Al-Mawa’izd Al-Badi’iah
Maka ini pula bagi mereka itu lorong dirinya daripada Allah Ta’ala kemudian
tiada meninggal Allah Ta’ala akan mereka itu dalam demikian hingga mengambil ia
akan mereka itu kepada hakikat maklumnya dan terkadang-kadang memperhiasi ia
akan mereka itu dengan pakaian ni’mat dan memperdaya ia akan mereka itu di
dalam beberapa ni’mat dunia, seperti banyak harta dan anak isteri dan hamba
sahaya dan sihat badan dan banyak orang yang mengikut ia daripada murid dan
askar dan kasih orang kampung dan mulia daripada segala makhluk dan masyhur
kepada segala negeri, maka terpedaya mereka itu dengan sebab baik keelokan dan
baik kehidupan mereka itu, padahal karam mereka itu di dalam ni’mat dunia
padahal menyangka mereka itu akan bahawasanya dirinya itu lengkap tiap-tiap
suatu ni’mat. Maka ini bagi mereka itu istidraj daripada Allah Ta’ala padahal
tiada meninggal ia akan mereka itu pada demikian tetapi mengembali ia akan
mereka itu kepada hakikat maklumnya.
Bermula hati orang yang mu’min itu sentiasa dukacita ia kerana takut akan
istidraj dan tiada hilanglah takutnya hingga lalai ia akan titi atas belakang
neraka jahanam dan melihat akan sucinya ke dalam syurga.
Hai anak Adam, ketahui olehmu bahawasanya Allah Ta’ala membunyikan ia akan
beberapa perkara di dalam beberapa perkara. Membunyikan ia akan benci dalam
halimnya, yakni menahan marah dan murkanya. Dan membunyikan ia akan adil di
dalam murahnya. Dan membunyi ia akan celaka di dalam beberapa bagai ni’matnya
di dalam dunia. Dan membunyi akan marahnya dan murkanya di dalam bagai
tutupnya. Dan membunyi ia akan penolong kepada kekasihnya di dalam tangguhnya
di dalam dunia.
Dan tatkala sudah engkau ketahui
akan dia makna istidraj dan tipu Allah Ta’ala bagi hamba yang telah aku
sebutkan akan dia, maka yang terlebih baik bagi hamba itu bahawa tiada
berpegang ia atas banyak waktunya dan banyak kebajikannya dan banyak amalnya
dan banyak ilmunya, maka beberapa daripada orang yang engkau lihat akan dia
pada rupa orang yang berjalan kepada Allah padahal ia daripada Allah Ta’ala
daripada orang yang ditolakkan daripada pintunya dan putus asa daripada
rahmatNya padahal tiada mengetahui ia akan bahawasanya Allah Ta’ala itu
terkadang memperhiasi ia akan seterunya dengan pakaian auliyanya, kemudian
mengambil ia akan dia pada akhir pekerjaannya kepada seterunya jua dan
terkadang mempakaian ia akan auliya’nya dengan pakaian seterunya kemudian
mengambil ia akan dia pada akhir pekerjaannya kepada hakikat hampirnya jua
kerana bahawasanya Allah Ta’ala itu, iaitu menzahirnya atas auliyanya akan
sifat seterunya dan menzahir ia atasnya seterunya akan sifar auliyanya kemudian
mengembali ia akan mereka itu kepada hakikat maklumnya, yakni diketahuinya pada
azali dan terkadang memperhiasi ia akan seterunya dengan perhiasan
keperliharaannya padahal ia tsabit di dalam ilmunya daripada orang yang empunya
laknat Allah atasnya, yakni jauh daripada rahmat Allah kerana inilah
memperhiasi oleh Allah akan Syeikh Bal’am itu dengan beberapa alamat auliya’nya
dan dengan beberapa keramatnya padahal ia daripada Allah Ta’ala daripada orang
yang celaka dan mengkaram oleh Allah Ta’ala Qarun itu di dalam laut ni’matnya
padahal ia daripada Allah Ta’ala daripada orang yang dimurkai akan dia.
Dan barangsiapa melihat ia akan perusuhan rububiyyah pada ketika berdiri
’ubudiyyah nescaya untung ia daripada dirinya dan menerima pelihara ia dengan
tolong Tuhannya dan menyerah ia segala pekerjaannya kepada Tuhannya, maka
ketika itu sejahtera ia daripada bala istidraj.
Hai anak Adam, ketahui olehmu bahawasanya istidraj ahli dunia itu cenderung
dan tetap kepadanya dan sentiasa berpaling daripada Allah Ta;ala. Dan istidraj
ahli ilmu itu menuntut kemegahan dan menuntut martabat yang tinggi daripada
makhluk. Dan istidraj ahli ijtihad itu takabbur dan ujub dengan dia. Dan
istidraj murid itu melihat ia kepada pemberi dan karamah serta cenderung hati
mereka itu kepadanya. Dan istidraj orang yang
arif itu menuntut kaya mereka itu dengan ma’rifah. Tiada kaya mereka itu
dengan Tuhannya yang dikenal hingga jadi mereka itu bagi ma’rifah akan had dan
ghayah dan nihayah. Maka mereka itu menyangka akan dirinya itu melengkapi
mereka itu dengan ma’rifah.
Wallahu alam.
Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007
No comments:
Post a Comment