Selepas melalui pengalaman sebagai seorang guru di
bilik darjah, pengetua di sekolah menengah dan Maktab Perguruan, Timbalan Ketua
Nazir, Pengarah Pendidikan dan Ahli SPP maka saya berani membuat rumusan bahawa
betapa pentingnya peranan sekolah rendah dalam mengasuh anak-anak ne negara ini
malahan jangan sekali dipandang ringan. Kadangkala terdapat gambaran bahawa
kini kita lebih menumpukan kepada mutu pendidikan di peringkat atasan khususnya
di peringkat universiti agar mencapai bertaraf dunia.
Kita juga nampaknya memberatkan tahap sekolah
menengah khususnya bila kita lihat betapa luasnya tumpuan mengenai keputusan
peperiksaan awam. Ini jelas sekali apabila kita dapat melihat liputan yang
begitu meluas oleh semua media massa dalam mengumumkan keputusan peperiksaan
khususnya PMR, SPM dan STPM. Saya tidak menyatakan bahawa ini adalah tidak
diperlukan tetapi saya amat berharap bahawa dalam hal ini tumpuan kepada
sekolah rendah tidak dikurangkan. Kita semua memahami dan mengakui bahawa
kemahiran-kemahiran asas adalah penting dikuasai pada umur muda iaitu di
peringkat rendah lagi. Kini kita masih mendapat laporan-laporan dan maklumat
mengutarakan masalah keciciran anak-anak selepas darjah enam di peringkat
sekolah rendah yang tidak meneruskan pelajaran mereka ke peringkat menengah.
Masih terdapat bukti-bukti walaupun para pelajar meneruskan pelajaran ke
Tingkatan Satu, masih ramai yang menunjukkan kurang kemahiran pembelajaran,
pencapaian yang rendah dan kurang motivasi untuk belajar. Saya amat percaya
bahawa asas kemahiran yang kukuh di sekolah rendah boleh memberi kesan yang
positif kepada prestasi mereka dalam pelajaran kemudian hari. Oleh itu saya
mengutarakan beberapa cadangan dalam hal ini :
Pertamanya, biarlah tumpuan yang
utama juga diberikan kepada sekolah rendah seperti gambaran yang diberikan
kepada sekolah menengah dan peringkat pendidikan tinggi. Keduanya, sudah sampai
masanya bagi guru-guru siswazah dilantik sebagai Guru Besar dan guru-guru di
sekolah rendah juga mempunyai ijazah. Untuk makluman, semua guru yang mengajar
di sekolah rendah di Amerika Syarikat dan England mempunyai ijazah. Ketiganya,
ialah mengenai kualiti guru yang mengajar di sekolah rendah. Sebagai tempat
untuk menanam kemahiran asas yang kukuh bagi anak-anak, maka adalah dicadangkan
guru-guru yang berpengalaman dan berkualiti ditempatkan di sekolah rendah.
Keempatnya, ialah kadar guru-murid di bilik darjah Bilakah kita akan melihat
bilangan murid sekelas di sekolah rendah hanya mempunyai 20 orang sahaja?
Mungkin ini agak keterlaluan tetapi perkara ini sudah menjadi hasrat para
pendidik sudah berdekad lamanya. Sudah sampai masanya anak-anak di sekolah
rendah diberikan pendidikan yang berkualiti. Tidak syak lagi sekiranya
anak-anak di sekolah rendah menerima asas yang kukuh dalam membaca, menulis dan
mengira serta sains (menakul) dan dididik untuk sukakan pelajaran, sudah tentu
kejayaan mereka di peringkat menengah nanti akan lebih terjamin.
Wallahu a’lam.
Dato’ Hj
Abdul Rahim b Hj Abdul Majid
Imbasan
seorang pendidik, ms 225-227
2009.
No comments:
Post a Comment