Wednesday, January 13, 2016

Pelajaran 49....bahagian 3

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Bermula tiap-tiap orang yang adalah martabatnya ini terlebih tinggi nescaya adalah istidrajnya itu terlebih besar dan terlebih halus.

Kata Ibnu Al-Mubarak Rahimahullahu Ta’ala berapa orang yang menyebut-nyebut Allah Ta’ala padahal ia lalai akan Allah Ta’ala. Dan berapa orang mendakwa ia akan dirinya takutkan Allah padahal ia berani atas Allah Ta’ala. Dan berapa orang yang meminta kepada Allah padahal ia jauh daripada Allah. Dan berapa orang yang membaca Kitab Allah padahal tuli daripada ayat Allah.

Kata Abu Sa’id bahawasanya engkau itu engkau tinggalkan akan dunia padahal engkau bermegah-megah engkau dengan meninggalkan dia, maka bermegah-megah itu terlebih besar daripada dunia, maka tiada engkau tinggal akan dia dan jikalau engkau tinggalkan segala ghaib nafsu dan ajaib engkau dengan meninggalnya, maka ajaib itu terlebih besar daripada segala aib, maka tiada ada engkau tinggal akan dia dan jikalau engkau mujahidah padahal engkau bergantung dengan mujahiduhum, maka bergantung itu terlebih besar daripada segala istidraj, maka tiada engkau mujahidahkan dia, dan jikalau engkau takut padahal engkau sentiasa engkau atas bahawasanya engkau takut, maka sentiasa daripada takut itu terlebih besar daripada takut, maka tiada engkau takut akan dia, dan jikalau engkau tawakal kepada Allah padahal engkau pegang kepada tawakkalmu tiada engkau pegang kepada Allah Ta’ala dengan Allah tiadalah engkau tawakkal kepada Allah dan jikalau engkau kasih akan Allah dan tiada engkau padakan dengan Allah, maka tiada engkau kasih akan dia.

Dan barangsiapa tiada mengenal ia segala bala’ yang telah aku sebutkan akan dia, maka iaitulah orang yang di istidraj padahal tiada tahu akan dirinya di istidraj.

Hai anak Adam, jangan terpedaya engkau sebab banyak ilmumu kerana beberapa orang yang berbuat amal padahal menyangka mereka itu bahawasanya amalnya itu kebajikan maka tiba-tiba amal itu kejahatan dan dengan sebab yang demikian itu nyata bagi mereka itu daripada Allah Ta’ala barang yang tiada mereka itu menyangka mereka itu akan dia. Maka inilah, maka bicarakan olehmu akan dia

Hai anak Adam, ketahui olehmu bahawasanya Allah Ta’ala mengetahui Ia akan segala amal kamu dan mencuba Ia akan kamu dengan menyuruh dan menegah dan dengan memberi ni’mat dan dengan memberi bala hingga mengetahui siapa yang mahu mengerjakan suruhNya dan siapa yang mahu meninggalkan tegahNya, dan siapa yang mahu meninggalkan ni’mat dunia dan siapa yang mahu syukur akan Dia dan siapa yang mahu sabar atas balaNya daripada Kami, seperti firman Allah Ta’ala:

...bermula Allah Ta’ala itu mengetahui Ia akan segala amal kamu dan sungguh-sungguh Kami cuba akan kamu hingga Kami ketahui akan yang bersungguh daripada kamu dan yang sabar daripada kamu, dan Kami cubakan akan khabar kamu (Muhammad:30-31)

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

No comments:

Post a Comment