Monday, March 31, 2014

Konsep tebal muka

Tip Eksekutif Cemerlang 2

Konsep tebal muka bermaksud tidak malu membuat sesuatu yang betul. Oleh itu:

v  Jangan malu sekiranya anda pekerja baru.
v  Jangan malu membuat teguran.
v  Jangan malu menyapa bos.
v  Jangan malu menunjuk ajar pelanggan.

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006


Dari Akar hingga Buahnya ( 10 )


Pelan Tindakan.........

13. Belajar bersama-sama
Rumah adalah bilik darjah pertama. Kita pelajari nilai-nilai asas dan ilmu tentang kehidupan daripada keluarga kita. Belajar ialah aktiviti kekeluargaan. Jadikalah belajar bersama-sama sebagai satu keutamaan.

Lima  idea bernas:
a) Jadikan masa makan itu mendatangkan kepuasan dan masa yang positif.
b) Hukumlah anda-anak anda secara sulit supaya tidak memalukan mereka di hadapan ahli keluarga yang lain.
c) Gantung poster-poster yang positif bagi memperkukuhkan pembinaan keperibadian.
d) Elakkan bersyarah saja tanpa menunjukkan caranya kepada keluarga anda.
e) Berkomunikasi dengan jelas. Elakkan daripada membuat andaian.

14. Membina jati diri

Jati diri anda yang sebenar apabila tiada orang yang memandang. Pengalaman, pengakuan dan panduan yang baik membantu ahli keluarga membentuk jati diri.

Lima idea bernas:
a) Membantu anak anda mengenal pasti tabiat baik dan buruk
b) Gunakan pelajaran berobjek atau senario sebenar untuk mengajar nilai kepada anak anda.
c) Jadualkan masa bersama berdua sahaja dengan setiap ahli keluarga untuk mengetahui perkembangan diri masing-masing.
d) Peka dengan anak anda melakukan perkara yang baik dan cepat-cepatlah memuji mereka.
e) Ajar anak anda tentang nilai kerja keras dan daya ketahanan dengan melibatkan mereka dalam tugas-tugas mencabar.

Wallahu alam.

Institut Integriti Malaysia
Kuala Lumpur.

Berpada-pada

Mentari tidak pernah mungkir
mengotakan siang dan malam
bersama rembulan
memantulkan ihsan
menerobosi perjalanan malam
menemani sang pungguk
yang kerinduan.

Nota-nota peribadi
yang tersimpan dalam album diri
menjadi saksi
betapa sejarah saban memeterai
sehiris kejujuran yang tercalar
oleh duri kerakusan.

Jagoan yang menyembah
pada perjuangan keikhlasan
dipatahkan lidah dan langkah
membobrokkan secebis kuasa
yang tak seberapa
tanpa mempeduli parut
di tangan atau minda
tersasar parang tumpul
atau coretan pena tua.

Berpada-pada memutar kipas sejarah
walau selaju kincir diradung taufan
kerana paksinya memegang tanah
faktanya diikat tamakninah
pasti berhenti pada noktah
yang tak mampu diubah.

Nordin Saad
Sri Tunjong, Perlis
Berita Harian
19 Januari 2014.

Munajat Ya Al-Nur

Yang Maha Pemberi dan Pemilik Cahaya
 
Ya Allah pemilik cahaya langit dan bumi
cahayaMu selalu kudambakan
supaya aku dapat menerangi
bahagian-bahagian gelap
yang ada dalam hatiku
sehingga aku dapat mengenali rasia-rahsiaMu.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011


Saturday, March 22, 2014

Senyum Sokmo

Tip Eksekutif Cemerlang 1

Ia bermaksud anda tidak menunjukkan muka yang masam ataupun tarik muka dua belas apabila dipandang orang lain. Usah dibawa masalah ke tempat kerja. Ikatlah masalah kuat-kuat dan ditinggal di tepi pintu pagar tempat kerja.

Antara rahsia menjadi seorang yang murah dengan senyuman:
v  Lupakan masalah yang ada
v  Anggap senyuman sebagai sedekah ikhlas, pasti dikurniakan pahala.
v  Wujudkan perasaan menghargai diri orang lain
v  Jadikan sifat suka senyum sebagai salam awal setiap kali berjumpa orang lain
v  Kaitkan senyuman sebagai bahasa isyarat yang berkesan.

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006

Dari Akar hingga Buahnya ( 9 )

Pelan Tindakan.........

9. Masa berkualiti bersama keluarga
Meluangkan masa bersama keluarga adalah penting. Masa yang diluangkan bersama sebagai sebuah keluarga akan membantu membina nilai-nilai yang teguh, keperibadian baik dan komunikasi yang lebih berkesan.

Lima idea bernas:
a) Makan bersama sebagai sebuah keluarga.
b) Jadualkan masa mingguan bersama
c) Bersenam bersama secara konsisten
d) Selalu bawa keluarga keluar bersiar-siar bersama
e) Cari cara baru untuk menghargai keluarga anda

10. Layani anak-anak dengan adil
Berikan ganjaran kepada anak anda bagi perkara baik yang mereka lakukan, tetapi jangan lupa membetulkan mereka apabila mereka membuat kesilapan. Pastikan anda tidak pilih kasih!

Lima idea bernas:
a) Berikan ganjaran apabila mereka mengamalkan perbuatan yang baik.
b) Jangan sesekali tangguhkan hukuman apabila mereka melakukan kesalahan.
c) Bantu anak anda membezakan antara perkara betul dan yang salah.
d) Gunakan ukuran moral yang sama bagi semua anak-anak anda.
e) Galakkan kerja berpasukan dalam diri anak anda.

11. Sayangi warga emas
Sayangi warga emas dengan menunjukkan kasih sayang, rasa hormat dan penghargaan. Berusahalah mengekalkan hubungan baik dengan mereka. Utamakan keperluan mereka!

Lima idea bernas:
a) Libatkan ahli keluarga warga emas dalam aktiviti keluarga anda.
b) Galakkan perkongsian pengalaman melalui penceritaan.
c) Didik anak anda untuk menjaga warga emas.
d) Bantu mereka denangan memenuhi keperluan mereka secara konsisten.
e) Luangkan masa bersama-sama mereka dalam kegiatan masa lapang atau kumpulan sosial kesukaan mereka.
 
12. Kemahiran keibubapaan yang baik
Keibubapaan yang baik memerlukan peranan yang aktif daripada ayah dan ibu. Mereka mesti menjadi model ikutan yakni teladan yang terbaik.

Lima idea bernas:
a) Didik anak anda cara menghormati jantina berlainan.
b) Layani pasangan anda dengan baik sebagai contoh kepada anak anda.
c) Si ayah, ajarlah anak lelaki anda cara menjadi lelaki yang budiman.
d) Si ibu, didiklah anak perempuan anda cara bersifat kewanitaan.
e) Segeralah menghentikan pertelingkahan yang tidak perlu dan tiada kesudahannya.

Wallahu alam.

Institut Integriti Malaysia
Kuala Lumpur

Kritik diri sendiri

Berani mengkritik diri sendiri
Hidup bermotivasi muhasabah diri.

Jangan jadi bangau oh bangau
Tidak sedar mulut masuk langau.

Gemar menuduh orang luar
Insaflah diri bukan main-main.

Kuman di seberang lautan nampak
Mengata orang diri yang melepak.

Gajah di depan mata tidak Nampak
Jalan terus hingga tersepak.

Betulkan segera segala kesilapan
Biar bersinar daripada kegelapan.

Cuba atasi segala kelemahan
Biar terhindar daripada tohmahan.

Cuba tangani segala kekurangan
Pertahankan diri daripada serangan.

Cuba baiki segala kesalahan
Biar muafakat daripada perbalahan.

Kritiklah diri untuk membina
Bukan mengutuk atau menghina.

Ada kelebihan ada kekurangan
Yang penting ke arah kecemerlangan.
 
Biar sendiri yang mengata
Daripada orang yang bercerita.

Cermin diri keunggulan peribadi
Sopan santun beramal berbudi.

Jika tersilap mengaku salah
Minta maaf biar beralah.

Tidak riak angkuh bangga
Orang lain pasti rasa lega.

Biar kita merendah diri
Orang lain tidak akan lari.

Jangan asyik bercerita diri sendiri
Orang dengar benci pandang kiri.

Jangan cepat kecil hati
Tegur nasihat tanda simpati.

Jangan melatah jangan marah
Senyum sahaja jangan naik darah.

Jangan pentingkan diri sendiri
Kurangkan minta banyakkan beri.

Biar ikut resmi padi
Semakin bertakwa terus berbudi.

Biar ikut resmi sena
Semakin rendang semakin berguna.

Biar kita menyesal dahulu
Jangan dikesal perkara berlalu.

Jangan sampai menyesal kemudian
Terbakar diri bagaikan dian.

Orang marah tandanya sayang
Sabar tabah jangan lupa sembahyang.

Jangan sampai lemah semangat
Dugaan hidup hendaklah beringat.

Kawal diri jagalah perasaan
Jangan megah dengan kekuasaan.

Hendaklah bersyukur dan bertakwa
Suratan takdir jangan kecewa.

Rela mengkritik diri sendiri
Teguhkan azam hidup berdikari.

Jangan bimbang apabila dikritik
Hendaklah tenang setiap detik.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

Munajat Ya Al-Nafi’


Yang Maha Pemberi Manfaat

Wahai Allah
Sekiranya aku disuruh memilih
antara takut ataupun berani,
aku memilih menjadi berani
kerana aku memilih menjadi berani
sudilah kiranya Engkau jadikan aku
sebagai saranaMu
melayarkan bahtera kemajuan manusia
menuju pantai kebahagiaan dan kedamaian
selama pelayaran panjang itu
apabila Engkau datangkan ombak dan badai
yang menghempas bahteraku
berikanlah ilham padaku
supaya menjadikan semua itu
sebagai pemacu mempercepatkan pelayaran.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Monday, March 17, 2014

Dari Akar hingga Buahnya ( 8 )


Pelan Tindakan.........

5. Kejujuran dan ketelusan
Akui kesalahan anda jika anda melakukan kesalahan. Berselindung daripada kebenaran akan mengakibatkan lagi masalah dan menyukarkan hubungan. Kejujuran membolehkan orang lain mempercayai anda:

Lima idea bernas:
a) Sentiasa bercakap benar
b) Jangan menabur janji. Jadilah seorang yang realisti!
c) Kurangkan bercakap, lebihkan tindakan. Tindakan lebih berkesan.
d) Bertanggungjawablah pada tindakan anda.
e) Jangan sesekali menyebarkan khabar angin.

6. Kebolehpercayaan
Individu yang bertanggungjawab ialah individu yang boleh dipercayai. Sejauh manakah sikap bertanggungjawab anda dalam cara anda menguruskan tugas, mengawal perasaan dan ketika berurusan dengan orang lain?

Lima idea bernas:
a) Tulis semua tugas atau kerja yang perlu disiapkan dan lakukannya dengan sistematik.
b) Hadir tepat pada waktu ataupun lebih awal bagi sesuatu janji temu.
c) Elakkan daripada bertindak mengikut perasaan apabila berurusan dengan orang lain.
d) Berhati-hati sewaktu menguruskan maklumat sulit. Kurangkan bercakap, banyakkan mendengar.
e) Jadilah seorang yang boleh diharap. Sentiasalah tepati janji anda!

7. Kebijaksanaan dan keadilan
Kebijaksanaan akan membantu anda membuat penilaian dalam semua hal. Kebijaksanaan dan kewajaran membolehkan anda membuat keputusan yang objektif dan adil.

Lima ide bernas:
a) Cubalah memahami selain difahami.
b) Dengarlah cerita daripada kedua-dua pihak.
c) Elakkan spekulasi dan terus sahaja membuat kesimpulan.
d) Fikir dua kali sebelum bercakap.
e) Elakkan membuat keputusan mengikut gerak hati.

8. Rasa penghargaan.
Berapa kerapkah anda meluahkan rasa penghargaan anda? Menunjukkan rasa terima kasih menggambarkan penghargaan yang ikhlas kepada orang lain. Kita mengukuhkan lagi hubungan dengan mengucapkan Terima Kasih.

Lima idea bernas:
a) Buat senarai nama orang yang anda patut kerap ucapkan terima kasih.
b) Fikirkan cara-cara yang kreatif untuk menunjukkan rasa terima kasih.
c) Amalkan mengucapkan terima kasih kepada orang di mana-mana jua.
d) Tetapkan pujian anda.
e) Tunjukkan rasa penghargaan setulus hati. Manuisia sukakan keikhlasan.

Wallahu alam.

Institut Integriti Malaysia
Kuala Lumpur.

Inventori kemahiran coaching

1. Bahasa badan yang bersesuaian
     1.1 kedudukan tubuh yang sesuai
     1.2 hubungan mata yang sesuai
     1.3 isyarat-isyarat untuk beri peneguhan dan pengesahan
     1.4 keterbukaan dan positif, tidak mengancam, tidak mengugut
     1.5 mirroring
     1.6 gaya badan yang menunjukkan anda berminat
 
2. Pertanyaan & kefahaman
    2.1 menggunakan soalan terbukaa – bagaimana? mengapa?
    2.2 soalan berbentuk mencungkil – berapa banyak? berapa kerap?
    2.3 tidak menggunakan soalan tertutup & soalan menjurus kepada jawapan
    2.4 mula dengan soalan meneroka dan ingin tahu
    2.5 soalan yang berfokus
    2.6 gunakan soalan untuk menguji, menyemak dan minta penjelasan.

3. Mendengar untuk mendapatkan sesuatu maksud
    3.1 memupuk hubungan yang positif
    3.2 peka dengan apa yang dianggap penting oleh coachee
    3.3 ambil kira apa yang tidak disebut oleh coachee / yang tidak konsisten
    3.4 buat rumusan ringkas – gunakan perkataan dari coachee
    3.5 beri peluang secukupnya kepada coachee yang diam kerana berfikir.

4. Memberi maklumbalas
    4.1 spesifik dan berfokus berdasarkan data
    4.2 pemahaman yang berterusan
    4.3 memeriksa perasaan dan emosi
    4.4 meringkas dan merumus
    4.5 membina dan menjelaskan
    4.6 memberi ruang untuk maklum balas berterusan
5. Komunikasi
    5.1 mengguna bahasa yang jelas dan tepat
    5.2 perbendaharaan kata yang sesuai
    5.3 buat pengesahan / kepastian dan membuat penjelasan
6. Pengurusan sesi coaching yang berstruktur
    6.1 bersetuju dengan agenda
    6.2 mengurus masa
    6.3 mencapai persetujuan bersama
    6.4 sentiasa berfokus

7. Kualiti individu (personel)
    7.1 ada unsur humor
    7.2 empati dan bina hubungan mesra / jelekit (rapport)
    7.3 tidak menghukum
    7.4 memberi perhatian dan menyokong
    7.5 jujur
    7.6 bersemangat mendorong
    7.7 optimis

Wallahu alam.

Wakaf minda Dr Robiah K. Hamzah

Jika ada yang beritahu nak datang jumpa, saya terus menadah tangan minta bantuan Allah SWT. Itu paling mudah kerana saya tidak tahu apa masalah mereka. Apabila dia pilih kita, maknanya Allah pilih kita, kata pakar motivasi dan kauseling berasaskan tuntutan agama, Dr Robiah K Hamzah.

Baginya, mereka yang meminta bantuan perlu dibantu dan beliau sudah sedaya upaya menurunkan ilmu yang dipelajarinya dalam bentuk memberi nasihat serta panduan kepada mereka yang memerlukan.Walaupun perkhidmatan yang diberikannya ada kos, tetapi ia bukan syarat utama kerana bagi Robiah, pihak yang mengharapkan bantuan perlu dibantu bagi menangani masalah yang di hadapi. Tidak hairanlah, ada antara mereka yang berhutang dengannya bertahun-tahun.

Jika yang tiada duit tidak dibantu, bagaimana pula dia hendak mencari duit apabila masalahnya tidak selesai, katanya.

Merendah diri
Ternyata ciri-ciri seorang kaunselor dan pakar motivasi terserlah daripada  sikapnya yang mudah mesra melayan setiap soalan diajukan. Malah, wajah yang sering menghiasi skrin televisyen dan dijemput sebagai ahli panel pada majlis forum atau seminar itu, sentiasa merendah diri.

Ditanya apakah faktor yang mendorong beliau untuk mengamalkan sikap tangan terbuka kepada mereka yang mengharapkan nasihat serta tunjuk ajar, Robiah berkata, sebagai anak orang susah, beliau tidak menunggu menjadi kaya untuk memberi kepada orang lain. Kesusahan lalu menjadi pendorong kepadanya untuk melihat perubahan dan menampal apa yang kurang walaupun hanya dengan satu ayat. Justeru, hingga kini beliau mengekalkan klinik kaunseling, menulis di majalah, menjadi penceramah dan jurulatih.

Pejabat di rumah
Walaupun menguruskan syarikat kecil yang beroperasi di rumah, beliau tetap bahagia. Malah, keadaan itu membolehkan beliau bertemu dengan mereka yang mempunyai kelapangan selepas waktu pejabat atau pada hujung minggu.

Walaupun sudah bersara daripada perkhidmatan tetapi saya tidak perlu bersara dalam memberi. Selain didikan emak, saya banyak menimba pengalaman dalam pelbagai bidang. Allah memberi saya kesempatan hingga ke peringkat antarabangsa.Diharap usaha ini dinilai sebagai ibadah untuk bekalan pulang nanti. Saya tak banyak duit dan nak wakaf harta pun tak mampu, jadi saya wakafkan minda, umur dan masa lapang sebagai saham akhirat.

Pada saya apabila kita memberi kerana Allah, kita akan rasa kebahagiaannya, katanya yang pernah menjadi Pengerusi Biro Wanita Majlis Belia Malaysia dan Exco Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Bekerja lebih keras
Robiah berkata, beliau tidak melihat cabaran sebagai sesuatu yang memberatkan, sebaliknya ia menjadi pendorong kepadanya untuk bekerja lebih keras. Hasil didikan ibu yang gigih membesarkan anak selepas kematian bapa ketika usianya 10 tahun, beliau sudah melatih diri untuk melihat setiap kekurangan dari sudut positif dan sebagai anak yatim, status itu bukan penghalang untuk berjaya.

Beliau juga mengambil pendirian untuk tidak menoleh ke belakang terlalu kerap, sebaliknya sentiasa berusaha untuk maju dan menilai diri bukan dari kaca mata manusia tetapi mengharapkan kedudukan baik di sisi Allah.

Ilmu penting
Sifat emak yang gigih berjangkit dengan saya. Bagaimana susah pun kami, emak tetap mementingkan ilmu kerana kata emak jika ada ilmu kita akan laku di mana-mana. Cantik tidak ke mana jika tidak ada ilmu. Di mata manusia yang susah tetap susah, di kaca mata Allah, jika susah Allah akan bagi ruang, Allah tidak pernah tak adil dan saya melihat sepanjang pengalaman hidup ini tidak ada yang tak manis. Jadi, jika ada pahit jangan tukar sebab Allah bagi pahit untuk ditukar jadi manis, katanya. Pastinya, idola Robiah ialah junjungan besar rasulullah saw sementara pendorong kuat adalah ibunya, orang yang bertanggungjawab memperkenalkan rasulullah kepadanya dengan cara tersendiri.

Malah, banyak kisah hidupnya dikaitkan ibunya dengan sejarah rasulullah menjadikan beliau berasakan begitu dekat dengan baginda. Kata-kata azimat sering digunakan ibunya ialah jadi baik dulu baru jadi pandai.

Beberapa kali mengulangi bahawa dirinya tidak sehebat mana, Robiah tetap bersyukur dengan keyakinan diberikan kepadanya oleh pihak yang menginginkan pandangan serta khidmat nasihat daripadanya. Tidak lekang hilai ketawa sepanjang perbualan, mungkin itulah resipi beliau kekal positif kerana dapat selarikan otak, perasaan serta perbuatan. Baginya, sentiasa berjumpa orang pandai dan hebat dapat menjadikan kita seperti mereka.

Wallahu alam.

Hasliza Hassan
Berita Harian,
16 Mac 2014

Munajat Ya Al-Dharr

Yang Maha Pemberi Bahaya

Wahai Allah di tanganMu terdapat kemudaratan
jadikanlah aku reda menerima apa pun
yang kau tetapkan pada hakikatnya,
kemudaratan itu adalah kaedah bagiMu
memulihkan bahagian-bahagian diriku
yang berpenyakit.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna

Sulaiman Alkumayi;2011

Sunday, March 16, 2014

Jalan-jalan


Jalan-jalan cari rezeki
Selagi usia masih berbaki.

Jalan-jalan cari rezeki
Gerakkan tangan langkahkan kaki.

Jalan-jalan cari peluang
Ada masa jangan dibuang.

Jalan-jalan cari makan
Jangan lupa sayur dan ikan.
 
Jalan-jalan cari duit
Hendaklah sabar walaupun menguit.

Jalan-jalan cari wang
Tetapkan fikiran jangan merewang.

Jalan-jalan cari ilmu
Banyak pengetahuan akan ditemu.

Jalan-jalan cari ilham
Hidayah Tuhan mudah faham.

Jalan-jalan cari inspirasi
Pengalaman hidup sumber motivasi.

Jalan-jalan cari kawan
Jangan sampai jadi lawan.

Jalan-jalan cari buku
Rajin membaca hendaklah teku.

Jalan-jalan cari majalah
Jangan cuba cari masalah.

Jalan-jalan cari suratkhabar
Jumpa kawan bertanya khabar.

Jalan-jalan sambil bersenaman
Wajah ceria murahkan senyuman.

Jalan-jalan tepi pantai
Bermain ombak sambil bersantai.

Jalan-jalan tepi tasik
Bergurau senda usik-mengusik.

Jalan-jalan ke perpustakaan
Buat rujukan tanpa kelekaan,

Jalan-jalan makan angin
Ada wang ke mana sahaja teringin.

Jalan-jalan cari pengalaman
Jadi kenangan sepanjang zaman.

Jalan-jalan lihat pemandangan
Beroleh ketenangan luas pandangan.

Jalan-jalan tengok orang
Ada yang lebih ada yang kurang.

Jalan-jalan tengok sekitar
Carei pengalaman jangan gentar.

Jalan-jalan cari peluh
Badan sihat jangan mengeluh.

Jalan-jalan tengok pokok
Lebih baik daripada merokok.

Jalan-jalan tengok burung
Jika di rumah asyik berkurung.

Jalan-jalan cari buah
Ada harga diri jaga maruah.

Jalan-jalan tengok bunga
Jangan sampai tersanga-sanga.

Jalan-jalan cari tandas
Awas terutama makanan pedas.

Jalan-jalan balik kampung
Bawa buah tangan jangan lopong.

Jalan-jalan keliling bandar
Pembangunan pesat tanpa sedar.

Jalan-jalan keliling taman
Suasana tenteram udara nyaman.

Jalan-jalan cari jalan
Jangan sampai sesat jalan.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

Munajat Al-Mani’

Yang Maha Mencegah

Ya Allah
aku ingin mengucapkan terima kasih
atas kegagalan yang pernah kualami dulu,
aku menyangka apa yang aku inginkan
itulah yang terbaik bagiku
itulah penjamin masa depanku
ketika kau gagalkan keinginanku itu
betapa kecewanya aku
hancur sudah masa depanku
 kini baru kutahu rahsia kegagalan itu
ternyata Engkau menyediakan diriku
menjadi manusia lain
yang sesuai dengan kehendakMu
 perlahan-lahan Kau bukakan
jendela harapan di depan mataku
hingga sangat jelas kulihat
di sana aku duduk
penuh kebahagiaan dan kedamaian.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Wednesday, March 12, 2014

Hala Tuju Pengurusan Pendidikan 2014


KPM telah menggariskan dua hala tuju iaitu pemantapan pelaksanaan dan tindakan yang pantas. Pemantapan pelaksanaan dapat dicapai dengan kaedah Strong Implementation iaitu berdasarkan kepada pemantauan yang berfokus, elemen kawalan serta membezakan pencapaian semasa dengan apa yang disasarkan. Halatuju bagi tindakan yang pantas iaitu menggunakan perkembangan semasa atau terkini seperti ICT dalam melaksanakan tugas pelaporan sesuatu isu dan masalah dapat dikemukakan dengan segera melalui pelaksanaan program turun padang.


Wallahu alam.

Dari Akar hingga Buahnya ( 7 )

Pelan Tindakan

1. Mengenali Maha Pencipta
Didikan agama dapat menanamkan nilai terpuji dalam diri kita. Ketakwaan, tanpa mengira agama, merupakan benih utama integriti dalam diri kita. Kenali Tuhan.

Lima idea bernas:
a) Kenal pasti nilai-nilai ketakwaan setiap hari.
b) Buat satu senarai semak amalan.
c) Menghayati nilai-nilai dan menjadi teladan kepada orang lain.
d) Menjadikan nilai-nilai mulia anda sebagai matlamat hidup.
e) Bersembahyang setiap hari.

2. Menyemai nilai-nilai murni
Nilai-nilai luhur tidak ternilai harganya namun begitu, ia percuma. Ia mudah dicari, tetapi sukar untuk diamalkan! Nilai-nilai luhur akan mengubah gaya hidup demi kebaikan jika kita memilih untuk mengamalkannya.

Lima idea bernas:
a) Kenal pasti nilai-nilai dan mesej negatif yang diterima setiap hari.
b) Senaraikan cara untuk menapis keluar nilai-nilai dan mesej yang lemah itu.
c) Jadikan seseorang dalam hidup anda, yang mengamalkan integriti, sebagai teladan.
d) Lakukan sesuatu perkara yang baik buat seseorang seminggu sekali.
e) Menilai tabiat dan etika kerja anda.

3. Disiplin diri
Disiplin bernada keras, tetapi hasil daripadanya membahagiakan. Ia membolehkan anda menikmati kehidupan berpanduan dalam kesederhanaan.

Lima idea bernas:
a) Rancang matlamat harian, mingguan dan bulanan anda.
b) Jaga diet anda, Elakan memakan makanan ringan berlebihan.
c) Bangunkan kod etika anda sendiri.
d) Menilai keputusan anda. Katakan TIDAK bila bersesuaian.
e) Simpan rekod perbelanjaan harian anda.

4. Sikap tidak mementingkan diri
Meletakkan keperluan orang dahulu sebelum keperluan diri sendiri merupakan tanda sikap tidak mementingkan diri. Apabila setiap warganegara memilih untuk hidup tanpa mementingkan diri sendiri, amalan hormat menghormati dan sikap mengambil berat yang ikhlas akan bertambah.

Lima idea bernas:
a) Tawarkan tempat duduk anda kepada merka yang lebih memerlukan.
b) Jadilah orang pertama yang memberi jalan kepada orang lain seweaktu kesesakan atau berbaris.
c) Luangkan masa demi orang lain.
d) Tawarkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan.
e) Jangan gunakan orang lain untuk membina kekayaan. Gunakan kekayaan untuk membina orang lain.

Wallahu alam.

Institut Integriti Malaysia
Kuala Lumpur

Munajat Ya Al-Mughni


Yang Maha Pemberi Kekayaan

Ya Allah yang Maha Kaya
lagi Maha menganugerahkan Kekayaan
kayakanlah aku dengan keperluan padaMu  
jangan Engkau miskinkan aku
dengan ketiadaan keperluan kepadaMu

Ya Allah, jadikanlah aku berasa cukup
dengan apa yang Engkau halalkan
dan jauhkan aku daripada apa
yang Engkau haramkan.
Jadikanlah aku taat padaMu
dan jauhkanlah aku daripada derhaka padaMu.
Kayakanlah aku dengan anugerahMu
sehingga aku tidak memerlukan selainMu.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Tuesday, March 11, 2014

Dari Akar hingga Buahnya ( 6 )

Mengapa saya harus menitikberatkan integriti?

Intergriti melibatkan saya dan anda. Pilihan yang kita lakukan mencerminkan peribadi dan nilai diri kita. Pilihan yang yang kita buat akan memperkuatkan ataupun memusnahkan integriti.

Keputusan yang diambil tanpa integriti mendatangkan akibat yang buruk. Secara keseluruhannya, kita berkemungkinan besar akan melukai diri kita sendiri dan orang lain jika kita gagal melakukan perkara yang betul atau melakukannya dengan salah.

Bagaimana untuk memelihara pohon integriti saya?

Kita boleh memelihara integriti sama seperti kita memelihara pokok hidup:

a) Menanamnya
Setiap orang boleh menanamkan integriti dalam hidup mereka. Langkah pertama, tanamkan benih integriti. Buku kecil ini merupakan satu bentuk benih integriti. Benih integriti secara ringkasnya merujuk keinginan untuk hidup luhur yakni dengan integriti. Tiada buku yang boleh mengajar kita tentang keinginan hidup berintegriti. Ia harus timbul dari dalam diri kita sendiri.Adakah kita berkeinginan untuk melakukan perkara yang betul kepada diri sendiri dan orang lain?

b) Mengairinya
Mengairi integriti umpama membekalkan khasiat kepada diri kita dengan nutrien yang cepat. Kita perlu menyerap nilai-nilai murni, prinsip-prinsip yang bijak, kepercayaan dan keyakinan agama. Kita mesti tahu menilai baik dan buruk. Makanan berkhasiat membantu kita membesar dengan sihat dan cergas. Apakah diet integriti anda sekarang? Adakah anda perlu mengubahnya?

c) Berikannya sinar matahari
Proses tumbesaran tumbuhan tidak lengkap tanpa pendedahan pada cahaya matahari.Kita perlu mendedahkan diri pada unsur-unsur yang dapat meningkatkan integriti. Pupuklah persekitaran dengan amalan kejujuran, kebolehpercayaan, kebijaksanaan, keadilan, ketelusan dan kesyukuran. Adakah persekitaran anda mesra integriti?

d) Mencantas
Mencantas  dapat membantu membentuk pokok yang kuat, sihat dan menarik. Kita dibentuk oleh set pengalaman kita. Kita belajar melalui kejayaan dan kegagalan kita. Lebih kerap kita mengamalkan integriti, lebih banyaklah yang kita pelajari untuk mencapai kecemerlangan. Adakah anda lihat diri anda sebagai masih dalam proses pembentukan? Bagaimana reaksi anda terhadap kegagalan?

Pokok yang baik menghasilkan buah yang baik. Insan yang hidup berintegriti menghasilkan buah yang baik dalam semua aspek kehidupan mereka.

Wallahu alam.

Institut Integriti Malaysia
Kuala Lumpur.

Munajat Ya Al-Ghaniyy


Yang Maha Kaya

Wahai Allah, Yang Maha Kaya
Engkau mengkayakan
dan mencukupkan siapa yang Kau hendaki
jika aku dapat memilih,
jadikanlah aku orang kaya dengan kekayaan itu
aku dapat semakin dekat padaMu.
Dengan kekayaan itu aku dapat membebaskan
orang-orang miskin dari kemiskinannya,
menyekolahkan anak-anak yatim
yang ditinggal ayah tanpa wang sedikit pun.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011


Ya Allah, sesungguhnya yang di langit dan di bumi ini milikMu....apa yang berlaku adalah ketentuanMu....kami mohon kasih sayangMu Ya Rabb....berikanlah kekuatan, kekal tabah dan cekal mengharungi musibah  yang menimpa MH370  kepada semua ahli keluarga dan penumpang serta krew pesawat. Mudah usaha mengesan dan menyelamatkan. Berikan sebarang tanda ya Allah. Hanya padaMu kami  menyerah dan mohon pertolongan. Allahumma Ya Aameen.

Sunday, March 9, 2014

Dari Akar hingga Buahnya ( 5 )

Rumpai Integriti

Bagaimana rupa keadaan tanpa integriti?

a) Penyalahgunaan kuasa
Integriti hilang apabila manusia menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan diri sendiri. Ia boleh dilihat apabila rasuah diberi dan juga diterima, apabila tuntutan yang menyalahi undang-undang dilakukan dan apabila nilai dan prinsip diketepikan dalam proses membuat keputusan.

b) Sistem yang lemah
Integriti hilang apabila pembekal perkhidmatan dan perniagaan tidak menitikberatkan kesejahteraan para pengguna sebaliknya bekerja bagi keuntungan mereka sendiri. Hal ini melemahkan sistem yang disediakan untuk memberikan manfaat kepada manusia. Bas-bas yang terlalu sesak, barisan beratur yang terlalu panjang dan masa menunggu terlalu lama merupakan tanda-tanda kelemaha.

c) Etika yang buruk
Integriti hilang apabila individu tidak mahu bertanggungjawab atas tindakannya. Malah, mereka meletakkan tanggungjawab itu kepada orang lain. Sifat malas, acuh tak acuh dan mementingkan diri sendiri akan menghalang pembentukan keperibadian dan produktiviti individu.

d) Kurangnya keprihatinan
Integriti hilang apabila warganegara tidak mengambil berat akan orang lain. Kegagalan seperti ini berlaku apabila peraturan tidak dipatuhi dan budi bicara dicampak begitu sahaja. Sikap pentingkan diri sendiri mengurangkan sensitiviti kita terhadap orang lain.

Wallahu alam.

Institut Integriti Malaysia
Kuala Lumpur