Wednesday, April 20, 2016

Apakah itu Sains


Sains adalah cabang ilmu pengetahuan yang mempunyai banyak ciri dan perbezaan berbanding dengan disiplin ilmu yang lain. Sains boleh ditakrifkan dari berbagai perspektif. Kamus Oxford (1983), mentakrifkan sains sebagai cabang ilmu pengetahuan yang melibatkan pemerhatian dan eksperimen yang bersistem terhadap fenomena alam semulajadi. Sains bermatlamat untuk membuat rumusan idea, penerangan dan pemahaman terhadap fenomena semulajadi.

John Ziman (1984), seorang ahli sejarah sains telah memberikan takrif sains yang berlainan mengikut aspek tertentu. Jika sains ditakrifkan sebagai alat untuk menyelesaikan masalah, ia memainkan peranan sebagai alat yang berhubung rapat dengan teknologi. Jika sains ditakrifkan sebagai pengetahuan yang terancang ia memperlihatkan ciri keilmiahan yang mana fenomena alam yang dikaji dan ditemui melalui penyelidikan diterbitkan dalam buku atau jurnal untuk bacaan umum. Pengetahuan ini mempunyai pengaruh yang kuat melalui penggunaaannya dalam teknologi.

Dari aspek falsafah, tradisi sains menekankan kepada prosedur sains yang bersistem dalam menjalankan penyiasatan seperti membuat hipotesis, menjalankan eksperimen, menganalisis dan mentafsirkan maklumat, membuat kesimpulan dan membuat teori. Sains juga boleh dilihat dari aspek vokasional yang mana ahli-ahli sains menjalankan penyelidikan dalam masa lapang melalui kebolehan serta minat mereka. Cain (1990), melihat sains sebagai terdiri daripada empat komponen iaitu hasil atau kandungan, proses atau kaedah, sikap dan teknologi. Sebarang program pendidikan sains seharusnyalah mencakupi kesemua komponen itu.

Wallahu a’lam.

Modul 1 Pukal Latihan Sains Rendah (PuLSaR)                                                                                      PPK, KPM April 1999, ms 2-3

No comments:

Post a Comment