Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Segala puji bagi Allah yang
Maha Kuat lagi Menguasai. Tuhan yang melindungi lagi
menuntut hak dari hambaNya. Tuhan yang membangkitkan lagi mewarisi (bumi dan
segala isi alam). Tuhan yang memberi dan menarik. Tuhan yang mengetahui segala
sesuatu sama ada yang sedang berlaku, yang sudah berlalu, yang sudah hilang dan
yang sudah pergi. Bertasbih (mengucapkan kesucianNya) kepadaNya segala bintang
yang timbul, yang turun, yang naik dan yang terbenam. MengesakanNya segala
sesuatu sama ada yang boleh bercakap, yang tidak boleh bercakap, yang beku dan
yang cair. Dengan keadilanNya bergerak sesuatu yang diam dan dengan rahmatNya
diam sesuatu yang bergerak.
Tiada Tuhan melainkan Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana yang telah
menunjukkan keindahan hikmah ciptaanNya dan berbagai keajaiban, dalam menyusun
bentuk makhlukNya. Dia jadikan otak, tulang, otot, urat, daging, kulit, bulu
dan darah dengan susunan seimbang dan rapi, dari air yang memancut yang keluar
dari sulbi lelaki dan rahim wanita.
Tiada Tuhan melainkan Allah. Tuhan yang pemurah yang telah melimpahkan bagi
makhlukNya limpahan kemurahanNya dan pemberianNya. Tiap-tiap malam turun
perintahNya ke langit dunia menyerukan adakah orang yang mahu memohon atau yang mahu bertaubat. Adakah sesiapa yang
mahu memohon sesuatu hajat nescaya Aku tunaikan perintahnya. Alangkah baiknya
kalau anda dapat melihat orang-orang yang beribadat berdiri sambil menangis,
ada antara mereka yang menyesali dirinya lalu bertaubat, ada yang takut dirinya
tercebur serta memarahi dirinya sendiri, ada yang lari kerana dosanya dan cuba
melepaskan diri: Mereka ini terus beristighfar hinggalah menjelang siang dan
mereka pulang setelah berjaya mendapat apa yang dihajati dan dapat keredaan
Tuhan yang dicintai sehingga tidak seorang pun dari mereka yang kembali dengan
rasa kecewa.
Tiada Tuhan melainkan Allah, Maha Suci Tuhan Raja yang telah mencipta
nabiNya Muhammad saw sebelum diciptanya Adam dari tanah yang liat. Kemudian Tuhan bentangkan makhluk
kemegahanNya itu di hadapan segala benda sambil berkata inilah penghulu para
nabi sekaliannya, semulia-mulia orang pilihan dan sebaik-baik orang yang dicintai.
Ya Allah Ya Tuhanku
cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.
Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008
No comments:
Post a Comment