Sunday, September 2, 2012

Suara hati anak 14

Bagaikan Timur dan Barat

Ayahandaku yang tercinta…!

Hati saya melonjak kegembiraan apabila dapat melaksanakan apa yang ayahanda dan bonda suruh lakukan. Lantas saya menjunjung perintah ayahanda bonda dalam segala hal yang yang tidak berunsur pendurhakaan terhadap Allah…..

Namun jiwa ini kusut dengan kehairanan. Kebingungan bertapak kukuh di dalam diri. Saya tercengang-cengang apabila mendapati keinginan ayahanda dan bonda yang saling bertentangan. Pendapat ayahanda dan bonda saling berbeza. Tutur kata ayahanda dan bonda bercelaru dan bercangahan antara satu sama lain…..

Si isteri berjalan ke arah timur dan dia berjalan ke arah barat. Sungguh jauh sekali jarak antara timur dan barat.

                        ( al-‘Atabi )

Ayahanda menyuruh saya melakukan satu perkara tetapi bonda pula menghalangnya…..Ayahanda menyuruh saya saya membuat satu pekerjaan tetapi bonda pula memberikan amaran…. Ayahanda menggalakkan saya melakukan sesuatu urusan tetapi bonda memberikan peringatan supaya tidak melakukannya……

Lantas hidup saya berada di antara timur dan barat. Sedangkan restu ayahanda diiringi dengan kemurkaan bonda dan restu bonda pula terpaksa diperolehi melalui kebencian ayahanda…..

Jadi siapakah yang sepatutnya saya memperolehi restu antara ayahanda dengan bonda? Siapa yang sepatutnya saya mengundang kemarahannya.Mengapa saya harus menyakitkan seseorang untuk membahagiakan seorang lagi?

Allah memberikan satu misal perbandingan : Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimiliki oleh seorang sahaja; adalah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (tentulah tidak sama) . Ucaplah : Alhamdulillah ( sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid).

                                                ( al-Zumar : 29 )
 
Duhai ayahandaku….janganlah jadikan saya sebagai barang rampasan dalam perbalahan atau nyalaan api kemarahan untuk pertelingkahan. Mohon kiranya ayahanda tidak membiarkan saya menjadi seperti orang tawanan terhadap segala pertelingkahan serta orang tebusan terhadap segala perbalahan.
Jadilah ayahanda berada bersama kebenaran, berpeganglah dengan kebenaran sebenar-benarnya. Sudilah kiranya mengakui akan kesilapan dan menarik balik keputusan. Baikilah segala hubungan dengan bonda. Satukanlah pendapat dan arah tujuan.

Wallahu a’alam.


(Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)

No comments:

Post a Comment