Sunday, October 9, 2011

Al-Rabi’ bin Khuthaim

Bersama-samanya :

Jika engkau duduk setahun penuh bersama al-Rabi bin Khuthaim sekalipun, beliau tidak akan bercakap dengan engkau kecuali jika engkau bercakap dengannya. Beliau tidak akan bercakap dengan engkau kecuali jika engkau bertanyakannya. Beliau mahu setiap kata-katanya adalah zikir dan senyapnya itu adalah berfikir.


Tiada yang hakiki :

Wahai Hilal, saya tahu ubat itu mujarab. Namun saya sudah melihat kaum Aad, Thamud, Ashabul Ras dan kaum-kaum yang lain seumpama mereka. Saya melihat kesungguhan mereka mencari dunia dan keinginan mereka yang tinggi untuk mencari kesenangan. Malah mereka lebih kuat daripada kita dan lebih berkemampuan daripada kita.Mereka juga ada doktor-doktor dan mereka juga ada pesakit-pesakit. Namun tiada seorang pun baik yang mengubat dan diubat kekal!.

Jika ini adalah penyakit sudah tentu saya akan mengubatnya. Penyakit itu adalah dosa. Ubatnya istighfar. Cara merawatnya dengan engkau bertaubat dan engkau tidak mengulanginya lagi.

Perkara yang tersembunyi....perkara yang tersembunyi....hendaklah kamu menjaga perkara yang tersembunyi yang tidak dilihat oleh manusia lain walaupun perkara ini tidak dapat disembunyikan daripada Allah Taala. Sentiasalah beramal dengan ubat-ubatnya.  Ubat itu ialah taubat nasuha.


Perbandingan :

Apakah dengan keadaan tuan ini ( sakit ), tuan masih menangis?

Tidak, tetapi kenapa saya tidak menangis sedangkan saya pernah menemui sekumpulan manusia ( maksudnya para sahabat rasulullah saw) yang jika dibandingkan dengan mereka, kita ini ibarat perompak.


Nasihat :

Wahai Hilal, janganlah engkau terpedaya dengan pujian manusia kerana manusia hanya mengetahui luaran sahaja. Ketahuilah engkau akan dipertanggungjawabkan dengan segala amalanmu. Segala amalan yang bukan dilakukan kerana Allah akan pupus.

Wahai Munzir, takutilah Allah dengan ilmu yang ada padamu dan yang tiada padamu. Serahkanlah segalanya kepada Tuhan yang Maha Mengetahui.

Wahai Munzir, janganlah engkau berkata : Saya bertaubat. Sedangkan engkau tidak bertaubat dan engkau hanya menipu. Sebaliknya katakanlah : Terimalah taubat saya. Itu bermakna engkau berdoa.

Wahai Munzir ketahuilah, tidak ada gunanya bercakap kecuali untuk mengesakan Allah Taala, memuji Allah Taala, membesarkan Allah Taala, bertasbih, memohon kebaikan, menjauhi keburukan, menyuruh melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan membaca Al-Quran.


Syair :

Sepanjang saya duduk bersama tuan, tidak pernah saya dengar tuan membaca syair sedangkan saya lihat beberapa orang sahabat tuan membacakannya.

Setiap apa yag engkau katakan di sini akan ditulis dan dibacakan di sana nanti ( akhirat ). Saya tidak suka ada di dalam kitab saya serangkap syair yang akan dibaca kepada saya di hari perhitungan nanti.

Sentiasalah mengingati mati kerana ia sentiasa mengintip kamu tanpa kamu sedar. Suatu yang sekian lama menghilang diri, bermakna masa untuk ia muncul menjelang tiba untuk mencari temannya.


Berjumaah :

Wahai Abu Yazid, Allah telah memberikan keringanan jika tuan mahu bersembahyang di rumah.

Betul apa yang engkau katakan tetapi saya mendengar muazzin menyebut : Marilah ke arah kejayaan. Marilah ke arah kejayaan. Sesiapa sahaja di kalangan kita yang mendengar seruan ke arah kejayaan sahutlah walaupun terpaksa merangkak.


Diri sendiri :

Wahai ibu, tolonglah jangan beritahu sesiapa. Sebenarnya saya telah membunuh diri sendiri. Saya bunuh diri saya dengan dosa-dosa saya


Disaat kematian :

Wahai anakku, kenapa engkau menangis sedangkan ayahmu sedang menuju kebaikan.

No comments:

Post a Comment