Sunday, May 26, 2013

Munajat seorang isteri



Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Kau ampunilah dosaku yang telahku perbuat. Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas. Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal, Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan, Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista, Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu, Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan.

Ya Allah, sekiranya suamiku ini adalah pilihanMu di Arash, berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya.

Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titianMu, kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya. Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untukku di JannahMu. Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya. Sekiranya suamiku ini adalah yang terbaik untukku di duniaMu. Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya. Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati olehMu. Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala karenah dan ragamnya.

Tetapi Ya Allah, sekiranya suamiku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang, Kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu. Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan duniaMu, limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan, kurniakan aku kekuatan untuk aku memperbetulkan keadaannya. Sekiranya suamiku menyintai kesesatan, Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena.

Ya Allah, Kau Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku, Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku. Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan, bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redai. Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri, Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhiratMu.

Sekiranya aku engkar dan durhaka, berikanlah aku petunjuk ke arah rahmatMu. Ya Allah sesungguhnya aku lemah tanpa petunjukMu, aku buta tanpa bimbinganMu, aku cacat tanpa hidayahMu, aku hina tanpa rahmatMu, Ya Allah.

Kuatkan hati dan semangatku. Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu. Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami. Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu. Bimbinglah aku menjadi isteri solehah. Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan.

Kerana aku redha dengan dugaanMu. Kerana aku sedar hinanya aku. Kerana aku insan lemah yang kerap keliru. Kerana aku leka dengan keindahan duniaMu. Kerana kurang kesabaranku menghadapi cabaranMu. Kerana pendek akalku mengharungi ujianMu.

Ya Allah Ya Tuhanku...Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati. Isteri yang dikasihi. Isteri yang solehah. Isteri yang sentiasa di hati suami. Ameen, Ameen, Ameen Ya Rabbal Alameen.

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kebaikan hidup di dunia dan di akhirat dan selamatkan daku dari azab api neraka.

Ameen.Ya Rabb

Ust. Hj. Muhidir b Hj Tamjis
Senjata Mu’min

No comments:

Post a Comment