Asma Ul-Husna 19
Al-Fattah ertinya Allah Maha Pemberi Keputusan atau Maha Membuka Khazanah
Rahmat sebagaimana firmanNya bermaksud:
Katakanlah (olehmu): Tuhan
kita akan menghimpunkan Kita semua (pada hari kiamat), kemudian Ia akan memberi
keputusan (yattahu) di antara kita dengan benar dan Dia Maha Pemberi Keputusan
lagi Maha Mengetahui
(Saba’:26)
Maha Memberi Keputusan dan Maha Membuka
Dalam bahasa Arab, fataha adalah
kata kerja yang bererti membuka dan miftah ertinya kunci, sedangkan fath bererti kemenangan atau penaklukan.
Fath juga bererti air yang mengalir,
bunyi gemericik atau sungai. Ia juga bererti: mendamaikan di antara dua pihak
yang saling berlawanan. Istiftah
bererti meminta pertolongan atau mencapai kemenangan.
Mengatakan bahawa Allah adalah al-Fattah bererti menyatakan bahawa Dia
adalah Zat yang memutuskan di antara orang-orang yang Dia ciptakan, para
hambaNya, yang taat mahupun yang derhaka. Ia berasal dari perkataan fath yang ertinya pengambilan keputusan.
Ia sebagaimana doa yang tersebut di dalam al-Quran:
Wahai Tuhan kami! Berilah
keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil) dan Engkaulah adalah yang
terbaik di antara para pemberi keputusan.
(Al-A’raf:89)
Ia juga bererti Zat yang memberi kemenangan sebagaimana terdapat dalam
surah al-Anfal ayat 19 bermaksud: Jika kalian menginginkan kemenangan
(intastaftihu), maka sesungguhnya kemenangan (fath) telah datang kepada kalian.
Al-Fattah adalah Zat yang membuka masalah-masalah dan isu-isu (yang
mengalami) jalan buntu, yang mendedahkan kebenaran, yang menyederhanakan apapun
yang tampaknya sukar, yang mengendalikan perkara-perkara langit dan bumi.
Oleh itu Al-Fattah adalah Zat yang membuka apa yang tertutup dan yang
mempunyai kunci atas segala sesuatu yang membuka lebar-lebar pintu-pintu rezeki
dan mencurahkan hujan di mana Dia menghidupkan kembali tanah-tanah yang tandus,
yang memberi kejayaan dan pertolongan bagi para nabiNya yang Dia utus ke
berbagai negeri sehingga cahaya kebenaran bersinar di dalamnya, yang menyucikan
jiwa-jiwa mereka dari niat-niat buruk.
Dia membuka hati-hati yang tertutup dan memenuhinya dengan cahayaNya
sehingga hati –hati tersebut menjadi damai.
Sifat manusia yang kesembilanbelas ialah membuka dan mendorong pintu-pintu
kebaikan
Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kesembilanbelas dengan
bercermin pada Asma ul-Husna ialah dengan mendorong perbuatan-perbuatan baik
dan melakukan segala unsur kebaikan untuk kemenangan dan kejayaan di dunia dan
di akhirat.
Di antara perbuatan-perbuatan baik tersebut adalah seseorang harus
memelihara sikap pandangan elok akan kemurahan Allah, secara terus menerus
berharap menerima kurniaNya, sentiasa mencari rahmatNya, meninggalkan
ketergesa-gesaan, perasaan puas dengan nasibnya dan dengan apapun yang Allah
telah perintahkan kepadanya.
Kebahagiaan adalah harta
karun yang tidak pernah tamat tempohnya, demikan sebuah peribahasa Arab. Alangkah
benarnya ungkapan itu!
Wallahu a’lam
Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan
Asma Ul-Husna,2010