Monday, March 16, 2015

Tanda utama kegagalan dalam mendidik manusia (3)



Banyak menghukum

Dalam ajaran Islam menghukum adalah jalan terakhir setelah diusahakan pelbagai cara terutamanya melalui didikan. Islam paling mengutamakan prevention is better than cure iaitu mencegah lebih baik daripada merawat.

Melalui didikan, hati manusia itu sendiri benar-benar takutkan Allah, takutkan dosa, takutkan neraka serta benci dan menolak maksiat. Jika ditangkap, didakwa, kemudian dimasukkan ke dalam penjara atau pusat serengti, itu bukan mencegah, menghalang atau membendung. Mencegah atau membendung ertinya langkah-langkah yang diambil sebelum kejahatan dan kemungkaran itu berlaku. Jika kejahatan sudah berlaku kemudian dihukum, itu menghukum bukan mencegah.

Mendidik pula bukan bermaksud masuki sekolah, menghafal atau lulus peperiksaan. Ia bermaksud membina iman dan takwa, syariat dan akhlak. Selepas proses mendidik berlaku, langkah seterusnya ialah menutup semua pintu kejahatan. Kemudian memberi jalan keluar atau alternatif bagi mereka yang memerlukan.

Dalam sejarah rasulullah saw, yang sesuai dengan zaman itu, baginda memberikan kapak kepada orang miskin supaya digunakan untuk mencari kayu api.Itu adalah sebagai satu cara untuk menghindari perbuatan mencuri atau merompak. Apabila menghukum orang yang bersalah, pelbagai aspek pula dikaji, diteliti dan diprerhalusi supaya tiada yang dizalimi. Umpamanya seseorang mencuri di musim kemarau. Masih ada pertimbangan termasuk mencuri harta orang kaya yang mengabaikan orang miskin. Mencuri benda yang tidak dijaga dengan sempurna juga ada pertimbangan. Begitulah kedudukan hukuman dalam Islam.

Andainya kita juga terjebak dengan kaedah trial and error dengan semata-mata menggunakan akal bagi mengatasi masalah manusia, pasti kitajuga akan banyak menghukum. Banyak pula pasukan penguatkuasaan. Mereka itu juga perlu diawasi. Ujudkan pula team yang bertugas mengawasi pasukan penguat kuasa. Team pengawas itu juga perlu dipantau. Tubuhkan pula satu skuad pemantau. Dan begitulah seterusnya.

Banyak menghukum itu isyarat bahawa manusia banyak buat salah. Banyak buat salah dan masalah ertinya manusia itu tidak terdidik sekaligus tiadalah prevention. Begitulah perangai atau tabiat manusia yang bertuhankan nafsu. Nafsu akan menguasai semua aspek kehidupan. Dalam masyarakat dan negara yang rohani tidak terdidik dengan rasa bertuhan, masyarakatnya dikepung oleh undang-undang, akta dan hukuman. Masyarakatnya sudah terpenjara oleh undang-undang dan hukuman. Sedangkan jika rohani terdidik dengan rasa bertuhan maka iman dan takwa yang mengawal kehidupan.

Wallahu a’lam

Shuib Sulaiman
Rasulullah tokoh transformasi
2012

No comments:

Post a Comment