

a) Maulana Ilyas ra : Ketahuilah bahawa syaitan adalah makhluk yang sangat lick. Dia sentiasa menyerang dalam setiap kesempatan. Apabila kamu keluar dari rumahmu untuk menuntut ilmu, maka syaitan akan kecewa kerana kamu tidak lagi jahil

b) Apabila kesenangan dianggap sebagai khabar gembira, maka itu adalah satu helah besar yang direncanakan oleh syaitan. Dia membuat manusia merasa puas dengan kesenangan sahaja.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Menjaga Keturunan



Permata 58

Daripada Saad ra berkata : Aku mendengar rasulullah saw bersabda: Siapa yang mendakwa kepada selain ayahnya sedangkan dia mengetahui bahawa itu bukan ayahnya, maka syurga diharamkan ke atasnya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)

Mutiara Hikmah :

a) Maafkanlah orang yang pernah melakukan kezaliman kepada anda, sambunglah tali silaturahim orang yang memutuskan silaturahim dengan anda, berilah sesuatu kepada orang yang tidak pernah memberi kepada anda dan bersabarlah terhadap orang yang berbuat jahat kepada anda, nescaya anda akan memperolehi rasa bahagia dan aman dalam diri anda.

b) Apabila anda mengharapkan anak anda menjadi baik, biarkanlah mereka mendengar hal-hal yang baik mengenai mereka yang anda ceritakan kepada orang lain.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Ramadan dalam fungsi kesucian waktu (2)



b) Persaingan dan prestasi

Manusia didorong untuk bersaing dan saling berlumba tatkala iman dihayati.Amal kebajikan di bulan Ramadan akan digandakan. Situasi yang melingkari dan waktu dilaksanakan membuatkan ia berbeza. Pada bulan ini ada malam yang kemuliaanya lebih baik daripada 1000 bulan. Saat-saat itu adalah kesempatan menabung, mencari bekal sebanyak mungkin, jua berusaha meraih kelebihan Ramadan buat tampalan kehidupan hari-hari yang lain. Semacam musim bunga, hadirnya menghapus keringnya musim kemarau.

c) Penghargaan

Bulan Ramadan yang barakah diertikan sebagai anugerah penghargaan Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang beriman  Kita didorong untuk berbuat kebajikan untuk orang lain. Justeru, bagi mereka yang memberikan sesuatu kepada orang yang berpuasa, Allah menjanjikan pahala seperti pahala orang berpuasa. Mereka terdorong melakukan sebanyak mungkin kebajikan. Inilah perinsip dasar daripda penghargaan.

d) Memenuhi keperluan kemanusiaan

Tabiat dan fitrah  manusia, makhluk ini bergantung kepada simbol-simbol kehoratan. Mereka punya keperluan jiwa dalam batas tertentu untuk miliki simbol kesenangan, perayaan keramaian serta kesucian di atas sesuatu yang memenuhi rasa pengharapan. Islam mendapat tempat yang sepatutnya. Ramadan menganjurkan bersahur an menyegerakan berbuka. Unsur-unsur kejiwaan orang-orang berpuasa yang merindui saat berbuka dipenuhi. Begitu juga setelah Ramadan, diharamkan berpuasa. Juadah dan melalui hari raya dan perayaan yang sah, semuanya memberi kesan memenuhi jiwa yang luar biasa oleh Ramadan.

Wallahu a’lam.

Nasihat Ramadan daripada orang-orang soleh
Sulthan Hadi

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang disapa Ramadan. Ameen Ya Rabb.

Selawat 93



 
Ya Allah, Tuhan yang sentiasa memberikan kurnia kepada manusia, Tuhan yang selalu membukakan tanganNya lebar-lebar dengan pemberian, Tuhan yang mempunyai pemberian-pemberian yang mulia, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, sebaik-baik manusia, dengan penghormatan, ampunilah kami, wahai Tuhan Yang Maha Tinggi, di petang ini.

Friday, May 24, 2013

Menghormati Jenazah



Permata 57

Daripada Aisyah ra katanya nabi saw bersabda : Jangan kamu memaki orang-orang mati kerana mereka telah mendapati apa yang mereka lakukan. (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Mutiara Hikmah:

a) Memberi penghormatan kepada bangsa sendiri, memberi keyakinan diri kepada bangsa sendiri, memberikan kesanggupan bagi berdikari adalah mutlak bagi tiap-tiap bangsa di sudut dunia dan di bawah langit mana pun.

b) Penghormatan daripada orang yang sezaman dengan kita adalah kebahagiaan yang lebih besar daripada kekaguman generasi mendatang.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Hakikat Zikir



Permata 56

Daripada Abi Musa ra katanya nabi saw bersabda: Seumpama yang berzikir kepada Tuhannya dan tidak berzikir seperti antara yang hidup dan mati. (Riwayat al-Bukhari)
 
Mutiara Hikmah :

a) Maulana Muhammad Ilyas ra : Zikir adalah benteng dari kejahatan syaitan dan juga benteng yang teguh. Oleh itu, jika kita keluar ke tempat yang buruk suasana dan keadaannya, maka perbanyakkanlah zikir agar hati kita terselamat dari keburukannya.

b) Hakikat zikir yang sebenarnya ialah mengetahui kehendak, perintah dan larangan Allah SWT pada setiap masa, tempat dan keadaan.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri