Asma Ul-Husna 17
Al-Wahhab ertinya Allah Maha Pemberi yang berkuasa sepenuhnya terhadap
pemberianNya sebagaimana doa yang tercantum di dalam Al-Quran:
Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan
kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah
Tuhan Yang Maha Pemberi.
(Ali Imran:8)
Zat Yang Maha
Memberi
Al-Wahhab berasal dari kata benda hibah,
kata kerjanya adalah yahib, ertinya
memberi tanpa meminta balasannya. Ia merupakan hadiah cuma-cuma dari setiap
balasan atau perolehan dari si pemberi. Jika seseorang mengeluarkan
hadiah-hadiah semacam itu begitu sering, ia akan memperolehi gelaran jawad dan wahhab, orang yang pemurah, dermawan.
Allah yang Maha Kuasa dipaparkan sebagai yang Maha Pemurah, Maha Pemberi,
yakni al-Wahhib kerana hanya Dia yang memberikan kepada setiap orang menurut
iradat dan kehendakNya.
Al-Wahhab adalah Zat yang memberi tanpa pernah berasa bosan. Dia
melimpahkan kurniaNya kepada para hambaNya tanpa tujuan dan maksud tertentu.
Bahkan Dia memberi tanpa diminta. Dialah Zat yang mengawali pemberian dan
Dialah yang banyak memberi. Sesungguhnya Allah adalah al-Wahhab lantaran Dialah
Yang Maha Pemurah, Maha Pemberi, Zat yang tak bosan-bosannya berusaha mendekati
para hambaNya, yang dengan murah hati melimpahkan kurnianya kepada mereka.
Al-Wahhab adalah Zat yang memberi tanpa sebarang kepentingan. Dia
melimpahkah rahmatNya kepada setiap hambaNya yang menunjukkan luas dan tidak
terbatasnya pemberianNya, di samping Dia memberi secara terus menerus dan tidak
menghabiskan perbendaharaanNya yang Maha Luas itu.
Al-Wahhab ertinya pemberianNya bebas tanpa bersyarat sesuai dengan iradat
dan kehendakNya sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
Bagi Allah jualah hak milik
segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya;
Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan
mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
(Asy-Syuura:49)
Sifat Manusia Yang
Ketujuhbelas Ialah Suka Memberi Tanpa Meminta Balasan
Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang ketujuhbelas dengan
bercermin pada Asma ul-Husna ialah dengan mengamalkan sifat suka memberi dan
membantu tanpa sebarang kepentingan ataupun dengan harapan mendapatkan balasan
daripada apa yang diberi.
Demikianlah para nabi, rasul dan orang-orang soleh telah membuktikan bahawa
diri mereka adalah pengabdi kepada umat sehingga mereka memberikan
segala-galanya untuk perjuangan tegaknya risalah suci, iaitu agama Allah di
muka bumi ini.
Mereka memberikan mulai daripada harta, jiwa, hidup dan mati mereka untuk
menyampaikan risalah Allah demi terselamatnya kita daripada gelombang badai
hawa nafsu dan syaitan laknatullah. Sehingga berkat pemberian mereka yang tulus
ikhlas itu, kita pada hari ini berada pada jalur gemilang keimanan kepada Allah
swt.
Wallahu a’lam
Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan
Asma Ul-Husna,2010
ms 41-43
No comments:
Post a Comment