Sekarang musim peperiksaan anak-anak kita yang
baru selesai menghadapi UPSR dan ada yang masih menduduki SPM dan STPM.
Lazimnya musim peperiksaan akan memberikan tekanan atau stres, bukan sahaja
kepada anak-anak yang menghadapi peperiksaan tetapi stres juga dirasai oleh ibu
bapa. Lebih kronik lagi cabaran ini, apabila ibu khususnya yang akan lebih
stres daripada anak yang menghadapi peperiksaan.Lapan tip untuk mengelakkan
anak stes menghadapi peperiksaan.
Pertama, apabila anak hendak
menghadapi peperiksaan ibu bapa jangan stres. Aura atau getaran minda dan hati
ibu bapa yang stres akan dirasai oleh anak yang menghadapi peperiksaan.
Kedua, berdoa. Bagi
mengelakkan ibu bapa stres ketika anak berada dalam dewan peperiksaan, yang
akan memberikan impak negatif kepada anak, hingga anak tidak boleh memberikan
tumpuan di dalam dewan peperiksaan, banyakkan berdoa ketika peperiksaan sedang
berlangsung.
Dalam dewan peperiksaan yang sunyi itu, yang ada
hanya anak kita dengan Tuhan. Doa ayah dan ibu mustajab. Maka berdoalah. Ya
Allah ya Tuhanku, berikan ingatan kepada ilmu yang pernah anakku pelajari dan
yang dia tahu, izinkan anakku memilih soalan yang dia kuasai ilmunya, dapatlah
dia menjawab dengan baik, dan Engkau lapangkan serta tenangkan hatinya. Boleh
juga mengerjakan solat hajat dan membaca Surah Yasin.
Ketiga, sebut apa yang ibu bapa
hendak anak buat sahaja ketika mula melangkah keluar dari rumah ke sekolah,
untuk menghadapi peperiksaan.Contohnya, suruh anak cermat, tenang dan yakin
semasa memilih soalan. Suruh anak berserah serta bertawakal kepada Allah,
berselawat, cakap perkara yang baik-baik supaya tidak hilang fokus, banyakkan
senyum, salam guru apabila berjumpa mereka dan mohon guru redakan ilmu yang
diajarnya dan minta guru doakan.
Ingat, jangan sekali-kali sebut yang kita tidak
mahu anak buat semasa berhadapan dengan peperiksaan. Contoh, jangan lalai,
jangan patah semangat, jangan kelam kabut dan sebagainya yang negatif. Hal ini
sangat penting kerana minda bawah sedar minda segar anak akan ingat apa yang
kita sebut. Kalau yang kita sebut senarai kata-kata negatif, yang negatiflah
yang akan melekat di minda anak.
Keempat, ibu bapa yang anaknya
menghadapi peperiksaan, selain meningkatkan ketakwaan;buat yang disuruh dan
tinggalkan yang dilarang, banyakkanlah bersedekah. Bagaimana kita gembirakan
hati dan mempermudahkan urusan orang. Allah akan gembirakan hati kita dan
mempermudahkan urusan kita. Tempias kebaikan itu akan dapat kepada anak kita;
dipermudahkan Allah ketika anak kita menghadapi peperiksaan.
Kelima,fokus kepada tujuan
dengan niat kerana Allah untuk lulus dengan baik. Semoga anak kita cemerlang
dalam peperiksaan ini, anak kita menjadi mukmin dan mukminah profesional dan
dapat memberikan manfaat dalam hidupnya, kepada dirinya, keluarga, masyarakat
dan negara. Aktiviti yang bersandarkan Allah, akan mendapat pertolongan Allah.
Keenam, fokus untuk reda Allah
bukan penghargaaan manusia. Beritahu anak-anak, kita sebagai ibu bapa, tidak
bangga kalau anak mendapat 10A, tetapi tidak hormat dengan orang, dengan ibu
bapa melawan, solat tidak buat, pendek kata tidak meningkatkan ketakwaan tetapi
yang ditingkatkan kedegilan dengan Allah. Kelulusan akademik yang kita dapat
itu, Cuma sekeping kertas tidak bermakna pun sijil itu kalau hanya untuk
kebangaan dengan sesama manusia buka reda Allah.
Ketujuh, untuk anak-anak yang
menghadapi peperiksaan pula, ketika mendapat kertas soalan, lihat setiap soalan
satu persatu dan fahamkan setiap soalan dahulu. Sebab semasa kita membaca semua
soalan, akal kita juga turut membaca, dan dalam masa yang sama, minda bawah
sedar / minda segar kita, mula memproses ilmu yang kita tahu dan kuasai, serta
mengingatkan kembali fakta yang pernah dibaca atau diulang kaji.
Kelapan, berserah dan bertawakal
kepada Allah. Percaya kepada qada dan qadar Allah, akan menghilangkan stes
ketika menghadapi dan sesudah menghadapi peperiksaan. Sebab manusia yang
mengejar penghargaan tidak fokus kepada kejujuran tetapi fokus kepada
pencapaian. Sekiranya anak kita tidak mendapat keputusan seperti yang kita
harapkan, tolong jangan bunuh imej diri anak dan jangan bunuh jiwa anak dengan
kata-kata nista serta jangan bandingkan pencapaian anak dengan anak-anak yang
lain atau dengan anak orang lain.
Ingatlah anak kita bukan kuda lumba untuk kita
tunjuk kepada orang dan bukan KPI kita hingga sikap ibu bapa membuatkan anak
menjadi stes ketika dan sesudah menghadapi peperiksaan. Hal ini kerana ada ibu
bapa yang hidupkan cita-citanya melalui anak. Sebab itu disuruhnya anak membuat
bermacam-macam perkara yang ada kalanya tidak termampu oleh anak, hingga anak
menjadi stres. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.
Wallahu a’lam.
Prof. Dr
Muhaya Muhamad
Mingguan
Malaysia
9 Nov 2014
No comments:
Post a Comment