Friday, January 8, 2016

Al-Ghaffar

Asma Ul-Husna 15

Al-Ghaffar ertinya Allah Maha Pengampun dan bersifat Maha Mengampuni sebagaimana firmanNya bermaksud:

Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya; Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.
(Al-Infitaar:6-8)

Zat Yang Menutupi Dosa-dosa

Al-Ghaffar adalah salah satu sifat Allah yang berasal dari kata benda ghufr dan ghufran, yang ertinya adalah melapisi, menyembunyikan, menutupi.

Maghfirah (ampunan) Allah bererti Allah menutupi dosa-dosanya dan dengan ampunanNya Dia memberi manusia (orang yang berdosa) kurnia dan ampunanNya. Al-Ghaffar adalah Zat yang telah mengadakan sesuatu yang indah dan menutupi sesuatu yang buruk di dunia ini dan yang tidak menimpakan siksaNya di akhirat. Dialah Zat Yang mengampuni dosa-dosa, menutupi kekurangan-kekurangannya, mengikis habis dosa-dosa dengan menerima taubatnya. Dia menerima taubat hamba-hambaNya. Dialah Zat yang mengampuni dosa-dosa dan memalingkan mereka kepada kebenaran kepada kurnia agungNya. Dialah Zat Yang Mengampuni dosa-dosa (meskipun dosa-dosa itu besar dan Dia menutupi dosa-dosa sekalipun jumlahnya banyak.

Al-Ghaffar adalah Zat yang sering menutupi dosa-dosa dan kekurangan hambaNya sehingga tiada alasan bagi setiap insan yang melakukan dosa untuk berputus asa daripada rahmat dan ampunan Allah.

Dari kata-kata al-Ghaffar itulah terbentuknya maghfirah iaitu ampunan Allah atas dosa-dosa yang dilakukan hambaNya tanpa mengira ada dosa itu kecil ataupun besar.

Sifat Manusia Yang Kelimabelas ialah Suka Mengampuni

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kelimabelas dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah gemar memberi ampun terhadap kesalahan seseorang dan meringankan beban penderitaan orang lain.

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010
ms 37 - 38

No comments:

Post a Comment