Thursday, September 6, 2012

Penutup : bicara untuk ayah...

Wahai bapa-bapa yang mulia

Dengarlah suara hati anak-anak anda. Inilah apa yang cuba disampaikan oleh anak-anak anda melalui paparan dalam risalah kecil ini, apa yang terpendam dalam lubuk jiwa mereka. Suara hati mereka berbisik-bisik menyebutkan :

Wahai orang yang memikul amanah yang besar serta tanggungjawab yang agung. Tanggungjawab itu tidak sudi ditanggung oleh langit dan bumi serta bukit bukaunya. Mereka (langit dan bumi) bimbang tidak dapat menunaikan amanah itu.

Wahai manusia yang diberikan oleh Allah swt kepada kamu akan perhiasan. Perhiasan itu tidak lain ialah sebagaimana FirmanNya :

Harta  benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

                                                (al-Kahfi : 46)

Wahai manusia yang diuji dengan fitnah, dan fitnah itu ialah :

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

                                               (al-Anfal : 28)

Wahai manusia yang diwasiatkan secara khusus, dan wasiat itu ialah :

Allah perintahkan kamu tentang (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu.

                                                (al-Nisa’ : 11)

Dan kamu diberikan amaran tentang permusuhan, iaitu permusuhan orang yang terdekat denganmu :

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada antara isteri-isteri kamu dan anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awasilah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

                                                (al-Taghabun : 14)

Wahai bapa-bapa sekalian, bertaqwalah kepada Allah tentang hal persoalan kami (anak), kami adalah jantung hatimu, zuriat dan lanjutan keturunanmu. Kami adalah anak-anak yang bakal menjadi nostalgia silam yang kabur, kebahagian masa  kini yang sedang berlalu serta harapan masa depan yang sedang menanti.

Anak-anak kita di sisi kita tidak lain ialah kepingan hati kita yang berjalan di atas bumi. Jika angin bertiup di atas sesetengah mereka, nescaya dua mata ini juga tidak dapat pejam.

                                    (Hattan bin al-Ma’la)

Didiklah kami ke arah mencintai Allah, takut dan harap kepadaNya. Didiklah kami menjaga batasan-batasanNya. Didiklah kami supaya mematuhi perintahNya dan berpegang teguh kepada agamaNya.

Didiklah kami mengikut ajaran Allah swt. Asuhlah kami dengan adab-adab mulia rasulullah saw. Asuhlah kami supaya biasa melakukan ketaatan. Ajarlah kami beribadat. Berilah kami makanan yang halal. Kami sanggup sabar, berlapar dan berdahaga, namun kami tidak sanggup bersabar terhadap api neraka.

Didiklah kami supaya hidup di dunia ini melalui kaca mata akhirat. Justeru, dapatlah kami berbekal di tempat pengembaraan ini untuk dibawa ke tempat kekal abadi, dari dunia untuk dibawa ke akhirat. Wahai bapa-bapa, jadilah kamu orang yang memimpin kami mendahului ke syurga.

Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala-pahala amal-amal mereka, tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

                                    (al-Tuur : 21)

Semoga kami akan bersama kamu di dalam syurga dalam keadaan penuh riang gembira, membenarkan janji yang pernah dijanjikan.

Akuilah kesucian Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, dari apa yang mereka katakan. Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian rasul. Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

                                    (al-Saaffat : 180-182)

Wallahu a’alam.

 (Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)

No comments:

Post a Comment