Saturday, September 22, 2012

Negaraku merdeka


Syair ini syair direka
Untuk menyambut Hari Merdeka
Tanah ini tanah pusaka
Jangan kita lalai dan leka

Dengan insaf fakir mengarang
Terasa sedih bila dikenang
Beratus tahun dijajah orang
Kerana lalai maruah hilang

Tanah air terbentang luas
Bekerja dengan tekun dan ikhlas
Jangan cuai janganlah malas
Itulah jalan orang menindas

Kalau tuan sayangkan Negara
Jangan bersengketa sesama sendiri
Ikut nasihat orang bestari
Jangan senjata menikam diri

Kisah pulau dilanggar todak
Kerana hasutan terbunuh budak
Hilanglah negeri tempat berpijak
Bila akal telah ditolak

Tun Fatimah muda bestari
Sopan santun wajah berseri
Kerana dengki dan iri hati
Bendahara terbunuh musnah negeri

Kerana Puteri Gunung Ledang
Jambatan emas sanggup direntang
Siapa mengerti siapa mengulang
Kerana nafsu negeri hilang

Kisah Melaka dialah Feringgi
Sultan terpaksa berundur diri
Janganlah sejarah berulang lagi
Negara kita tetap berdiri

Dengarlah wahai anakku sayang
Tanah ini pusaka moyang
Jangan terlepas ke tangan orang
Sedang kita miskin terbuang

Kisah Pak Kaduk kampong tergadai
Jadi pengajaran tidak ternilai
Iktibar sejarah jangan diabai
Masa menghukum orang yang lalai

Untuk mencapai wawasan murni
Bina disiplin keyakinan diri
Setia jangan berbelah bagi
Bersatu jangan berpecah lagi.


(Zurinah Hassan 2012)

No comments:

Post a Comment