MINGGU lalu saya berada di Brunei, mengisi Majlis
Ilmu 2014, undangan Jabatan Perdana Menteri Brunei, membentangkan kertas kerja
bertajuk Manfaatkan Sains Martabatkan
Islam. Majlis tersebut dirasmikan oleh Sultan Brunei, bertemakan sains dan
teknologi pemangkin pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup ummah.Ucapan
baginda sultan penuh dengan penegasan dalam melaksanakan Islam tanpa menolak
kepentingan sains dan teknologi. Sains dan teknologi akan terus diperkasa
menjadikan Brunei negara maju 2035.
Selepas perasmian, Mufti Brunei memberi ucaptama
dan sultan turut berada sama dan begitu khusyuk mendengar. Saya tersangat ingin
perkara itu berlaku di Malaysia.Ucapan mufti begitu bernas dan tegas di hadapan
pemimpin tertinggi negara itu. Sains dan teknologi mesti berpandukan iman dan
takwa.
Secara tegas dan berani ucapan itu dituju kepada
pemimpin negara. Soal syurga, neraka dan balasan akhirat dibangkitkan jika
pemimpin tidak melaksanakan tanggungjawabnya.Walaupun fokus utama mengenai kepentingan
institusi sedekah, tetapi isinya tidak lari daripada mengingatkan pemimpin
negara, secara terang dan berani. Apakah kita di sini ada keberanian seperti
itu? Setakat yang saya lihat, tidak ramai kalangan kita yang berani menegur
pemerintah, meskipun secara berhikmah. Yang banyak adalah ucapan memuji dan
membodek pemimpin untuk kekal kuasa, dapat kuasa dan habuan yang lain.
Bilakah negara kita ingin mencontohi Brunei? Semua
pemimpinnya mahukan Islam, dan yakin dengan hukum ALLAH yang mesti ditegakkan.Saya
akur, negara kita bukan Brunei. Bukan Islam hampir separuh. Tetapi,
sekurang-kurangnya mulakanlah dengan melaksanakan cara hidup beragama, kalaupun
tidak mahu nama Islam itu ditonjolkan.
Misalnya, budaya dan tatacara berada di dalam
pesawat. Berada di dalam Royal Brunei Airlines (RBA), seolah-olah begitu yakin
berada di udara, ALLAH bersama kita. Dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan
salam yang begitu indah.Anak-anak kapal begitu bersopan dan manis sekali.
Pakaiannya menutup aurat. Makanannya semua halal. Tidak ada arak dan benda
haram yang lain.RBA tetap penuh dengan penumpang tempatan dan asing. Brunei
terus menjadi tumpuan pelancong. Tidak timbul soal laksanakan Islam, pelancong
lari dari Brunei. Semakin ramai ada.Inilah rahmat ALLAH yang mesti kita yakini.
Apakah benar kata-kata jika arak tidak dihidangkan di dalam pesawat, pelancong
akan lari.
Bukankah pelancong sudah bermandikan arak di
negara mereka sendiri? Paling saya bimbang, yang suka arak bukan pelancong,
tetapi kita.Lagi pula, arak kita tidaklah sebaik arak mereka. Arak yang
dihidangkan itu pun jenama negara mereka juga.
Kenapa kita takut untuk melaksanakan nilai-nilai
murni dan adab sopan beragama di dalam sebuah negara yang kita isytihar sebagai
negara Islam? Benar, negara Brunei adalah hampir seratus peratus Islam. Maka
mudahlah bagi mereka melaksanakan hukum Islam.Paling tidak pun mulakanlah
dengan melaksanakan nilai-nilai agama. Saya amat yakin, semua nilai baik Islam
sesuai dan akan diterima oleh agama lain. Pokoknya kita mesti ada keberanian.Malangnya
dalam perkara sekecil adab-adab di dalam pesawat pun kita tidak pernah berasa
untuk melaksanakannya. Apakah pengajaran MH17 dan MH370 masih belum cukup lagi?
Ini belum termasuk isu-isu besar lain seperti
zina, judi, hubungan sejenis, seks bebas, rasuah dan sebagainya. Saya tidak
nafikan, hukuman itu telah ada.Tetapi perlaksanaan masih tidak mencukupi. Kita
terlalu takut kepada gerakan hak asasi manusia. Kenapa hak ALLAH tidak mahu
dijaga? Bukankah orang bukan Islam juga mahu berkongsi ALLAH? Jadi, apa masalah
melaksanakan hak ALLAH?
Contoh kecil lain, adab berpakaian sopan. Pergilah
ke jabatan kerajaan yang selalu menjadi tumpuan, seperti Jabatan Pendaftaran
Negara, imigresen, polis dan sebagainya.Mesti ada notis ditampal mengatakan
adab berpakaian bila berurusan. Peliknya, kita masih melayan pelanggan yang
memakai seluar sejengkal panjangnya, sehingga sudah nampak....Justeru, nasihat
saya, sebelum bala ALLAH menimpa, mulakanlah dengan melaksanakan nilai-nilai
murni agama. Usah pedulikan mereka yang tidak mahu masuk syurga. Mereka ini
tajaan barat untuk menghancurkan umat Islam di negara kita.
Lakukanlah seperti apa yang Brunei lakukan.
Baginda sultan tidak pernah ambil kisah apa masyarakat antarabangsa atau hak
asasi manusia akan kata. Paling penting bagi baginda adalah mencari reda ALLAH
dan mengelakkan azab-Nya yang amat pedih. Berhijrahlah sebelum terlambat.
Wallahu a’lam.
Ridhuan Tee
Abdullah
Sinar
Harian,
3 Nov 2014
Sabda rasulullah saw dalam sebuah hadis, diriwayatkan oleh Bukhari: Orang mukmin itu akan melihat dosanya seperti gunung di atas kepalanya, dia takut kalau gunung itu akan menimpanya. Dan orang munafik melihat dosanya seperti seekor lalat yang menenggek di atas hidungnya lalu dihalaunya.
Sabda rasulullah saw dalam sebuah hadis, diriwayatkan oleh Bukhari: Orang mukmin itu akan melihat dosanya seperti gunung di atas kepalanya, dia takut kalau gunung itu akan menimpanya. Dan orang munafik melihat dosanya seperti seekor lalat yang menenggek di atas hidungnya lalu dihalaunya.
No comments:
Post a Comment