Wednesday, October 26, 2011

Masa lalu

Masa lalu bukanlah untuk bermegah-megah tanpa kita melakukan sesuatu untuk mengekalkan dan mencari hikmah dari sesuatu yang telah berlaku. Sesungguhnya mereka yang terdahulu meninggalkan banyak tinggalan yang menjadi keagungan atau identiti yang tersendiri seperti kesenian, sejarah, keilmuan dan sebagainya.

Kewajiban pada kita ialah menyesuaikan segala tinggalan yang ada menjadi sesuatu yang realiti dengan generasi sekarang. Tidak seharusnya kita meninggalkan yang lama hanya kerana ianya lama. Kerana tiada yang lama tiadalah yang baru.

Terdapat perkara-perkara lama yang tidak perlu diperbaharui iaitu Al-Quran. Kalam Allah selama mana masa berlalu ia tetap tidak diistilahkan sebagai ‘lama’. Begitu juga dengan Ka’abah yang dikenali sebagai ‘Batul Atiq’. Ia tidak perlu diperbaharui.

Hargailah sesuatu yang lama kerana ia besar faedahnya.

Sesungguhnya sesuatu yang lama atau yang baru adalah perkara yang tidak dapat dipastikan dan difikirkan. Ini kerana mungkin lama di sini tetapi baru di sana dan sebaliknya. Sesuatu yang baru tidak akan kekal barunya kerana esok lusa ia akan menjadi sesuatu barang yang lama.

Setiap muslim seharusnya menghitung waktu yang berlalu dengan bertanyakan soalan kepada dirinya tentang apakah yang aku lakukan hari ini, apa yang aku tinggalkan dan kenapa aku tinggalkan?. Ini dilakukan untuk memastikan perjalanan hidup yang telah kita lalui diisi dengan sesuatu perkara yang berfaedah dan tidak bertentangan dengan kehendak agama.

Wallahu’alam.

(  Sapora Sipon & Khairunnezam Mohd Noor USIM, 2008 )

No comments:

Post a Comment