Friday, October 7, 2011

Al-Hasan Al-Basri

Sifatnya :

Al-Hasan adalah seorang yang sama luaran dan dalamannya. Setiap yang diucapkan pasti selari dengan perbuatannya. Apabila beliau mengajak manusia melakukan kebaikan, beliau adalah orang yang pertama melakukannya. Apabila beliau melarang manusia melakukan kejahatan, beliau adalah orang pertama meninggalkannya. Saya lihat beliau adalah seorang yang tidak mengharapkan bantuan manusia. Beliau seorang yang zuhud dan menjauhi daripada mengambil segala yang ada di tangan manusia lain. Namun saya melihat manusia amat mengharapkannya dan sentiasa meminta apa yang ada padanya.
( Khalid bin Safwan )


Kagum :

Kita pernah melihat bangunan yang dibina oleh manusia yang paling keji di dunia. Kita dapati Firaun telah membina bangunan yang lebih besar dan lebih tinggi. Namun akhirnya Allah binasakan Firaun dan semua bangunan yang dibinanya. Mudah-mudahan al-Hajjaj mengetahui penghuni langit amat memurkainya dan penghuni bumi sedang memperdayainya.

Sesungguhnya Allah telah membuat perjanjian dengan mereka yang berilmu supaya mereka menyampaikan ilmu mereka kepada seluruh manusia.


Dingin :

Wahai Tuhanku yang memberikan nikmat dan menjadi tempat aku berlindung ketika menghadapi mala petakaku, jadikanlah kejahatannya itu sejuk dan selamat untukku sepertimana Engkau jadikan api itu sejuk dan selamat untuk Ibrahim.


LindunganNya :

Wahai Ibnu Hubairah, takutilah Allah dalam melaksanakan perintah Yazid. Janganlah kamu takut Yazid dalam melaksanakan perintah Allah. Sedarlah bahawa Allah akan melindungimu daripada tindakan Yazid. Namun Yazid tidak akan mampu melindungimu daripada tindakan Allah.

Wahai Ibnu Hubairah, engkau akan didatangi oleh malaikat yang bengis dan ganas yang tidak akan melanggar segala perintah Allah. Malaikat ini akan mengasingkan engkau dari katilmu. Dia akan memindahkan engkau daripada istana yang luas kepada kubur yang sempit. Di sana nanti tiada lagi Yazid. Apa yang ada hanyalah amalan yang engkau lakukan untuk Tuhan Yazid.

Wahai Ibnu Hubairah, jika engkau tabah bersama Allah dan tabah mentaatiNya, engkau akan terpelihara daripada kejahatan Yazid bin Abdul Malik di dunia dan di akhirat. Jika engkau bersama-sama Yazid melanggar perintah Allah, nescaya Allah akan membiarkan engkau bersendirian menghadapi kejahatan Yazid.

Sedarlah, wahai Ibnu Hubairah, kita tidak boleh mentaati sesiapapun semata-mata untuk melanggar perintah Allah Taala.

Dunia dan akhirat :

Engkau bertanya tentang dunia dan akhirat. Dunia dengan akhirat ini ibarat timur dan barat. Setiap kali engkau cuba menghampiri ke satu arah engkau akan menjauhi arah yang satu lagi.

Engkau meminta saya supaya memberikan gambaran tentang dunia ini. Bagaimana mungkin saya dapat gambarkan tentang suatu dunia yang bermula dengan kepayahan dan berakhir dengan kehancuran. Perkara yang dihalalkan di sini akan dihitung jika kita mengerjakannya. Manakala perkara yang diharamkan pula akan menyebabkan kita diazab. Orang yang tidak mencari kesenangannya akan diuji. Orang yang mencari kesenangannya pula akan menyesal.


Dirinya dan manusia-manusia lain :

Celakalah kita! Apakah yang telah kita lakukan dengan diri kita sendiri. Kita telah kuruskan agama kita, sebaliknya kita gemukkan dunia kita.Kita tidak pernah memperbaharui akhlak kita. Sebaliknya kita sentiasa memperbaharui kain dan pakaian kita. Kita masih mampu tidur walaupun kita makan dengan wang haram. Makanan yang kita makan, kita rampas daripada orang lain. Layanan yang kita terima, kita minta secara paksa. Makanan kita bertukar ganti daripada makanan manis kepada masam, panas kepada sejuk, kering kepada basah. Apabila sendawa kekenyangan kita akan berkata : Hai budak, bawakan ke sini pencuci mulut buat menghadam makanan.

Alangkah bodohnya, apa yang hadam sebenarnya ialah agamamu. Dimanakah jiranmu yang memerlukan bantuanmu? Di manakah anak yatim yang sedang kelaparan? Dimanakah orang miskin yang sentiasa memerhatikanmu? Di manakah amanah Allah padamu?.

Mudah-mudahan engkau sedar bahawa engkau sekadar menghitung hari. Setiap kali matahari terbenam bermakna satu hari telah hilang daripada kiraanmu. Itu juga bermakna sebahagian hidupmu juga turut hilang.

No comments:

Post a Comment