Biarpun hati diselaputi lapisan-lapisan
tisu hitam yang tidak dikenali
lelaki ini mati
tanpa mengerti
sakit sendiri
berhenti menggeletar
gerun pada maujud Izrael itu
segera kubelah-belah
uh! cecair emas memancut keluar
dan salur darah aorta
dan pingat-pingat kuasa kutemui
di dalam ruang atrium dan ventrikal
inikah yang mahu kaubekal
saat menghadap Tuhan nanti?
Betapa skalpel ini menjadi saksi
seberapa tebal kecintaanmu
pada duniawi
biarlah kuguna ia
untuk menghiris bukti-bukti ini
lalu diserah
ke makmal muhasabah diri
Seusai dikaji
akan segera
kubawakan surat nasihat
ke tangan ahli keluarga
biar dibaca dan difahami
biar sedar kelemahan manusiawi
di hadapan ilahi
Muhamad Fitri Abu Bakar
Bukit Jalil
BH 3 Jan 2016
No comments:
Post a Comment