Sunday, November 29, 2015

Pelajaran 29

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata Allah Ta’ala: Hai anak Adam, betapa kamu dakwakan akan dunia itu fana’ dan nikmat dunia hilang dan hidup dunia itu putus.

Maka bahawasanya segala mereka itu yang berbuat taat akan Allah Ta’ala thabit di dalam syurga dan masuk mereka itu daripada segala pintu yang delapan. Pada tiap-tiap syurga itu seribu lapis dan pada tiap-tiap satu lapis itu tujuh puluh ribu mahligai daripada jenis mutiara. Dan pada tiap-tiap satu mahligai itu tujuh puluh ribu kampung daripada jenis permata. Dan pada tiap-tiap satu kampung itu tujuh puluh ribu rumah daripada emas yang merah. Dan pada tiap-tiap satu rumah tujuh puluh ribu mahligai daripada perak yang putih. Dan pada tiap-tiap satu mahligai itu tujuh puluh ribu hidangan daripada ambar. Dan pada tiap-tiap satu hidangan itu tujuh puluh ribu pinggan daripada jauhar. Dan pada tiap-tiap satu pinggan itu tujuh puluh ribu bagai daripada makanan. Dan pada tiap-tiap satu makanan itu tujuh puluh ribu daripada rasanya.

Dan demikian lagi mahligai itu tujuh puluh ribu peratus, yakni katil daripada emas yang amat merah. Dan pada tiap-tiap satu peratus itu tujuh puluh ribu hamparan daripada sutera yang halus dan istibrak dan dhibaj pada keliling tiap-tiap peratus itu tujuh puluh ribu sungai daripada air hayat dan daripada air susu dan daripada arak dan air madu yang hening dan pada sama tengah sungai itu tujuh puluh ribu pohon kayu daripada buah-buahan.

Dan pada tiap-tiap satu rumah itu tujuh puluh ribu khemah daripada jenis Arjun namanya. Dan atas tiap-tiap satu hamparan itu beberapa anak bidadari yang indah-indah. Dan pada hadapannya itu tujuh puluh ribu cawan yang putih yang terhufam (berkilat). Dan di atas kepala tiap-tiap mahligai itu tujuh puluh ribu qubbah. Dan pada tiap-tiap satu qubbah itu tujuh puluh ribu hadiah daripada Tuhan yang bernama Rahman. Dan thabit di dalam qubbah itu beberapa yang indah-indah yang tiada pernah dilihat oleh mata dan tiada pernah didengar  oleh telinga dan tiada pernah tergerak pada hati manusia. Dan beberapa buah-buahan daripada yang indah-indah rasanya, dan beberapa daging unggas daripada yang mengingin oleh mereka itu dan beberapa anak bidadari yang seperti intan terhufam (berkilat) lagi yang dihias dengan segala pakaian yang indah-indah adalah sekalian yang demikian itu balas amal mereka itu yang adalah mereka itu berbuat mereka itu di dalam dunia, tiada mati mereka itu di dalam syurga selama-lamanya, dan tiada tua mereka itu, dan tiada lemah, dan tiada susah mereka itu, dan tiada gundah mereka itu di dalamnya, dan tiada puasa mereka itu,  dan tiada sembahyang mereka itu, dan tiada sakit mereka itu, dan tiada berkemah (berkencing) mereka itu, dan tiada bertaruh (buang air besar) mereka itu, dan tiada keluar mereka itu daripada syurga selama-lamanya.

Maka barangsiapa menuntutkan ia akan syurga nescaya mengingat akan kemuliaanKu dan kemurahanKu dan menghampir akan dirinya kepada Aku dengan benar dan dengan menghinakan  dunia dan memadai dengan sedikit.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Lagi mengenai keluarga bahagia

Esei 86

Wujudkan keluarga bahagia menerusi:
a) Kesucian keluarga : Keluarga adalah entiti sosial tertua di dunia.Tokoh usahawan Lee Iacocca mengakui; Saya telah mendapat sebuah kerjaya yang baik dan berjaya tetapi jika dibandingkan dengan keluarga saya, ia sebenarnya tidak bererti sama sekali.
b) Lihatlah kebaikan dalam wajah-wajah orang tersayang: Jangan sekali-kali bersikap mudah terhadap mereka, perlengkapkan diri mereka dan didiklah mereka. Jangan lekas melatah.
c) Tanggungjawab-tanggungjawab bersama: Beban kerja yang dikongsi akan menjadi ringan. Anak-anak lebih bertanggongjawab memahami tugas dan peranan masing-masing.Charles Kettering menulis: Mereka yang membesar melalui cara yang sukar biasanya akan cuba menghasilkan benda-benda yang lebih mudah dan sebaik mungkin untuk anak-anak mereka kelak.
c) Komitmen antara satu sama lain
d) Berkuasa, dengan memahami anak-anak sebaik-baiknya
e) Berkongsi hal-hal kewangan secara realistik
f)Memikul tanggungjawab bersama
g)Persekitaran yang indah, harmoni dan kemajuan.
h)Perubahan dan pertumbuhan: Berubahlah kerana dunia sendiri berubah. Berubahlah ke arah yang lebih baik.

Sebuah keluarga yang bahagia adalah seumpama sebuah syurga yang diberi lebih awal.
Sir J Bowring

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Perahu kecil dan pendayung itu

Perahu kecil
berkolek di air tenang
menyusun sungai hayat
setiap kali
riak-riak usia
mula berkocak
dan pendayung itu
semakin gelisah
duduk di atasnya
sambil mengayuh
mencari tebing abadi

Perahu kecil dan pendayung itu
sarat membawa hasil amalan
yang mengimbangi
antara pasang dan surut takwa
untuk menentukan arus
mana yang harus diikuti
sehingga berlabuh di teluk takdir.

Shamsul Idzam Jamil
Kuching
BH, 22 Nov 2015

Qosidah al-Muhammadiah (3)

11. Nabi Muhammad saw itu penghulu yang hebat perjalanan hidupnya. Nabi Muhammad saw itu dijadikan Allah yang Maha Pemurah dengan segala hikmat.

12. Nabi Muhammad saw itu makhluk pilihan dari kalangan makhluk dan yang sebaik-baiknya. Nabi Muhammad saw itu suci dari segala tohmahan.

13. Nabi Muhammad saw itu menyukai para tetamu kerana memuliakannya. Nabi Muhammad saw itu kekasih Allah dan Allah tidak pernah menzalimi.

14. Nabi Muhammad saw itu menjadi keindahan dunia dengan perutusannya. Nabi Muhammad saw itu datang dengan mukjizat dan hikmah-hikmah.

15. Nabi Muhammad saw itu pada hari dibangkitkan manusia nanti menjadi pemberi syafa’at kepada kita. Nabi Muhammad saw itu cahayanya menunjuki dari kegelapan.

16. Nabi Muhammad saw itu membawa risalah Allah, yang punyai keazaman yang kuat. Nabi Muhammad saw itu penutup kepada para rasul sekaliannya.

Qosidah Al-Burdah
Ahmad Lutfi b Abdul Wahab al Linggi
2009

Saturday, November 28, 2015

Pelajaran 28

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata Allah Ta’ala: Hai anak Adam, derhaka kamu akan daku padahal engkau gundah daripada hangat matahari.

Bermula neraka jahanam itu thabit baginya tujuh pangkat. Pada tiap-tiap suatu pangkat daripadanya tujuh  puluh ribu kampung daripada api, dan pada tiap-tiap kampung itu tujuh puluh ribu rumah daripada api, dan pada tiap-tiap satu rumah itu tujuh puluh ribu peti daripada api, dan atas tiap-tiap satu peti itu tujuh puluh ribu pohon kayu daripada zaqqum dan di bawah tiap-tiap pohon kayu itu tujuh puluh ribu rantai daripada api, serta tiap-tiap suatu rantai itu tujuh puluh ribu malaikat daripada api neraka dan tujuh puluh ribu ular daripada api neraka.

Bermula panjang tiap-tiap satu ular itu tujuh puluh ribu hasta, pada rongga tiap-tiap satu ular itu tujuh puluh ribu laut daripada racun yang amat bisa, dan pada tiap-tiap satu laut itu tujuh puluh ribu kala dan pada tiap-tiap satu kala itu tujuh puluh ribu harimau.

Bermula panjang tiap-tiap harimau itu tujuh puluh ribu hasta, dan pada tiap-tiap satu harimau itu tujuh puluh ribu rithlun (rantai) daripada racun yang amat bisa, maka qiyas olehmu.

Aku bersumpah demi bukit Thur dan kitab yang dibicarakan dalam daun yang berhambur, dan demi Baitil-Ma’mur yang dari langit yang tinggi dengan tiada tiang, dan demi atapnya yang tinggi dan demi laut yang mendidih.

Hai anak Adam, tiada Aku jadikan neraka melainkan bagi segala kafir dan bagi segala yang mengadu-ngadu dan bagi segala yang derhaka akan dua ibu-bapanya, dan bagi segala orang yang memperlihatkan amalnya bagi orang yang lain dan bagi orang yang menahan zakat daripada hartanya dan bagi orang yang berbuat zina, dan bagi orang yang makan riba’, dan bagi orang yang minum arak dan bagi orang yang menganiayai anak yatim dan bagi orang yang mengumpat-ngumpat dan bagi orang yang menipu orang dan bagi perempuan yang berbiji sabak (meratap), dan bagi tiap orang yang fasiq yang menyakit ia akan orang sekampung melainkan orang yang taubat ia daripada segala dosa dan percaya akan Allah Ta’ala dan akan rasulNya dan berbuat ia akan amal soleh, maka mereka itu mengganti oleh Allah Ta’ala akan kejahatan mereka itu dengan kebajikan padahal adalah Allah Ta’ala itu Amat Mengampun lagi Amat Mengasih, maka kasihkan oleh kamu akan diri kamu.

Hai hambaKu bahawasanya badanmu itu amat dhaif dan safarmu itu amat jauh dan tanggunganmu itu amat berat dan titi Sirathal Mustaqim itu amat seni-seni (halus) dan yang meniup sangkakala itu Israfil, dan yang menerima amal itu melihat dan qadhi itu Rabbun Jalil yakni yang menghukumkan itu Tuhan yang Amat Qahhar.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Rumah yang penuh dengan kasih sayang dan keceriaan

Esei 85

Proses membesar, memulakan sebuah keluarga dan memanfaatkan kehidupan adalah sesuatu yang menyeronokkan, Kita melalui empat tahap dalam proses ini; mempercayai kewujudan sesuatu, berhenti mempercayainya, kita sendiri menjadinya akhirnya menyerupai semacamnya. Tidak kira di peringkat mana, rumah adalah tempat sentiasa berada di hati kita.Ia adalah teras kewujudan dan tapak pelancar ke arah kejayaan. Rumah dibuat dengan dinding-dinding dan galang-galang tetapi sebuah kediaman terdiri dengan cinta dan impian-impian!

Ianya menuntut beberapa perkara, antaranya:
a) Kesedaran moral yang berkuasa; iaitu tahu apa yang betul dan salah.
b) Cinta; jadilah seorang yang peka dan bertimbang rasa
c) Berkongsikan nilai-nilai, kegemaran, matlamat dan prestasi
d) Masa untuk besama-sama; ingatlah cinta dan masa adalah dua benda percuma sama ada di dunia atau seluruh kehidupan kita yang tidak dapat dibeli tetapi hanya digunakan.
e)Komunikasi dan dan pertukaran; komunikasi adalah kunci keperda penyertaan dan persefahaman. Perasaan perlu bebas diluahkan tanpanya meredupkan isu-isu atau salah faham.Lebih besar kesamaran dalam komunikasi lebih miskin hubungan;paling teruk adalah tabiat senyap ia mampu melemah perpaduan dan keharmonian.
f) Semangat dan sikap jenaka; ia hadiah-hadiah ajaib dan ubat terbaik.Keupayaan mentertawakan diri dan situasi dapat memulihkan kebimbangan dan kebosanan.
g)Usaha dan pengorbanan; perkahwinan boleh diibarat sebagai sebuah peti harta karun yang kosong. Ia perlu terus diisi untuk diambil berterusan keluar daripadanya.Ia tabubg persaraan yang sungguh ajaib; laburan di usia produktif.
h) Perkara-perkara kecil menjadi lebih bermakna; elak mengambil ringan antara satu sama lain dek kerana faktor masa bersama yang lama.
i) Menghormati dan menghargai satu sama lain; jangan memperkecil atau mengkritik orang yang kita kasihi tetapi jadikan mereka kawan baik kita.Perkasakan satu sama lain menerusi penghargaan walau sekecil apapun.

Tidak ada orang yang dapat mengukur termasuklah penyajak-penyajak berapa banyakkah yang dapat dipegang oleh sebuah hati
Zelda Fitzgerald

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Mak, bangunlah untuk kembali menjadi matahari

Menatap wajah mak
seperti menatap bakal wajahku
dua puluh delapan tahun nanti

Tubuh tua inilah
yang memenjarakan ribuan ingin
memalingkan wajah daripada
gemerlap bintang
demi kami

Meskipun kami memikulnya
di atas pundak sepanjang hayat
tidak mampu secebis pun
membayar
hutang pengorbanan
yang telah dibelinya
dengan titisan keringat
dan selembah ketabahan
berisi kasih sayang

Mak, menatap sakitmu
seperti ingin kuganti
terbaring di kasur itu
supaya kau kembali menjadi
matahari
yang membangunkan
pohon-pohon peribadi.

Ratna Laila Shahidin
Lenggong Perak
Mingguan Malaysia
15 Nov 2015

Qosidah al-Muhammadiah (2)

6. Nabi Muhammad saw itu hakim pada keadilan yang mempunyai kemuliaan. Nabi Muhammad saw itu asal tempat lahirnya nikmat-nikmat dan hikmah-hikmah.

7. Nabi Muhammad saw itu adalah sebaik-baik makhluk Allah dan Mudbar. Nabi Muhammad saw itu adalah sebaik-baik persuruh Allah semuanya.

8. Nabi Muhammad saw itu agamanya benar yang kita beragama dengannya. Nabi Muhammad saw itu sangat elok rupa dan peribadinya melebihi di atas bukit.

9. Nabi Muhammad saw itu dengan mengingatinya menjadi roh kekuatan pada diri kita. Nabi Muhammad saw itu dengan syukur kepadanya menjadi kewajipan ke atas umat.

10. Nabi Muhammad saw itu penghias dunia dan keelokannya. Nabi Muhammad saw itu pembuka kesempitan dan kegelapan.

Qosidah Al-Burdah
Ahmad Lutfi b Abdul Wahab al Linggi
2009


Monday, November 23, 2015

Pelajaran 27


Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata Allah Ta’ala: Hai anak Adam, banyakkan olehmu bekalmu dengan berbuat ibadat kepada Allah Ta’ala kerana bahawasanya jalan syurga itu amat jauh. Dan teguhkan olehmu akan perahumu, yakni imanmu kerana bahawasanya laut itu amat dalam dan ombaknya itu amat besar dan angin itu amat keras. Dan ringankan olehmu akan tanggunganmu, maka gunung itu amat tinggi, yakni kerana bahawasanya titi Sirathal Mustaqim itu amat seni-seni (halus). Dan khaliskan (ikhlaskan) olehmu akan ilmumu. Dan bahawasanya yang menerima itu amat melihat, maka segala keinginanmu di dalam syurga jua dan kemenanganmu itu di dalam akhirat jua dan pada hadapanmu itu beberapa bidadari yang indah-indah.

Hai anak Adam, jadikan olehmu akan dirimu hamba bagiKu supaya adalah Aku itu Tuhan bagimu dan hampirkan olehmu akan dirimu kepadaKu dengan menghinakan dunia dan mengasih segala kebajikan, maka bahawasanya Allah Ta’ala itu tiada mensia-siakan ia akan pahala orang yang berbuat kebajikan dan tiada mensia-siakan akan segala amal orang yang berbuat amal.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,

Al-Hidayah, 2007

Konflik Syria petanda akhir zaman


KEMATIAN rakyat Syria mencecah 200,000 orang dalam tempoh lebih dua tahun kebangkitan rakyat ketika pemerintahan Presiden Bashar al-Assad dikatakan lebih dahsyat berbanding kematian yang dicatat di Palestin ketika negara itu ditawan Israel. Kekejaman itu membuka mata banyak pihak sehinggakan tragedi Syria bermandi darah mendapat perhatian ramai termasuk negara berkuasa besar, Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan akan menyerang Syria berikutan dakwaan penggunaan senjata kimia.

Walaupun AS masih berdolak-dalik dengan serangan itu, pelbagai andaian mula timbul kerana terdapat dakwaan menyatakan Perang Dunia Ketiga akan meletus daripada apa yang sedang berlaku di bumi anbiya itu. Tidak kurang juga yang mengaitkan keadaan itu dengan petanda akhir zaman. Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, NURULFATIHA MUAH dan jurufoto, AZMI ARYANTO bersama pendakwah yang juga pengkaji isu Syria, Ustaz Nazmi Karim.

Kejadian yang berlaku di Syria dikatakan antara petanda akhir zaman. Ada atau tidak nas yang boleh dikaitkan dengan andaian itu?

Petanda akhir zaman memang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Baginda berulang dua kali mengatakan bahawa akan berlaku peperangan besar yang  apabila peperangan ini terjadi, perkhemahan orang Islam paling ramai adalah di sebuah tempat bernama Ghouta Dimashq yang bermaksud kebun besar yang mengelilingi bandar Damsyik di Syria.

Nabi kata, di kebun besar ini ada sebuah bandar dikatakan namanya Damsyik, sebaik-baik tempat tinggal umat Islam ketika itu. Ini tanda-tanda akhir zaman.

Kalau kita lihat di Syria sekarang ini, kawasan ini jadi tempat paling ramai mujahidin berhimpun. Tempat lain ada ramai juga, tetapi tempat ini yang disebut Rasulullah SAW.

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda; “Tidak akan terjadi hari Kiamat sehingga kaum Rom turun di kota Amaq (Lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (dekat Aleppo, Syria).

Kemudian datanglah suatu pasukan yang menghadang mereka dari Madinah, yang berasal dari penduduk pilihan bumi. Dan ketika mereka sudah berbaris-baris, maka berkatalah orang Rom, biarkanlah (jangan kalian halang) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi ALLAH, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Dan ketika mereka (Al-Mahdi serta para pengikutnya) telah sampai di Syam, keluarlah Dajjal.

Dan ketika mereka sudah bersiap-siap untuk berperang, mereka berbaris dengan rapi. Tiba-tiba, ketika waktu solat sudah masuk, turunlah Nabi Isa Ibn Maryam a.s.” (Riwayat Muslim dari Sayidina Abu Hurairah RA).

Wallahua'lam, berdasarkan hadis itu, jika benar Amerika Syarikat serang Syria, mereka akan masuk kawasan itu iaitu di pesisiran laut. Kalau betullah ia berlaku,  maknanya tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (Nato) dan Rom ini akan masuk ikut ke pantai menyerang seluruh Syria.

Nabi kata, ALLAH akan menghantar tentera mujahidin dari bandar Damsyik akan bergerak menuju ke Dabiq dan berlaku peperangan nanti di sana. Jadi kebanyakan peperangan akhir zaman itu akan berlaku belah-belah negara Syria dan Syam.

Kenapa tumpuan diberikan kepada negara di sebelah Syria?

Mungkin ada beberapa faktor. Dari segi kawasan, ia strategik dan kedudukan geografi Syria menyambung hubungan darat antara Syria dengan Eropah, Afrika dan Asia. Kedua, Nabi Isa AS akan turun di Syria berdasarkan hadis Rasulullah SAW.

Baginda bersabda Nabi Isa AS akan turun di Menara Putih sebelah timur Kota Damsyik. Jika dilihat pada gambarnya, ia bukan menara masjid, tetapi sebuah pasar lama di dalam sebuah kota lama.

Di sini ramai orang Kristian. Mereka juga sudah tahu perkara ini dan bersiap-siap untuk sambut Nabi Isa AS.

Sebab itu bumi Syria jadi tumpuan ramai termasuk orang berfahaman Syiah, Kristian, Yahudi, selain orang Islam sendiri. Turut menjadi tumpuan kerana Imam Mahdi akan menyambut turunnya Nabi Isa AS di Damsyik seperti yang pernah disebut dalam hadis Rasulullah bahawa Nabi Isa akan turun di Menara Putih itu ketika solat Subuh dan disambut oleh Imam Mahdi.

Apa yang berlaku sebelum Imam Mahdi muncul?

Sebelum turun Imam Mahdi, Nabi Muhammad SAW kata, akan berlaku pembunuhan tiga orang anak khalifah yang mana mereka berebut harta karun di Kaabah, Mekah. Saya tidak pasti apa yang direbutkan itu, tetapi ketiga-tiga mereka tidak berjaya. Maka berlakulah fitnah yang besar antara orang Islam sendiri, sehingga muncullah Imam Mahdi.

Imam Mahdi adalah keturunan Nabi Muhammad SAW dan namanya sama seperti nama nabi, Muhammad bin Abdullah. Beliau akan muncul di Makkah apabila fitnah kuat melanda dan dibai’ah antara bucu Kaabah dengan makam Nabi Ibrahim AS. Kemudian. Imam Mahdi akan mengetuai mujahidin bergerak ke Syria. Apabila sampai di Syria, masa itu Dajjal sudah keluar dan memang tujuan utamanya hendak melawan Dajjal. Apabila Nabi Isa AS turun, tugas utama baginda ialah untuk membunuh Dajjal.

Pada masa itu, Dajjal sudah mengelilingi dunia untuk merosakkan orang Islam dan mengkafirkan orang sehingga akhirnya Nabi Isa AS kejar Dajal sampai di satu tempat bernama Bab Luddin di Palestin. Di situlah akan dibunuhnya Dajjal. Dajjal apabila tengok Nabi Isa AS itu, dia jadi cair macam batu garam yang disirami air.

Keadaan yang berlaku di Syria ketika ini, seolah-olah mengikut skrip iaitu hadis Nabi?

Ya, memang betul mengikut skrip. Nabi sebut akan berlaku peperangan besar, sekarang ini berlaku perang di Syria. Ramai orang tak tahu sebabnya. Kebangkitan di Syria berlaku pada Mac 2011. Puncanya sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di sebuah bandar bernama Dar’a.

Kanak-kanak ini conteng dinding sekolah dengan perkataan 'Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam' bermaksud ‘rakyat hendak jatuhkan kerajaan’.

Mereka tulis perkataan itu bukan sebab diajar, tetapi masa itu berlakunya Arab Spring iaitu kebangkitan negara Arab di Tunisia, Yaman dan Mesir. Apabila kebangkitan itu, semua negara ini tulis slogan yang sama iaitu “Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam” ketika berdemonstrasi. Kanak-kanak ini tidak tahu apa-apa.

Polis datang ke sekolah dan mengarahkan sekolah ditutup. Kanak-kanak yang terlibat ditangkap, dipenjarakan dan diseksa. Antara seksaan yang dikenakan ialah dicabut kuku mereka.

Keluarga kanak-kanak ini datang ke balai minta anak-anak mereka dibebaskan, tetapi polis kata: “Lupakan anak engkau dan engkau buat yang lain. Ataupun engkau hantar bini engkau di balai polis, kami akan buat bini engkau mengandung lagi sekali”.

Ayat ini yang saya dengar sendiri daripada orang Syria bercerita ketika kes itu berlaku. Rentetan itu, orang kampung mula keluar berdemonstrasi aman dan itu merupakan kali pertama rakyat Syria buat demonstrasi aman minta anak dibebaskan. Sebelum ini, mereka memang tidak berani lawan kerajaan langsung kerana kerajaan memang amat zalim.

Entah bagaimana, mereka yang berdemonstrasi aman ini pula akhirnya ditembak anggota keselamatan. Ramai yang mati.

Peristiwa ini tersebar ke seluruh Syria. Kebetulan, masa itu di negara Arab yang lain sudah berlaku kebangkitan.

Rakyat Syria memang tidak fikir untuk lawan kerajaan, tetapi mereka hanya hendak kanak-kanak yang ditahan itu dibebaskan. Itu saja.

Apabila sudah jadi begitu, mereka pun tidak tahan, maka muncullah Tentera Pembebasan Syria (FSA) setelah enam bulan rakyat Syria ditangkap, diseksa dan dibunuh. FSA merupakan sukarelawan rakyat Syria yang hendak pertahankan maruah dan akidah mereka. Mereka yang mula pertahankan keluarga sendiri daripada kerajaan pimpinan Bashar al-Assad.

Persengketaan di Syria ada kaitan dengan Syiah - Sunni. Dan sebagaimana penerangan Ustaz tadi, ia juga dikaitkan dengan kemunculan Dajjal. Difahamkan, ada hadis menyebut bahawa Dajjal nanti akan diiringi oleh orang Yahudi dari Isfahan, Iran. Apa maksud hadis itu?

Nabi bersabda,  “Dajjal akan diikuti oleh 70,000 orang Yahudi dari kota Isfahan, mereka memakai al-Tayalisah”. ini hadis riwayat Muslim. Al-Tayalisah ialah sejenis selendang yang dipakai orang Iran atau Parsi semasa hendak perang dan sembahyang.

Persoalannya kenapa Nabi kata Dajjal keluar di sebuah bandar di Iran, tidak di Israel atau  Amerika, Rusia atau China?

Saya tidak pasti, tetapi jika kita lihat di Iran, ada Syiah di sana. Apabila berlaku kebangkitan rakyat di Syria, negara luar yang mula-mula campur tangan ialah Iran. Masa campur tangan itu, mereka bukan hendak sokong rakyat Syria, tetapi Iran hantar 10,000 tentera dengan penembak hendap.

Pada Mei 2012, saya bersama NGO Muslim Care hantar bantuan kali pertama ke Syria dan kami bertemu dengan seorang ulama Syria di Turki, Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni. Beliau berkata; “Kami dulu menyangka Syiah ini saudara kita,  rupa-rupanya mereka adalah sebaliknya.

Bahkan, Syiah ini lebih ‘najis’ dan lebih dilaknat daripada Yahudi. Sebab bilangan orang Islam yang dibunuh di Palestin pun tak sama (masih kurang) banding dengan orang Islam yang dibunuh di Syria”.  Di Syria yang mendapat sokongan Syiah Iraq, Iran dan Hizbullah dari Lubnan, lebih 200,000 rakyat Syria sudah dibunuh sejak kebangkitan itu. Berbanding di Palestin, hanya berpuluh ribu sahaja yang terbunuh sejak Israel tawan negara itu.

Melihat kepada perkara ini, kita pelik kenapa Syiah begini dan benarlah Nabi kata Dajal akan keluar dari Isfahan, Iran.

Bashar; Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikatakan berasal daripada keturunan Yahudi Isfahan yang dikaitkan sebagai tempat asal pengikut Dajjal. Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad juga berasal dari tempat itu. Bagaimana Ustaz melihat perkara ini?

Saya kurang pasti, tetapi datuk nenek Bashar memang dari Iran. Jadi hubungannya memang kuat. Satu lagi, di Syria, Bashar berfahaman Syiah Alawi atau Nusairi. Bercerita pasal Syiah, Syiah Alawi atau Nusairi sudah terkeluar daripada Syiah Imamiah yang diamalkan di Iran.

Jadi Syiah yang dipegang oleh Bashar ini, tidak diterima oleh Syiah pun, tetapi kenapa mereka yang menyokong Bashar pada masa ini? Mereka (Iran) kata benci dan tiada kena mengena dengan Syiah Alawi atau Nusairi, tetapi mereka tetap sokong Bashar bunuh rakyat Syria.

Ini bermakna, mereka sebenarnya bersatu menentang Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pembebasan Masjidil al-Aqsa di Palestin akan bermula daripada pembebasan Masjid Umawi di Damsyik. Benarkah begitu?

Yang saya dengar daripada ulama Palestin, Syeikh Raed Solah bahawa pembebasan Masjid al-Aqsa pada zaman Sultan Salahuddin al-Ayyubi adalah bersama tentera yang datang dari Syam iaitu Syria.

Insya-ALLAH dikatakan tentera juga dari tempat yang sama akan datang untuk membebaskan Masjid al-Aqsa. Cuma, kali ini bawah pimpinan Imam Mahdi.

Kubur Salahuddin di Syria, betul-betul di tepi Masjid Umawi. Puak Syiah paling benci dengan Salahuddin, antara sebabnya Salahuddin yang menjatuhkan kerajaan Syiah di Mesir, iaitu kerajaan Fatimiyyah.

Ada dakwaan mengatakan, sekiranya Amerika menyerang Syria, maka akan jadi Perang Dunia Ketiga. Apa pandangan ustaz?

Wallahua’lam. Saya rasa memang sudah dekat-dekat, tetapi saya tiada pengalaman dalam sejarah bab perang.

Namun, tidak mustahillah (akan berlaku Perang Dunia Ketiga) kerana melihat contoh apabila Amerika kata hendak serang Syria, sekutu Syria, Russia kata; “Kalau engkau nak serang Syria, aku serang Arab Saudi”.

Arab Saudi pula sekutu Amerika. Sekutu Syria, iaitu Iraq, Iran, Russia dan semua sekutu dengan Russia ialah geng komunis, manakala Eropah dan Amerika pula sekutu dengan Arab Saudi. Jadi bila berlaku peperangan nanti, Wallahua’lam...tak mustahil berlaku.

Apa istimewanya Syria sebagai sebuah negara Syam?

Nabi pernah sebut dalam hadis; “Ya ALLAH, berkatkan pada Syam kami. Ya ALLAH, berkatkan kepada Syam kami. Ya ALLAH, berkatilah negeri Yaman kami”.

Dalam hadis lain; Nabi Muhammad SAW bersabda; “Beruntunglah bagi penduduk Syam. Beruntunglah Syam. Beruntunglah Syam kerana Malaikat ar-Rahman yang sentiasa menghamparkan sayapnya ke atas ahli Syam.” (Riwayat Ahmad).

Nabi sebut lagi; “Sesungguhnya kota (perlindungan) kaum Muslimin ketika berlakunya al-malhamah (perang besar) ialah di suatu lembah subur di sudut kota yang dipanggil Dimasq (Damsyik).

Dan ia adalah sebaik-baik kota di negara Syam”. (Riwayat Abu Daud).

Syam terdiri daripada empat negara iaitu Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan. Para sahabat nabi pun ramai di negara itu. Di Syria, ada lebih 10,000 pusara sahabat Nabi. Antara sahabat Nabi yang meninggal di Syria ialah Bilal bin Rabah, Khalid al-Walid, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin Ummi Maktum dan Abu Darda.

Dari Abdullah bin Hawalah, dari Nabi SAW, baginda bersabda; Pada malam aku diisra’kan, aku melihat tiang-tiang putih seperti permata yang dibawa oleh para malaikat. Aku bertanya: “Apa yang kalian bawa?” Mereka menjawab: “Tiang-tiang al-Kitab.

Tugas kami untuk meletakkannya di Syam.” Dan ketika aku tidur, aku (bermimpi) melihat tiang-tiang al-Kitab muncul dari bawah. Kemudian aku mengira bahwasanya ALLAH yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi menjelma bagi penduduk bumi. Maka penglihatanku mengikutinya.

Ketika itu Dia adalah cahaya yang menerangi hadapanku hingga sampai ke Syam.” Kemudian Ibnu Hawalah berkata: “Wahai Rasulullah, wasiatilah aku!” Baginda bersabda: “Tinggallah di Syam.” (Riwayat at-Tabrani).

Dalam sebuah hadis lain, daripada Ibnu Hawalah, daripada Nabi SAW, baginda bersabda bahawa ada tiga tentera di akhir zaman nanti iaitu tentera Iraq, Yaman dan Syam. Lalu sahabat bertanya; “Pilih yang mana?”. Nabi berkata, hendaklah engkau bersama dengan tentera yang berada di Syam. Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tabrani.

Apa yang berlaku di Syria, ada kaitan dengan tanda-tanda akhir zaman. Apa nasihat Ustaz?

Nasihat saya, jangan kata yang lawan Bashar ini adalah pemberontak, tetapi mereka adalah rakyat yang hendak mempertahankan hak dan akidah mereka.

Banyak media kata rakyat Syria pemberontak. Kita wajib mempertahankan Syria. Isu Syria adalah isu umat Islam sedunia. Kadang kala, kita hanya mengambil berat isu Mesir tetapi kita ketepikan penyembelihan yang setiap hari berlaku di Syria.

Pesanan Ulama Palestin, Syeikh Raed Solah, selagi Damsyik tidak dibebaskan, jangan kamu mimpi Al-Aqsa akan dibebaskan. Bantulah mereka dengan dgn apa yang termampu dan jangan lupa doakan kemenangan untuk Islam.

Wallahu a’lam

Nurulfatiha Muah
Sinar Harian
22 Nov 2015

UPSR 2015

Info 1 : 

Pencapaian Nasional UPSR 2015
* Cemerlang (semua  A)                                 38,344 calon
* Baik (minimum C tidak termasuk A)           255,801 calon
* Di bawah tahap penguasaan minimum
   (keputusan D atau E atau kedua-duanya)    11,972 calon
* Lain-lain kombinasi                                      137,470 calon

Perbezaan Gred Purata Nasional UPSR 2014 dan 2015
* GPN 2014    2.29
* GPN 2015    2.27

Gred Purata Mata Pelajaran Nasional UPSR 2015
1. Bahasa Melayu Pemahaman (SK)               1.76
2. Bahasa Melayu Pemahaman (SJK)             2.55
3. Bahasa Melayu Penulisan (SK)                   1.82
4. Bahasa Melayu Penulisan (SJK)                 2.49
5. Bahasa Inggeris (SK)                                  2.72
6. Bahasa Inggeris (SJK)                                2.83
7. Matematik                                                   2.28
8. Sains                                                            2.37

Sumber : Utusan Malaysia; 18 Nov 2015

Info 2 :


Negeri
Semua A
Gred Purata Negeri

2015
2014
Beza
2015
2014
Beza
1. Putrajaya
260
287
+
1.75
1.7
-
2. Terengganu
2,558
2,563
-
2.10
2.15
+
3. Kelantan
3,527
3,600
-
2.14
2.16
+
4. Melaka
1,311
1,242
+
2.16
2.15
-
5. Pulau Pinang
2,430
2,335
+
2.17
2.15
-
6. Johor
4,878
4,811
+
2.18
2.18
Kekal
7. Negeri Sembilan
1,806
1,833
-
2.18
2.17
-
8. Kuala Lumpur
1,828
1,681
+
2.19
1.21
+
9. Pahang
2,439
2,257
+
2.21
2.23
+
10. Selangor
7,354
6,593
+
2.23
2.22
-
11. Kedah
2,929
2,847
+
2.24
2.29
+
12. Perak
2,929
2,847
+
2.30
2.31
+
13. Perlis
346
291
+
2.32
2.41
+
14. Sarawak
1,998
1,862
+
2.48
2.52
+
15. Labuan
65
44
+
2.52
2.58
+
16. Sabah
1,612
1,231
+
2.62
2.67
+
Nasional
38,319
36,304
+
2.27
2.29
+
                       

Sumber : Berita Harian, 18 Nov 2015