Wednesday, March 11, 2015

Ciri kepimpinan berkesan

a) Adil

Sifat adil para pemimpin mesti ketara. Adil bukan bermaksud sama rata dan sama rasa. Takrif adil ialah meletakkan sesuatu tepat dan sesuai pada tempatnya. Misalnya dua orang yang berbeza saiz dan berat badan. Tentulah zalim kepada yang gemuk andainya dipaksa makan sepinggan nasi sahaja kerana hendak disamakan dengan yang kurus. Begitu juga jika hendak disamakan dengan yang gemuk lalu yang kurus dipaksa makan sehingga mudarat.

Sifat adil sangat menghampiri takwa. Semua orang mesti bersifat adil dalam semua aspek dan kategori diri, keluarga, harta, masa, tenaga, hati, akal dan nafsu. Manakala bagi pemimpin selain memenuhi sifat adil di atas tadi, dituntut berlaku adil kepada orang lain terutamanya mereka yang di bawah pimpinannya. Dizahirkan sama rata dalam melayani semua. Tidak ada pilih kasih, bias, prejudis atau double standard. Juga hendaklah adil dalam mengatur dan memberi keseimbangan hidup kepada semua rakyat. Semua keperluan asasi rakyat hendaklah dipenuhi sebaik mungkin.

b) Sabar

Sabar bermaksud tahan dengan risiko demi mendapat keredhaan Allah. Oleh kerana pemimpin bertanggungjawab untuk mendidik, jadi mereka mesti memiliki sifat sabar. Orang yang sabar sahaja yang layak dan berjaya mendidik. Jika pemimpin tidak sabar, apatah lagi rakyat yang mana salah satu perkara yang hendak dididik kepada rakyat ialah sifat sabar.

Empat tanda orang yang tidak sabar ialah:
1. Cepat marah
2. Mudah merajuk
3. Gopoh atau melulu
4. Tidak tenang

Semua manusia sukakan kasih sayang. Ia adalah fitrah manusia. Jika pemimpin memiliki sifat kasih sayang, ia akan menjadikan manusia mudah terpikat dengan Allah yang Maha Pengasih. Pemimpin yang mempunyai sifat kasih sayang juga mampu membuahkan perpaduan di kalangan pengikut. Hendaklah bersabar dalam membina dan memberi kasih sayang. Salah satu sebab datangnya bantuan dan pertolongan besar dan segera dari Allah ialah kasih sayang dan perpaduan.

c) Pemurah

Semua manusia sukakan orang pemurah kerana ia adalah fitrah manusia. Pemimpin hendaklah bersifat pemurah dalam semua perkara, bukan material saja. Maksud hadis: Orang pemurah dekat dengan Allah, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga dan jauh dari nerka. Orang kedekut jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga dan dekat dengan neraka.

Sifat pemurah amat mudah menjinakkan hati manusia kepada Allah yang Maha Pemurah.

d) Ilmu

Para pemimpin perlu menonjol atau ketara dalam menguasai pelbagai ilmu Islam termasuk general knowledge dan memahami isu semasa.
 
e) Semangat juang

Pemimpin juga hendaklah memiliki semangat perjuangan yang tinggi. Semangat itu mesti dibuktikan dengan pengorbanan. Pengorbanan mestilah dalam semua aspek yang diperlukan dalam perjuangan. Ini termasuklah pengorbanan yang amat besar bagi pemimpin iaitu perasaan.

Berkorban perasaan ertinya memendam dan menekan segala sifat mazmumah sebaliknya melepaskan atau menzahirkan semua sifat mahmudah. Semua sifat positif kelihatan subur dengan ketara pada diri pemimpin. Ini amat diperlukan kerana pemimpin berperanan utama dalam tugas-tugas berikut:

a) Menjadi penyelamat
b) Menjadi pembela
c) Menjadi penghibur

Wallahu a’lam

Shuib Sulaiman
Rasulullah tokoh transformasi

2012

No comments:

Post a Comment