a) Cintakan pelajaran
Pertamanya, anda mesti belajar untuk berjaya.
Tiada seorang pun manusia yang di dunia berjaya tanpa belajar. Bagi beberapa
dekad yang akan datang ini kelulusan berdasarkan kepada kertas atau sijil akan
terus menjadi penentu dalam mencari pekerjaan atau profesion. Adalah penting
bagi semua pelajar mempunyai fokus dan tekad dalam usaha mereka mengejar sijil
atau ijazah. Saya percaya tiada sijil yang tidak boleh dicapai oleh anda.
Tetapi dalam hal ini saya ingin menyatakan bahawa memperolehi sijil itu
bukanlah tujuan terakhir dalam hidup ini.
Yang penting bagi semua pelajar adalah menanam
sikap sukakan membaca dan belajar agar dapat menambah ilmu pengetahuan
sepanjang hidup kita. Semakin maju negara kita dan dunia, maka semakin banyak
aktiviti akan berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Apa yang saya perhatikan
ialah ramai para pelajar dan termasuklah juga golongan dewasa, tidak mempunyai
hasrat mencari ilmu pengetahuan selepas sahaja mendapat sijil atau kertas kelulusan.
Mereka menjadi puas hati dan tidak mempunyai kemahuan untuk menambah baik ilmu
mereka. Ini bermakna tamatlah usaha mencari ilmu yang baru bagi mereka.
Sebagai peringatan, negara ini memerlukan warga
yang berkualiti untuk memandunya menuju kemajuan yang berterusan. Oleh itu
negara berkehendakkan rakyatnya mempunyai kualiti yang tinggi dari segi sikap,
pengetahuan serta perwatakan. Ilmu akan membuatkan seseorang itu matang dan
yakin diri. Sekiranya kita tidak mencari ilmu baru maka kita boleh menjadi
usang di dunia ini. Saya ambil teknologi komputer sebagai contoh. Saya telah
diberitahu oleh pakar-pakar komputer yang mengatakan bahawa teknologi komputer
amat pantas sekali berubah dan maju sehinggakan mereka mengatakan apabila
sahaja kita membeli komputer baru maka secepat itu jugalah komputer kita itu
sudah melampaui zamannya kerana komputer baru dicipta dengan fungsi yang lebih
berkuasa dan canggih lagi.
Pengajaran yang saya hendak sampaikan kepada anda
sekalian ialah supaya kita benar-benar menghayati prinsip belajar sepanjang
hayat sebagai sikap hidup semoga kita berjaya di negara dan dunia ini. Menambah
nilai khususnya dari segi ilmu pengetahuan boleh menentukan kita akan dapat
mengharungi dunia globalisasi yang penuh persaingan ini.
b) Menguasai bahasa-bahasa secara glokal
Satu perkara lagi yang ingin saya peringatkan para
pelajar ialah pentingnya anda menguasai kemahiran berkomunikasi, pertamanya
dalam bahasa-bahasa tempatan dan keduanya bahasa-bahasa lain yang membolehkan
kita memahami perkara yang berlaku di dunia. Dengan kata lain kita mahu warga
negara kita cekap dan fasih berbahasa secara glokal, istilah yang digunakan
oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak ( sekaran
Perdana Menteri ). Ini memberi makna kita mesti boleh berbahasa dalam bahasa
tempatan kita dan diikuti dengan penguasaan satu bahasa antarabangsa yang
diakui luas penggunaannya, contohnya Bahasa Inggeris.
Dengan cara ini kita memperkukuhkan hubungan
antara kaum di negera ini melalui bahasa tempatan dan di masa yang sama boleh
berbicara di peringkat internasional dengan menggunakan bahasa antarabangsa.
Kerap orang mengatakan bahawa lebih banyak bahasa kita kuasai lebih baik untuk
kita. Saya sungguh gembira mengetahui ada usaha menggalakkan orang Melayu
mempelajari Mandarin dan Tamil walau pun usaha lebih agresif perlu diadakan.
Apabila saya menonton TV alangkah bangganya bila saya melihat sudah ramai
pembaca berita dan pengacara bukan Melayu yang cukup fasih berbahasa Melayu.
Soalan yang saya kemukakan ialah bila pula boleh kita melihat orang-orang bukan
Tionghoa membaca berita dalam bahasa Mandarin? Secara ringkasnya, saya berharap
rakyat negara ini akan boleh berbahasa secara glokal.
c) Bersatu dalam perbezaan
Satu aspek terakhir yang mungkin sama pentingnya
dengan dua perkara yang dibincangkan di atas ialah pentingnya kita, khususnya
para pelajar sekalian, bersatu dalam hidup kita. Sepertimana kita maklum
perpaduan adalah elemen yang penting dalam hidup masyarakat berbilang kaum.
Kita telah membuktikan hidup bersatupadu ini telah memberi keharmonian dan
kejayaan kepada negara yang sukar dicapai di negara-negara berbilang kaum yang
lain. Rakyat Malaysia telah membuktikan kepada negara sendiri dan juga kepada
seluruh dunia bahawa kita boleh hidup dalam keadaan yang cukup harmonis dan
aman. Namun demikian ada tanda-tanda yang menunjukkan kita tidak boleh mengambil
enteng hal ini. Ahli-ahli sejarah negara kerap memperingatkan kita bahawa
rakyatnya mesti terus mempertingkatkan usaha dalam hubungan antara kaum de
negara yang bertuah ini khususnya dalam persepsi positif antara kaum. Kini
masih terdapat keadaan-keadaan di mana rakyat yang menunjukkan keadaan
polarisasi ini.
Memang banyak faktor dan sebab mengapa ini boleh
berlaku tetapi saya ingin menegaskan satu perkara yang rapat dengan hati saya.
Sebagai seorang pendidik saya mahu lihat para pelajar sekalian bercampur gaul
dengan lebih mesra antara satu sama lain. Kita perlu memahami dan menghormati
antara satu sama lainnya. Pengalaman saya belajar di sekolah berbilang kaum dan
di Universiti Malaya membolehkan saya berasa selesa walaupun saya di
tengah-tengah kumpulan kaum lain. Kuncinya ialah untuk kita menghormati orang
lain yang berlainan bangsa, budaya dan juga umur.Rakyat negara ini jangan leka
dalam hal ini. Kejayaan visi 2020 amat bergantung kepada perpaduan di kalangan
rakyatnya. Apapun yang diperkatakan saya yakin kita semua akan terus mara ke
hadapan, hidup dalam perpaduan dan aman tanpa mengenepikan asal usul kaum kita
sendiri. Kita bukan hanya mahu menunjuk-nunjuk kepada dunia tentang keharmonian
negara tetapi mesti berusaha bersunguh-sungguh menjadikannya benar-benar budaya
kita di seluruh negara. Survival kita bergantung kepada elemen ini.
Wallahu a’lam.
Dato’ Hj
Abdul Rahim b Hj Abdul Majid
Imbasan
seorang pendidik, ms 225-227
2009.
No comments:
Post a Comment