PUTRAJAYA 22 Dis. – Keputusan Pentaksiran
Tingkatan 3 (PT3) 2014 yang dikeluarkan hari ini tidak boleh dibandingkan
dengan pencapaian pelajar dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diadakan
sebelum ini berikutan menggunakan format dan pendekatan berbeza.Ketua Sektor
Pengurusan Dasar dan Perkembangan Lembaga Peperiksaan (LP), Norzila Mohd. Yusof
berkata, data yang dikeluarkan dalam PT3 merupakan maklumat baharu dan tidak
boleh dibandingkan dengan peperiksaan lain.
Pada masa sama, katanya, keputusan yang
dikeluarkan itu juga tidak boleh dirumuskan mengalami sebarang peningkatan atau
penurunan kerana berbeza dengan peperiksaan terdahulu.
“Pentaksiran ini digubal untuk melihat tahap
penguasaan anak-anak kita selepas belajar selama tiga tahun di peringkat
menengah rendah, yang mana untuk PT3 pendekatan penetapan standard untuk penentuan
skor mengikut penggredan A, B, C, D dan seterusnya jika mereka layak gred A
kita bagi keputusan itu.
“Berbeza dengan PMR kita guna kaedah penentuan
standard yang mana penentuan penggredan mengikut beberapa perkara antaranya
mengikut trend tiga tahun lepas, statistik dan norma tetapi untuk PT3
bergantung sepenuhnya kepada pelajar itu sendiri dan tidak dilihat pada trend
sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Norzila, pendekatan seperti itu bagus
kerana sejajar dengan objektif mata pelajaran yang memerlukan setiap pelajar
menguasai peringkat menengah rendah.Mengulas lanjut beliau berkata, untuk
keputusan PT3 pihaknya juga tidak membuat sebarang analisis atau pengumuman
sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pentadbiran sekolah untuk
melakukannya.Katanya, perkara itu bertujuan memberi peluang kepada pihak
sekolah membuat analisis dan penambahbaikan serta melihat kekuatan dan
kelemahan pelajar masing-masing.
“Untuk PT3 apabila LP sudah menetapkan skor gred
kami akan menghantar ke dalam sistem sekolah untuk mereka mencetak laporan itu
serta membuat analisis bagi sekolah masing-masing. Di peringkat pusat kita
tidak membuat sebarang analisis untuk PT3,” katanya.
Mengulas dakwaan pentaksiran tersebut sukar kerana
menggunakan item Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Norzila menolak
tanggapan tersebut sebaliknya berkata, item tersebut bertujuan menguji tahap
pemikiran pelajar supaya berfikir secara kreatif dan kritis.
“Tujuan item KBAT dimasukkan dalam PT3 adalah
untuk menyuruh pelajar ini berfikir bagaimana kaedah menyelesaikan masalah yang
timbul berdasarkan pengetahuan diperoleh di sekolah dan sebagainya. Sekiranya
perkara itu bukan rutin sudah tentu pelajar merasa susah.
“Sebenarnya perkara ini tidak sesukar mana cuma
memerlukan mereka menjana fikiran untuk menjawab tugasan yang diberikan,”
katanya.
Katanya, sebanyak 25 peratus soalan merupakan item
aras rendah dan tinggi manakala, selebihnya item aras sederhana.Sementara itu,
Norzila berkata, PT3 tidak seharusnya dilihat kepada akademik semata-mata
tetapi perlu dirangkumkan bersama komponen lain iaitu pentaksiran sekolah,
aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik bagi
melahirkan pelajar yang holistik.
Wallahu a’lam.
Utusan
online
23 Disember
2014
No comments:
Post a Comment