Wednesday, March 18, 2015

Belajar menjadi tabah

Mereka telah lama menyarung baju tabah
sehingga ujian menjadi
seperti lintasan kilat
yang pantas dan jauh
melihat senyum
yang memercik ikhlas
kita seperti sedang
menonton wayang
yang memaparkan kesempurnaan

Alangkah manisnya
menyarung baju tabah
ketika yang lain menjerkah takdir
dengan hambur nista
dan api amarah
mereka pula begitu santun
menyalami sukar dan
mengucap syukur
kerana masih dikurniakan hidup
meskipun rumah yang tinggalnya
hanya tangga dan rangka

Kita belajarlah daripada
ribuan kisah
mereka yang lama diasuh
mensyukuri musibah
sehingga menjadi sedemikian tenang
gelap pun akhirnya
bertukar terang.

Ratna Laila Shahidan
IPGKRM Seremban
BH, 8 Mac 2015

No comments:

Post a Comment