Wednesday, September 5, 2012

Suara hati anak 17

Doa ke atas anak

Ayahandaku yang tercinta…!

Mengapakah ayahanda….apabila saya melakukan perkara yang membangkitkan kemarahanmu lantas ayahanda memanjatkan doa depada Dia yang sentiasa mendengar dan menyahut permintaan hambaNya. Lalu ayahanda mendoakan kecelakaan dan keburukan untuk saya. Ayahanda mengharapkan agar saya ditimpa sesuatu yang ayahanda tidak ingin menimpa musuh ketat ayahanda sekalipun, maka betapalah lagi dengan orang yang paling hampir dan paling dikasihi olehmu?

Rasulullah saw bersabda :

Ada tiga doa yang mustajab, tanpa diragui lagi iaitu : doa ibu bapa ke atas anaknya, doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.

                        ( Riwayat daripada Abi Hurairah dengan sanad baik )

Entahkan ada doa yang terbit daripadamu dimustajabkan oleh Allah sehingga menjadikan saya seorang yang binasa di dunia dan akhirat. Itulah kerugian yang sangat nyata.

Rasulullah saw dengan penuh rasa kasihan menyeru umat-umatnya dengan sabdanya:


Jangan doakan keburukan ke atas dirimu, jangan doakan keburukan ke atas anak-anakmu, jangan doakan keburukan ke atas khadam kamu, jangan doakan keburukan ke atas harta benda kamu di mana jika sesaat sahaja berbetulan dengan perkenan Allah maka akan dimakbulkanNya untukmu.

                                    ( Riwayat daripada Jabir )

Sudilah kiranya ayahandaku berdoa siang dan malam sama ada secara berahsia atau terang-terang, ketika suka atau duka, ketika senang atau susah, ketika rela atau terpaksa….sudilah kiranya ayahanda menadah tangan dengan mata yang berair, tubuh yang gementar, hati yang khusyuk serta lidah yang mendayu, dan katalah : Ya Allah…ketika itu Allah yang sentiasa menyahut panggilan hambaNya akan berkata : Ku sahut panggilan hai hambaKu…..Katakanlah hai ayahandaku….Wahai Tuhanku….anakku…..anakku……anakku…..(dengan doa kebaikan). Lalu Allah swt akan berkata : Aku tunaikan. Maka dengan itu disuratlah untuk saya kebahagiaan dunia dan akhirat. Itulah sebenar-benarnya kemenangan yang nyata.

Wallahu a’alam.

(Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)

No comments:

Post a Comment