Monday, January 25, 2016

Pelajaran 50 .......bahagian 5


Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Bermula orang yang alim yang tiada mengamalkan seperti ilmunya itu, maka jadilah ilmunya itu:........abu yang berhambur ( Al-Furqan: 23)

Yakni jikalau mencari pahala ilmunya itu tiada mendapat ia akan dia seberat zarrah jua pun. Dan orang yang berbuat ibadat dengan ketiadaan ilmunya itu, maka jadilah ibadatnya itu pada pihak tiada mendapat pahalanya kerana ilmu itu umpamanya pohon dan amal itu umpama buahnya.

Bermula yang diqasad dengan memeliharakan pohon itu kerana diambil buahnya bukan diqasad kepada  pohon hanyasanya mulia pohon kerana ia asal jikalau ada pekerjaan seperti  demikian. Maka engkau tahulah bahawasanya tiada memberi manfaat ilmumu itu melainkan yang engkau amalkan dan tiada memberi manfaat amal itu melainkan dengan ilmu jua.

Hai orang alim yang berbahagia lagi beriman, maka terimakan olehmu akan pengajaran ini, dan ingat-ingatkan olehmu akan dirimu atas segala makhluk Allah Taala dan takutkan olehmu akan istidraj.

Dan jangan besarkan akan dirimu atas segala makhluk Allah Taala dan ingatkan olehmu akan kisah iblis dengan nabi Allah Adam dan kisah abid bani Isra’il dengan khaliq bani Isra’il.

Dan jangan terpedaya engkau dengan suatu karamah yang zahir kepadamu dan ingatkan olehmu akan kisah Syeikh Bal’am.

Dan jangan terperdaya  engkau dengan banyak dunia dan banyak harta dan segala nikmat dunia yang datang kepadamu dan ingatkan olehmu akan kisah Qarun.

Dan jangan terpedaya engkau dengan banyak ilmumu dan banyak ibadatmu dan dengan banyak muridmu dan ingatkan akan kisah Syeikh Barshisha padahal baginya enam puluh ribu murid yang berjalan mereka itu di dalam hawa dengan berkat Syeikh Barshisha dan adalah ia terlebih banyak berbuat ibadat kepada Allah Taala daripada segala manusia yang pada maanya hingga tercengganglah segala malaikat daripada melihat ibadat mereka itu. Kemudian maka mati kafir, na’uzubillah min zalik.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

No comments:

Post a Comment