Dirafa’kan
kesyukuran kepada Allah swt Ramadan menggamit lagi. Bulan yang penuh keberkatan
dan pelbagai keistimewaan antaranya rahmat , maghfirah dan gandaan pahala.
Oleh
kerana masa begitu pantas berlalu dan kita sentiasa terkejar-kejar dengan masa,
di samping banyak membazirnya maka di sini suka diterangkan berkenaan dengan
masa mengikut neraca Islam.
Daripada
Ibn Abbas ra berkata bahawa nabi saw bersabda yang bermaksud: Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi
(kecewa) dalam menerimakeduanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang. Hadis
ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari 6412, Imam Ahmad dalam musnadnya 1/344,
at Tirmizi dalam al-Zuhud 2304, Ibn Majah dalam al-Zuhd 4170 dan al-Baihaqi
dalam al-Sunan 3/370.
Syeikh
Abdullah Ba’lawi berkata: Saudara-saudaraku
sesama muslim sekalian, jagalah baik-baik dan berhati-hati dengan waktu yang
kamu miliki kerana ia sangat terbatas, tidak boleh dimajukan atau ditangguh
walau sesaatpun, detik demi detik, minit demi minit, saat demi saat, hari demi
hari dan seterusnya tempoh yang kita hidup di dalamnya adalah tempoh yang
sangat singkat berbanding kehidupan di
akhirat nanti.
Setiap
hembusan dan tarikan nafas, setiap denyut nadi dan degup jantung, seluruhnya
itu mustahil berlaku tanpa izin Allah swt,. Bahkan pada hembusan nafas anda
yang terakhir, pada denyut nadi yang terakhir dan pada denyut nadi yang terakhir dan pada degup jantung
anda yang terakhir hendaklah anda gunakan waktu itu untuk berbakti kepada Allah
swt, sama ada ketika jaga atau tidur. Gunakanlah untuk sesuatu yang berfaedah dan jangan biarkan
berlalu seminit pun dengan sia-sia.
Jikalau anda keliru menggunakannya maka di kemudian hari anda pasti merasa
penyesalan anda nanti. Inilah yang wajib anda perhatikan mulai sekarang.
Setelah
meninggalkan dunia fana ini, baharulah
anda mengetahui betapa ruginya mensia-siakan waktu sekalipun hanya seminit
sahaja. Anda semua pasti akan mengalaminya sendiri nanti dan pasti pula anda
akan menyakini serta membenarkan apa yang saya katakan ini.
Syeikh Abdullah Ba’lawi menambah : Akan
diperhatikan kepada setiap manusia di
akhirat nanti semua hari dan malamnya dalam bentuk almari. Setiap hari dan
malam terdapat dua puluh empat almari
sesuai dengan jumlah hitungan hari dan malam itu. Manusia itu akan melihat
sendiri setiap jam yang digunakan untuk
mengerjakan ketaatan kepada Allah swt, nampaklah almari itu penuh cahaya,
sedang setiap jam yang digunakan untuk bermaksiat kepada Allah swt nampaklah
almari itu dalam keadaan gelap gelita.
Seterusnya jikalau ia mendapati almarinya
sendiri itu berisi kegelapan yang hitam pekat,maka sekiranya ia dibenarkan
memilih untuk mati.Nescaya ia akan rela mati serta merta ketika melihatnya.
Namun tiada kematian lagi di alam akhirat. Justeru, seseorang yang selalu mengerjakan
ketaatan kepada Allah swt, sudah tentu amat gembira dan ingin sekali menjadi
manusia gembira, malahan terus bertambah kegembiraan dan sukacitanya itu
sepanjang masa (atau lebih gembira lagi sekiranya dapat menambakan amal
solehnya). Sebaliknya, manusia yang sentiasa berbuat maksiat kepada Allah swt,
maka itulah manusia yang benar-benar berdukacita serta merasa takut, malahan
kesedihan dan dukacitanya itu makin bertambah, tanpa ada penghabisannya sama
sekali.
Katanya lagi: Saudaraku sesama muslim
yang tercinta, kini tinggal bagaimana kamu memilih salah satu daripada dua hal.
Mudah-mudahan Allah swt sentiasa memberi anugerah dan rahmatNya kepadamu.
Adakanlah pilihan untuk anda sendiri selagi andamasih berada di
alam yang di dalamnya masih diberi kebebasan untuk memilih. Saya hanya
menganjurkan yang baik-baik sahaja, pilihan anda jangan sampai keliru dan
tersesat.
Pilihan yang baik dalam mengamalkan
segala sesuatu yang dapat mendatangkan
manfaat, sebab hanya inilah yang akan meninggalkan darjat selagi masih hidup di
dunia atau setelah di akhirat nanti. Anda mesti selalu ingat bahawa waktu yang
sudah andalalui itu tidak akan kembali lagi. Ini kerana jika tidak berlalu
tidak mungkin kembali maka pilihan untuk mengerjakan kebaikan atau keburukan
pun sudah tidak ada lagi, yang sudah berjalan dan berupa kebaikan tetap menjadi
amal yang soleh bagi anda, sedang yang buruk tetap menjadi buruk dan tidak
boleh dilenyapkan kecuali dengan bertaubat.
Oleh itu, bersegeralah, janganlah
menangguh-nangguh melakukan perbuatan yang diredai Allah swt kerana ia suatu
keburukan tersendiri padahal kita semua tahu manusia itu selalu terganggu oleh
bermacam-macam keadaan berbahaya serta banyaknya pekerjaan yang mesti segera diselesaikan hingga kesempatan
yang semestinya boleh digunakan untuk beramal soleh akhirnya hilang sia-sia
tanpa ada manfaat sedikit pun.
Marilah sama-sama kita mengambil semangat
Ramadan dengan melakukan ibadat samaada yang wajib mahupun yang sunat. Semoga
dengan amalan tersebut melayakkan kita mendapat ketakwaan. Amin
Dr. Zulkifli b
Mohamad Al-Bakri
Prof Madya Dr
Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi
Abdul Manam bin
Mohamad Al-Merbawi
Risalah Ramadan
Majlis
Agama
Islam dan Adat Melayu Terengganu,2011.
No comments:
Post a Comment