SEWAKTU penulis bersama-sama dengan beberapa
cendekiawan pemikir akademik Kementerian Pendidikan dalam satu seminar
pendidikan di ibu kota, pelbagai pendapat telah dikemukakan untuk dibincangkan
bagi mencari kata sepakat berkaitan beberapa isu pendidikan terbaharu, sekali
gus menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dengan kata lain, pejam celik, pejam celik begitu
pantas sekali masa berlalu dan 2015 merupakan tahun akhir Gelombang 1
(2013-2015), iaitu mengubah sistem dengan menyokong guru dan memberikan tumpuan
kepada kemahiran utama.
Masih kedengaran cakap-cakap massa di seluruh
pelosok tanah air, iaitu terdapat sebilangan besar daripada pendidik tempatan
kurang memahami kandungan PPPM yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin pada 6 September 2013. Dalam hal ini, kata-kata seorang
akademikus terkenal tanah air ada kebenarannya.
Kata beliau, “Saya berasa hairan kerana masih
terdapat golongan pendidik kini yang bersikap ‘nato’ dalam urusan sehariannya
sebagai pendidik sedangkan kerajaan melalui KPM (Kementerian Pendidikan) telah
memperuntukkan wang yang begitu besar untuk menjayakan transformasi pendidikan
agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa di
negara maju.”
Sejujurnya, kerisauan beliau bukan sahaja dirasai
oleh pegawai KPM tetapi ibu bapa juga turut menerima tempiasnya dek perilaku
sesetengah guru yang bersikap ‘nato’ itu.
Perkataan ‘nato’ merujuk kepada frasa no action
talk only yang begitu jelas menggambarkan bahawa ada guru yang bersikap
sedemikian ketika memberikan ilmu pengetahuan kepada muridnya dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Guru yang tegar dengan situasi ‘nato’ ini berlaku
di mana-mana daerah atau lokasi dunia pendidikan kini.
Apakah kesannya kepada murid pascamerdeka pada
masa hadapan? Adakah murid berasa selesa akan sikap guru ‘nato’ itu? Sehubungan
itu, stigma sebegini tidak wajar berlaku kerana setiap guru telah melalui
proses pengamalan pedagogi berkesan serta praktikum ketika mereka menuntut di
Institut Pendidikan Guru (dulunya maktab perguruan) atau di universiti tempatan
dan luar negara.
Apakah yang diinginkan oleh seseorang murid
pascamerdeka dalam proses pembelajaran seharian mereka? Jika perkara ini diajukan
kepada murid, tentulah jawaban yang pelbagai akan diperoleh. Dalam hal ini,
seseorang guru yang sentiasa menyedari tanggungjawabnya akan berusaha untuk
memberikan persembahan yang terbaik ketika sesi pengajaran di dalam kelas,
selain menitikberatkan aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek muridnya setiap
masa.
Guru-guru seharusnya mendekati muridnya dengan
penuh kasih sayang agar ilmu pengetahuan benar-benar meresap ke dalam diri
murid tanpa gangguan unsur provokasi luaran. Usahlah dibiarkan sikap pasif
‘nato’ mendominasi minda guru terus-terusan tanpa adanya prakarsa murni untuk
meningkatkan tahap profesionalisme dan kaedah pengajaran terkini.
Murid-murid
pada abad ke-21 ini merupakan murid pascamerdeka yang aktif dalam serba bidang.
Hal ini menuntut guru-guru mengetepikan sikap jelik ‘nato’ dalam mendepani
kerenah murid masing-masing dengan minda yang terbuka selain mendidik mereka
agar tidak sekali-kali meminggirkan kesantunan budi bahasa. Jadilah guru yang
selalu kasih akan muridnya tanpa mendambakan sebarang balasan.
Selain itu, guru nan berwibawa perlu menerokai
pelbagai disiplin ilmu kurniaan Ilahi dengan ikhlasnya kerana yakinlah bahawa
apabila minda guru cerdas dan kuat, pengetahuan muridnya jua pasti mencapah
sekali gus Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) turut terserlah.
Kesimpulannya, peribahasa ‘leluhur ular menyusur
akar’ tidak akan hilang bisanya masih malar segar dalam ranah kehidupan
seseorang guru kini. Setiap guru mempunyai nuansa yang cukup ampuh dan nirmala
untuk menjadi guru yang bercita-cita tinggi, sekali gus menjayakan PPPM pada
abad ke-21 ini.
Wallahu a’lam
Nik Nor
Ahmarizam b Nik Ahmad
Sinar
Harian Online.
26 Mac 2015