Wednesday, May 8, 2013

Mempelajari Al-Quran amalan sepanjang hayat


Memperkatakan mengenai Al-Quran ini, seperti mana yang diketahui bahawa amalan membacanya adalah merupakan ibadat. Setiap huruf serta ayat yang dibaca akan diberikan ganjaran pahala yang setimpal.

Justeru saya menyeru kepada setiap masyarakat Islam di negara ini agar terus membiasakan diri dan mengamalkan membaca Al-Quran, di samping mempelajari dan menghalusi pembacaan serta berusaha menghafal dan menghayati ajaran-ajarannya.

Bagi mereka yang tidak boleh membacanya atau tidak lancar bacaannya, usaha-usaha mempelajari Al-Quran perlu diteruskan.

Ini kerana mempelajari Al-Quran itu adalah merupakan amalan sepanjang hayat dan bukannya terhad pada waktu atau musim tertentu sahaja. Dengan kata lain, tidak ada kata penyudah bagi mereka itu dalam mempelajari Al-Quran.

Sikap complacent dengan digandingi ungkapan seperti terlanjur usia, lidah sudah tidak lembut lagi, sibuk dan seumpamanya, seharusnya tidak wujud dan bukanlah sebagai penghalang bagi seseorang itu untuk mempelajari Al-Quran.

Menyentuh mengenai tema pertandingan tahun ini, iaitu Al-Quran Cahaya Dunia Akhirat, pada hemat saya, ianya sememangnya bersesuaian kerana amalan membaca Al-Quran akan menjadikan negara kita sentiasa bergema dengan Al-Quran.

Negara yang bergema dengan Al-Quran, insya-Allah akan sentiasa diterangi dengan cahaya hidayah, mendapat keberkatan serta dilimpahi rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Wallahu a’lam.

Hasrat Negara
Pelita Brunei
Tahun 58 / Bil. 47; ms 2
20 Apr 2013

No comments:

Post a Comment