Monday, November 10, 2014

Amanah, hormat kunci kejayaan cemerlang


Sikap amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan serta menghormati orang yang berilmu seperti pensyarah merupakan kunci utama kejayaan bagi penerimaan hadiah Pingat Emas Doktor Falsafah (Ph.D), Mohammad Effendy Ya’acob,34.

Mohammad Effendy yang juga merupakan pelajar Ph.D jurusan Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) memberitahu, sikap itu sebenarnya mampu mengajar kita membentuk kedewasaan terutamanya dalam aspek kematangan fikiran.

Amanah dalam kerjaya ataupun setiap apa yang dilakukan serta menunjukkan keikhlasan dalam apa yang kita lakukan tanpa ada rasa paksaan ataupun sebaliknya. Ini bermakna kita menerima dan melakukannya atas dasar amanah dan disusuli dengan minat sehingga mampu mencapai kejayaan yang tidak semua orang mampu miliki.Semangat ingin mencuba sesuatu yang baharu juga salah satu pendorong bagi saya sebagai pelajar untuk lebih berinovatif dalam melakukan kajian khususnya berkaitan dengan penyelidikan, katanya.

Menurut Muhammad Effendy, interaksi antara pensyarah dan pelajar lain antara cara terbaik dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif selain pandai menggunakan kemudahan yang ada.

Saya akan sentiasa berkomunikasi dengan orang ramai tanpa mengira siapa sama ada berlainan bangsa mahupun negara. Ini membolehkan kita bertukar-tukar pandangan di samping meningkatkan tahap keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi selain mudah memahami apa yang dipelajari, katanya.

Katanya, tiada faktor yang menghalang seseorang pelajar untuk tampil dengan kejayaan yang bermakna dalam semua bidang termasuk akademik mahupun sukan. Saya sudah pun berkeluarga dan memiliki dua cahaya mata. Saya akan membahagikan masa yang ada sebaik-baik mungkin dalam masa sehari agar tanggungjawab yang saya pikul dapat dilaksanakan dengan baik terutamanya perhatian terhadap keluarga, jelasnya.

Dalam pada itu, bagi pelajar program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, Faslina Habeeb Mohd,26 menyifatkan kehadiran ke kelas merupakan faktor utama yang perlu dilakukan sebagai seorang pelajar. Kehadiran ke kelas sangat penting dalam membantu tahap kefahaman. Apa yang diajar oleh pensyarah tidak sama dengan apa yang ada dalam buku. Jadi ilmu yang dikongsi itu sangat bermakna untuk kita guna pada masa depan.

Sekiranya kita pergi ke kelas, ia akan memberi kesan kepada silibus pembelajaran. Pensyarah tidak sesekali akan mengulangi perkara yang telah pun diajar. Apabila kita tertinggal sesuatu tajuk ia secara tidak langsung akan menyukarkan untuk kita memahami tajuk yang seterusnya kerana ia mempunyai kaitan satu sama lain, ujarnya.

Sementara itu, pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Asing (Pengkhususan Bahasa Arab), Nor Amira Mohamad,21 berkata setiap pelajar perlu merebut peluang yang ada di universiti masing-masing kerana ia mampu membina keyakinan dari khususnya dalam aspek, kepimpinan.

Tugas pelajar bukan sahaja tertumpu kepada pembelajaran akademik sahaja, malah di sini mereka cuba melatih pelajar untuk aktif dalam semua perkara termasuk kelab dan sukan. Pendekatan ini dapat membantu kita untuk meningkatkan kemahiran komunikasi serta membina keyakinan apabila diberi tanggungjawab untuk memikul tanggungjawab di peringkat universiti kerana tidak mestahil suatu hari nanti kita dapat menjadi seorang pemimpin kepada rakyat, katanya.

Wallahu a’lam.

Mingguan Malaysia
9 November 2014

No comments:

Post a Comment