Saturday, September 17, 2016

Asy-Syahid

Asma ul-Husna ke-51

Asy-Syahid ertinya Allah Maha Menyaksikan sebagaimana firmanNya bermaksud:

Tidakkah Tuhanmu cukup bagimu bahawa sesungguhnya Ia menyaksikan segala sesuatu.
(Fussilat:53)

Maha Menyaksikan

Menurut Mu’jam Naqayis al-Lughah oleh Ibn Faris, kata kerja syahida, ertinya melihat, menyaksikan atau membenarkan.

Secara linguistik menunjukkan kehadiran, pengetahuan dan penyebaran pengetahuan tersebut. Sifat asl-Syahid berasal dari kata syuhud, ertinya saksi (mata) dan ianya memerlukan pengetahuan melalui observasi. Allah adalah as-Syahid kerana Dia hadir dan melihat segala sesuatu yang telah Dia ciptakan dan yang akan Dia ciptakan sekaligus dan di satu tempat, dan Dia sepenuhnya mengetahui makhluk-makhluk tersebut sebagaimana ayat bermaksud,.....Dia bersamamu di manapun kamu berada.

Dalam karyanya Taj al-Arus, al-Zubaidi telah menyebutkan bahawa as-Syahid adalah salah satu sifat Allah yang ertinya: Zat yang jujur dalam kesaksianNya dan tak sesuatupun yang  luput dari ilmuNya. Ilmunya adalah sangat sempurna berkenaan dengan semua benda yang tampak. As-Syahid juga mengandungi luasnya pengetahuan dari apa yang diketahui Allah.

Menyaksikan kebenaran dan hakikat Allah

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kelimapuluh satu dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah menyaksikan kebenaran dan hakikat Allah untuk seterusnya bermakrifat kepadaNya.

Golongan yang beriman kepada Allah sentiasa ingat bahawa Allah adalah Saksi atas segala sesuatu di mana Allah mencukupkan diriNya sebagai saksi atas semua umat manusia. Dalam hal ini Allah menyebutkan ciri-ciri mukmin:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi saksi kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi saksi atas perbuatan kamu.
(Al-Baqarah:143)
Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna

Pustaka Azhar, 2010

No comments:

Post a Comment