Saturday, September 24, 2016

Ramadan dan kemenangan

Alhamdulillah segala puji bagi Tuhan yang Maha Esa maka dengan izinNya kita dapat merentasi lapar dan dahaga dalam menjunjung ketaatan kepada Allah  swt iaitu puasa yang menjadi salah satu daripada rukun Islam yang lima. Saat kita berada di penghujung ini, kita mengharapkan kemenangan Ramadan akan hinggap dalam kamus kehidupan kita.

Ramadan merupakan bulan yang mempunyai banyak karamah dan keberkatan khususnya kepada orang yang bertakwa. Kita akan dapati terlalu banyak keistimewaan kedua-duanya seperti sejarah kegemilangan Islam tercatat pada bulan Ramadan antaranya:

Pertama: Permulaan Nuzul al-Quran (25 Ramadan atau 17 Ramadan). Ia merupakan noktah dan titik permulaan peradaban manusia. Ini kerana ia menyingkap kegelapan jahiliyyah seterusnya dipancar sinar keilmuan Islam melalui kitab Ilahi dengannya tertegak tamaddun Islam dan insani. Maka beruntunglah mereka yang berpegang dengan kitab suci al-Quran yang menjadikannya petunjuk dan pedoman hidup.

Kedua: Peperangan Badar (17 Ramadan). Ia berlaku pada tahun 2 Hijrah di perkampungan Badar di mana tentera Islam seramai 313 orang dengan kelengkapan yang amat naif tetapi membawa ketinggian iman dan keyakinan kepadaAllah swt dapat mengalahkan musuh yang mempunyai kelengkapan dengan jumlah lebih daripada 900 orang yang dipimpin oleh Abu Jahal. Kemenangan itu merupakan suntikan semangat kepada umat Islam untuk bersama menegakkan agamanya dan mempertahankan rasulullah saw.

Ketiga: Pembukaan Kota Mekah (20 atau 21 Ramadan), ia berlaku pada bulan Ramadan juga iaitu pada tahun 8 Hijrah. Ini hasil daripada pencabulan perjanjian yang dimeterai antara rasulullah saw dengan puak Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 hijrah.Dengan kemenangan tersebut umat Islam  dapat menjadikan Mekah sebagai Kota Islam di mana terdapatnya Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam seluruhnya. Peristiwa ini menyebabkan seluruh semenanjung Tanah  Arab berjinak dengan Islam dan mereka masuk kepada agama Islam dengan berduyun-duyun. Itulah yang dinyatakan Allah swt melalui Surah an-Nasr.

Keempat: Tersebarnya Islam ke Yaman (Ramadan 10 Hijrah), di mana rasulullah saw menghantar para sahabat untuk menyebarkan Islam.

Kelima: Peperangan Zallaqah (25 Ramadan 479 Hijrah), peperangan  yang menyaksikan tentera Islam bertembung dengan tentera kafir yang berkesudahan dengan kemenangan oleh tentera Islam.

Keenam: Peperangan Ain-Jalut (15 Ramadan 658 Hjrah). Pada tahun 656 Hijrah, kerajaan Mamalik dapat mengalahkan tentera Monggol dalam peperangan di ’Ain Jalut. Seorang panglima tentera Islam terkenal, Qutuz yang menjadi pemimpin Mesir telah mengumpul tentera Islam dan menyuntik semangat mereka untuk berkorban di samping adanya nasihat seorang ulama terkenal Izzuddin bin Abdul Salam.

Ketujuh: Pembukaan Kota Andalus (28 Ramadan 92 Hijrah) Di bawah pimpinan Thariq bin Ziyad,  negeri Sepanyol dapat dibuka yang berjaya merentangi selat antara Afrika dan Eropah di bawah arahan Musa bin Nusair. Peristiwa ini sebagai mukadimah bertapaknya Islam di negara Eropah sehinggalah kepada kawasan-kawasan yang lain.

Kelapan: Salahuddin al-Ayubi mengalahkan tentera salib dalam bulan Ramadan iaitu pada tahun 580 Hijrah. Seterusnya merekaberjaya mengambil dan menguasai kembali benteng Shafad.
 
Begitu juga peperangan muktakhir yang berlaku antara tentera Mesir dan Syria melawan tentera Israel sehingga memberi kemenangan kepada pihak Mesir. Ini menjadikan pukulan yang hebat kepada tentera Israel sehingga mengheret kepada perjanjian.

Daripada peristiwa-peristiwa ini menunjukkan kepada kita betapa para sahabat makin bersemangat dengan kedatangan ramadan kerana iamemberi kekuatan Ruhi yang seterusnya menjadikan mereka dapat mengalahkan nafsu syahwat dan juga dengannya cahaya dan sinar ilham Allah swt kepada hati mereka. Maka dengan sebab itulah apabila mereka menuju ke medan jihad kemenangan sentiasa bersama mereka. Ini kerana mereka mempunyai dua kekuatan iaitu rohani dan jasmani sedangkan musuh bergantung kepada zahir jasmani  sahaja. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka kosong, perasaan takut bertapak dalam hati mereka ditambah dengan keberanian yang luar biasa yang ditunjukan oleh tentera Islam hasil daripada Ubudiyyah mereka kepada Tuhannya.

Al-Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya Apa Ertinya Saya Menganut Islam berkata:Orang-orang yang terdahulu dari kita benar-benar mengetahui dan memahami bahawa dakwah mereka tidak akan mencapai kejayaan kecuali dengan jihad, pengorbanan, penyerahan harta kekayaan dan jiwa raga lantas mereka pun mengorbankan diri dan harta mereka untuk perjuangan. Mereka berjihad pada jalan Allah swt dengan sebenar-benarnya. Mereka mendengar seruan Allah swt yang menyeru kepada mereka yang bermaksud:

Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai  dari Allah dan rasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
(Surah at-Taubah: Ayat 24)

Sebaik sahaja mendengar seruan yang berupa ugutan itu, mereka pun terus menyambutnya. Mereka membebaskan diri mereka dari segala sesuatu yang mereka cintai dengan penuh kerelaan hati malahan mereka bergembira dan merasa bahagia dengan janji setia yang mereka berikan kepada Allah swt.

Ada di kalangan mereka yang bertarung dengan maut tetapi masih menyeru: Maralah menuju Allah yang tidak membawa sebarang bekalan. Ada juga di kalangan mereka yang mengorbankan seluruh harta benda mereka dengan berkata: Aku tinggalkan untuk keluargaku Allah swt dan rasulNya. Ada juga di antara mereka yang bermadah sedangkan mata pedang sedang berada di leher mereka: Aku tetap tidak peduli, asalkan aku seorang muslim biarpun diriku dibunuh mati untuk Allah kematian pasti.

Demikianlah yang telah terjadi kepada mereka yang berjihad dengan jihad yang benar, pengirbanannya besar, menyerah diri dengan bersungguh-sungguh dan kita juga melakukan perkara yang sama (dengan izin Allah swt)

Atas dasar ini selayaknya umat Islam menjadikan Ramadan sebagai bulan tamrin dan latihan dalam mengatur dan menyusun langkah kehidupan di atas asas syariat Allah swt.

Dalam saat kita menyambut akhir Ramadan dan bertemu dengan Syawal sudah pasti semangat Ramadan ini hendaklah kita bawa bersama sebagai mukadimah perubahan hidup kita ke arah yang lebih baik mengikut kehendak Allah swt. Begitu juga Syawal menjadikan kita lebih bersyukur kepada Ilahi atas nikmat kurniaan kemampuan untuk melaksanakan ibadahNya dengan jaya. Amin.

Dr. Zulkifli b Mohamad Al-Bakri
Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi
Abdul Manam bin Mohamad Al-Merbawi
Risalah Ramadan
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu,2011.

No comments:

Post a Comment