Wednesday, November 26, 2014

Perhimpunan.....: Muhasabahlah



........Ingatlah pesanan Konfucius ini: Pertama, jika mahu menjadi pemimpin, jaga rumah tangga, anak isteri dengan baik, boleh menjadi contoh, sebab orang memerhatikan kamu. Kedua, nak pastikan rumah tangga itu menjadi baik dan terpelihara, pastikan diri sendiri berakhlak mulia dan boleh dicontohi, sebab kebaikan rumah tangga bermula daripada diri kita. Ketiga, nak pastikan diri sendiri menjadi baik, pastikan hati itu bersih. Keempat, nak pastikan hati itu bersih, asasnya adalah sifat ikhlas.

......contohilah pemimpin terdahulu, sanggup berkorban jiwa raga. Mahatma Gandhi, seorang pemimpin agung India, sentiasa menaiki kereta api kelas ketiga untuk bertemu rakyat. Apabila ditanya, "Kenapa selaku pemimpin besar, menaiki kereta api kelas ketiga, bukan pertama?" Gandhi menjawab: "Aku memilih kelas ketiga, sebab tidak ada kelas empat".

Menurut Gandhi, pemimpin yang berdosa adalah pemimpin politik yang tidak berprinsip. Mahu kaya, tetapi malas bekerja. Akhirnya, mengamalkan rasuah. Mahukan agama, tetapi tidak mahu berkorban.

Masih adakah pemimpin seperti Gandhi hari ini? Bukan maksud saya selepas ini, kita berpakaian compang-camping atau menjadi papa kedana. Apa yang tersirat dan tersurat adalah, pemimpin mesti bersama rakyat dan menyelami hati nurani rakyat. Susah senang dirasai bersama.

......Sempena perhimpunan ini, saya ingin menasihatkan beberapa perkara:

Pertama, berakhlaklah dengan akhlak Islam. Pastikan diri kita boleh menjadi teladan. Kewujudan kita amat disegani dan dihormati. Pemergian kita nanti akan ditangisi. Ingatlah jawatan itu amanah, ada perkiraan dunia dan akhirat. Orang pertama yang dihisab adalah pemimpin. Adakah kita benar-benar membawa orang yang dipimpin ke jalan yang benar?

Kedua, tegurlah pemimpin, jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, secara terus-terang. Jangan bodek mereka. Itu menempah kecelakaan. Termasuk juga, jika keluarganya perlu ditegur, tegurlah, sebab teguran itu untuk kebaikan. Rasulullah dan empat Khalifah kita juga ditegur rakyat. Jika raja sekalipun perlu ditegur. Tegurlah... kerana mereka juga manusia seperti kita, tidak maksum.

Ketiga, perangi rasuah habis-habisan. Jangan menikam sesama sendiri kerana kita bersaudara. Tolak pemimpin yang mengamalkan rasuah. Rasuah hanya akan menjahanamkan kita.

Keempat, marilah kita bersama-sama membawa negara ini menuju keredaan dan keampunan ALLAH. Jangan undang kemurkaan ALLAH dengan berbuat dosa dan maksiat.

Akhirnya, marilah kita hayati pesanan Datuk Onn Jaafar, YDP Umno, ketika Perhimpunan Agung Umno Pertama, 1946. Nasib Melayu hanyalah akan dapat dikekalkan dengan kesatuan hati sesama mereka.

Meskipun sesama kita berlainan fikiran dan fahaman, taraf dan kedudukan, tetapi hakikat tujuan dan maksud kita hanya satu, iaitu kita hendak meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita. Kita berkehendak supaya tanah air dan bangsa kita terselamat dan kuat, dan hanyalah boleh kuat jika kita bersatu padu.

Marilah kita tunjukkan, hanya dengan persatuan di antara kita, akan lahir satu bangsa yang hebat, boleh berdiri di atas tapak kaki sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar, mengatasi bangsa lain. Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah bangsa kita. Marilah kita bekerjasama dan menyamakan perusahaan kita itu bagi melayakkan diri kita menjadi satu bangsa yang besar. Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang berani menghadapi bahaya dengan bersatu hati (Mac 1946).

Ketika Perhimpunan Agung Umno ke-2 (1950), Datuk Onn secara sukarela mengundurkan diri daripada takhta kuasa. Beliau meminta supaya dirinya tidak dicalonkan sebagai YDP bagi sesi 1951/52. Nyata sekali Onn tidak mengejar dunia. Kuasa bukan segala-galanya bagi beliau. Bukan seperti kita hari ini, kalau boleh mahu mati di takhta kuasa untuk hidup mewah. Bangunlah.......sebelum terlambat!

Wallahu ’alam.

Ridhuan Tee Abdullah
Sinar Harian
24 Nov 2014

No comments:

Post a Comment