Monday, April 4, 2016

Catatan guru Matematik seusai menanda kertas peperiksaan anak murid

Segala jawapan sudah tercatat
salah benar sudah kulihat
usahlah bimbang anak muridku
kerana tidak pernah seorang pun
mendapat markah penuh
melainkan seseorang itu.

Ketika menyusun rumus amal
tambah tolak terkadang pincang
darab bahagi terkadang songsang
paksi trigonometri terkadang tempang
usahlah cemas anak muridku
itu sudah kesalahan biasa
namun harus kauteliti mana silapmu
hilang kembali segala perkiraan
muhasabah mana dosa mana pahala
yang perlu disemak semua
dan pastikan kesalahan sama
tidak berulang semula.

Ketahuilah anak muridku
setiap angka akhir jawapanmu
pada helaian kertas usia ini
kelak dinilai di akhirat
waktu itu
pensil, pemadam, pembaris
dan segala alat tulis
akan menjadi saksi
bagaimana jawapanmu
menjadi begitu.

Muhamad Fitri Abu Bakar
Bukit Jalil

BH, 20 Mac 2016

No comments:

Post a Comment